HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 November 2016

Zuraida fail saman malu ke atas Jamal



Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin hari ini memfailkan saman malu ke atas Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menuduhnya menyebabkan hidung pemimpin gerakan Baju Merah itu berdarah dalam satu pergelutan di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Peguam yang mewakili Zuraida, N Surendran berkata saman itu difailkan berikutan kenyataan Jamal bahawa ahli parlimen Ampang itu dan ‘orang Zuraida telah memukulnya’.

“Hari ini kita sudah fail saman malu bagi pihak YB Zuraida terhadap Jamal kerana kenyataan beliau bahawa YB Zuraida meminta orang dia memukul atau menumbuk Jamal dan dia ada juga cakap YB Zuraida yang pukul.

“Jadi semua ini tidak benar dan ia membawa kepada sesuatu yang melanggar undang-undang,” atanya kepada pemberita selepas memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam saman itu, Zuraida selaku plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan injunksi bagi menghalang Jamal daripada mengulangi kata-kata fitnah ke atasnya.

Selain itu Zuraida menuntut faedah lapan peratus setahun dari tarikh pemfailan tindakan hingga tarikh penghakiman.

Ini juga termasuk faedah lima peratus dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian bayaran termasuk kos bagi tindakan tersebut.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Jamal berdarah pada hidungnya selepas mendakwa dirinya diserang dan ditumbuk dalam kejadian di Ampang Point.

Kejadian berlaku ketika Jamal bersama kumpulan Baju Merah mengekori Zuraida yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah itu.

Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya. Jamal yang jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu memberitahu akan bertindak balas.

Zuraida turut membuat 50 laporan polis terhadap Jamal kerana berhubung kejadian itu dan berkenaan tindakan ganas kumpulan itu terhadap tiga pengikutnya.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, jika siasatan mendapati Jamal membuat laporan palsu, maka tindakan akan diambil ke atasnya.

Khalid turut berkata beliau telah memberi amaran sebelum ini ini bahawa polis yang tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang memfailkan laporan untuk kepentingan politik dan membebankan pihak berkuasa.

Sementara itu Zuraida mendesak supaya Khalid mengambil tindakan ke atas Jamal kerana tindakan ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu adalah keterlaluan selain membahayakan orang ramai.

“Saya memang telah minta peguam saya mewakili saya dalam kes Jamal ini kerana dia telah keterlaluan dan IGP telah kata sesiapa yang buat laporan palsu boleh diambil tindakan.

“Dia seolah-olah berkelakuan negara ni tak ada undang-undang dan dia tidak bertamadun. Jadi ini saya nak buat pengajaran pada dia.

“Dia kena hentikan kelakuan buas, tak bertamadun dengan kes ini saya nak pastikan Jamal akan dijinakkan dan saya juga harap IGP ambil tindakan,” katanya yang berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin.


Tiada ulasan: