HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Disember 2016

Agih kerusi PH-PPBM mungkin tidak selesai sebelum PRU14 - penganalisis

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Isu agihan kerusi antara parti pembangkang besar kemungkinan tidak mampu diselesaikan sebelum tibanya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.
 
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mustahil akan terjerumus dalam perebutan kerusi seperti yang berlaku pada Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak serta dua pilihan raya kecil (PRK) di Semenanjung, sebelum ini.
 
"Ini hanya ilusi dan harapan yang secara ideal tetapi realitinya sangat sulit untuk berlaku.
 
"Isu-isu ini akan berpanjangan, bukan mudah (untuk pembangkang). Kalau BERSATU (PPBM) sasarkan dapat 10 kerusi, jangan mimpilah. 
 
"Akhirnya mereka (pembangkang) akan berlaga sesama mereka juga, memang tiada cara (agih kerusi). Ini kita dapat lihat ketika pada PRN Sarawak dulu, malah yang paling dekat sekali adalah di Sg Besar dan Kuala Kangsar," katanya kepada Antarapos.
 
Raduan yang juga Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) berkata harapan pembangkang untuk meletakkan hanya satu calon pada PRU14 amat tipis.
 
"Hasrat untuk 'street fight' (satu lawan satu) tu sangat sukar dan tipis.
 
"Realitinya orang yang punya kerusi itu tak akan nak berganjak?, soal beliau lagi.
 
PPBM sebelum ini mengikat perjanjian dengan PH untuk sekurang-kurangnya meletakkan satu calon pada pilihan raya akan datang.
 
Semalam PKR melalui Timbalan Presidennya Datuk Seri Azmin Ali menyatakan kesediaan parti untuk memberikan kerusi mereka kepada PPBM mengikut persefahaman yang dicapai sebelum ini.
 
Katanya perkara ini pernah dilakukan pembangkang pada tahun 1999 di awal kemunculan PKR yang mendapat kerusi daripada PAS dan DAP.
 
DAP bagaimanapun mengambil sikap menjarakkan diri dan berkata terpulang kepada PKR untuk berbuat demikian namun, tindakan itu tidak membabitkan DAP.
 
 

Tiada ulasan: