HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Disember 2016

Anwar tidak putus asa

Hafiz Yatim



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usahanya untuk membebaskan diri daripada penjara akan diteruskan walaupun Mahkamah Persekutuan menolak permohoannya hari ini.

"Ini bukan penamat segala-galanya. Saya akan berbincang dengan peguam mengenai langkah yang akan diambil melalui proses undang-undang," katanya.

"Pengumuman akan dibuat pada hari ini atau esok," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan mendapatkan pengampunan diraja adalah satu daripada pilihannya, Anwar hanya mendiamkan diri.

Katanya, beliau memang tidak optimis dengan penghakiman hari ini.

"Saya cukup realistik untuk difahami. Jalan untuk mendapat kebebasan sangat panjang," tegasnya.

Anwar bercakap kepada media selepas panel lima hakim menolak permohonannya menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantu bekas timbalan perdana menteri itu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mengenai keputusan berkenaan, Anwar menegaskan beliau tidak bersalah.
Bagaimanapun katanya beliau sudah menjangkakan keputusan berkenaan dan mahkamah tidak mengambil kira semua isu dibangkitkan pasukan peguam belanya.

Sementara itu dalam reaksinya pertubuhan hak asasi manusia Human Right Watch (HRW) berkata keputusan mahkamah hari ini adalah "tragedi sebenar kepada keadilan di Malaysia".

Pengarah HRW Asia, Phil Robertson, berkata kes berkenaan adalah bersifat politik "sejak hari pertama" dan melibatkan dakwaan yang direka.

"Ia dibicarakan di mahkamah yang dibelenggu masalah asas dalam prosedur dan keterangan untuk 'jenayah' yang diwarisi sejak zaman pemerintahan British yang sepatutnya dimansuhkan lama dulu," katanya.

Lebih daripada itu, kata Robertson, keputusan hari ini menunjukkan mahkamah bukanlah tandingan untuk dendam politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas Anwar.

Menurut Robertson, dengan terpenjaranya Anwar, Najib dapat mengetepikan halangan besarnya menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Najib dan parti pemerintah baru sahaja melepaskan tembakan untuk menandakan bermulanya (kempen) pilihan raya yang dijangka pada 2018 apabila mengetepikan pemimpin pembangkang paling berkemampuan (mengalahkannya)," katanya.

Tiada ulasan: