HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Disember 2016

Ajaibnya ekonomi Bangsa Johor, sampai lancar empat stadium

johor stadium

Oleh Ahmad Anwar Asyraf


Semenjak dua tahun kebelakangan ini, selalu kedengaran laungan kalimah-kalimah “Johor akan menjadi new economic powerhouse“. Saya sering tertanya-tanya apakah maksud di sebalik kalimah yang ‘catchy’ itu?

Sehinggalah semalam saya ternampak satu poster keluaran Muafakat Johor yang tertera gambar Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Khaled Nordin. Poster tersebut turut mengandungi ungkapan, “Saya biasa lancar satu stadium. Tapi di Johor, saya lancar empat stadium. Ini bukti Johor pesat membangun dan Johor mencapai kuasa ekonomi besar”.

Barulah saya faham bahawasanya takrifan pesat membangun dan mencapai kuasa ekonomi besar adalah dengan melancarkan empat buah stadium. Hebat. Sungguh hebat.

Johor tidak perlu mencontohi 150 bandar lain di seluruh dunia termasuklah Ulaanbaatar, Mongolia yang menggariskan 10 prinsip yang difokuskan kepada empat bidang iaitu :
  • Hak asasi manusia
  • Pekerjaan yang adil dan baik
  • Kelestarian alam
  • Memerangi korupsi
Jangan keliru apabila saya meletakkan contoh Mongolia. Ia tiada kena mengena dengan Altantuya. Ini bukan cubaan, tapi betul-betul.

Sememangnya Ulaanbaatar tersenarai dalam senarai UN Global Compact Cities. Ulaanbaatar turut sama berikrar untuk menuruti prinsip tersebut dalam membina masa hadapannya.  

Ternyata juga Johor lebih hebat berbanding Melbourne, Australia. Melbourne terpaksa merangka sembilan asas untuk membentuk wawasan Future Melbourne 2026.
  • Sebuah bandar yang mengambil berat mengenai alam sekitar
  • Sebuah bandar untuk rakyat
  • Sebuah bandar kreatif
  • Sebuah bandar yang makmur
  • Sebuah bandar berpengetahuan
  • Sebuah bandar yang berhubung
  • Sebuah bandar yang membuat pertimbangan dengan berhati-hati
  • Sebuah bandar yang membawa pembaharuan
  • Sebuah bandar yang memfokuskan masyarakat asal
Untuk memastikan pembangunannya terus kekal pesat, Melbourne terpaksa merangka sembilan langkah strategik ini. Tetapi Johor hanya melancarkan empat buah stadium sahaja. Bukankah itu petanda kehebatan yang tiada taranya bagi negeri Muafakat ini?

Johor tidak perlu bersusah payah untuk menjadi seperti Vienna yang terpaksa berhempas-pulas untuk memikirkan model perumahan sosial untuk rakyat yang tidak mampu memiliki rumah. Lihat bagaimana Menteri Besar ini mengotakan janjinya untuk “memberikan kepada mereka yang tidak punya apa-apa”.

Ya, beliau telah mengotakan janjinya. Bukan satu tapi empat stadium sebagai bukti pesatnya pembangunan dan lambang kuasa ekonomi besar. Perkara ini telah diakui oleh Perdana Menteri Malaysia yang sedang terkenal di seantero dunia. Jangan main-main.

Cuma sebagai anak Johor yang lahir, membesar dan bekerja di Johor sejak kecil sampai sekarang ini, saya merasa agak terkilan. Mengapa Khaled hanya menjemput Najib untuk melancarkan empat buah stadium sahaja?

Mengapa tidak dijemput Najib untuk melancarkan empat stadium di setiap daerah? Jika perkara ini terjadi, Johor pastinya boleh menafikan pendapat ramai pakar ekonomi dunia yang mengatakan India bakal menjadi Global Economic Powerhouse.  

Johor boleh menjadi Global Economic Powerhouse. Boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan USA dan China dari segi ekonomi. Kerana di Johor, keupayaan untuk mencapai kuasa ekonomi besar adalah dengan bersandarkan kepada berapa bilangan stadium yang akan kita lancarkan.

Tahniah, luaskan kuasamu Johor. Terima kasih MB. Terima kasih PM. – Roketkini.com

*Ahmad Anwar Asyraf merupakan Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda (DAPSY) Johor


Tiada ulasan: