HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Disember 2016

Lagi anggota polis didakwa sokong IS

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Tinggi hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan perbuatan pengganas IS.

Lans Koperal Mustaza Abdul Rahman, 29, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan yang kemudiannya menetapkan 25 dan 27 Januari ini untuk perbicaraan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan mahkamah pendakwaan akan memanggil 10 saksi.

Tertuduh yang bekerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan boleh dianggap sebagai diniatkan mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ‘amanah’ menerusi telefon bimbitnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan kesalahan berkaitan pengganas mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 7 tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara melakukan sumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ‘gagak hitam’ menerusi telefon bimbitnya (tertuduh).

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mustaza yang diwakili peguam, Faizal Rahman didakwa melakukan semua kesalahan itu di blok Perumahan Polis IPD Kuala Muda antara 30 Mac hingga 29 Julai 2016.


Tiada ulasan: