HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Disember 2016

Apa UMNO buat kepada Orang Asli setelah 60 tahun merdeka?

orang asli

Oleh Hafiz Zainuddin


GUA MUSANG:  Komuniti peribumi negara ini berhadapan dengan dilema yang melibatkan pemusnahan hutan akibat pembalakan berleluasa oleh pihak-pihak tertentu, malah keadaannya semakin buruk.

Pemusnahan hutan itu secara langsung menyebabkan kehidupan dan sumber utama bagi komuniti Orang Asli terjejas.

Persoalannya, apakah yang telah dilakukan kerajaan UMNO dalam membela masyarakat dan keberlangsungan kehidupan sekitar hampir 200,000 Orang Asli negara ini?

“Sudah hampir 60 tahun negara ini merdeka. Apa yang Orang Asli dapat di negara kita?

“Adakah kedudukan dan hak Orang Asli dipertahan oleh kerajaan? Ini yang kita suarakan. Ini yang kita lawan. Kita lawan apa yang buruk dan yang jahat. Ini bukan melawan tanah air,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berucap di hadapan sekitar 100 Orang Asli dan aktivis di Pos Bihai semalam dalam program solidariti anjuran NGO Himpunan Hijau.

kit siang orang asli
 

Penindasan dan pengabaian terhadap kemelut yang melanda komuniti Orang Asli saat ini, katanya, seolah-olah telah meminggirkan jasa bakti mereka yang berkorban demi negara dalam pasukan Senoi Perak suatu masa dahulu melawan anasir komunis.

Lebih menyedihkan apabila kakitangan jabatan yang menguruskan hal ehwal Orang Asli iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hanya diisi sebilangan kecil komuniti itu.

Ia sekaligus membuktikan kerajaan gagal memahami dan memajukan komuniti itu secara serius.

“Kerajaan tubuhkan JAKOA. Adakah ia benar-benar berfungsi dan selesai masalah Orang Asli?

“Setelah 60 tahun, adakah Ketua Pengarah adakah Orang Asli? Berapa ramaikah kakitangan JAKOA terdiri dari kalangan Orang Asli?

“Saya harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib ambil perhatian. Jika beliau serius, 50 peratus kakitangan JAKOA sewajarnya diisi oleh Orang Asli,” katanya.

Angkat martabat dan hak istimewa Orang Asli dalam Perlembagaan Persekutuan

Dalam satu kenyataan berbeza, Kit Siang mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya kedudukan Orang Asli yang merupakan pribumi terawal negara ini diangkat supaya dapat menikmati hak keistimewaan setaraf Bumiputera dan kaum Melayu.

kit siang orang asli


“Supaya mereka juga akhirnya dapat menikmati hak istimewa dalam pendidikan, perkhidmatan awam, perniagaan, biasiswa dan hak tanah yang dilindungi,” kata beliau.

Beliau menegaskan, DAP akan terus memberi komitmen dan menyokong kedudukan kaum Melayu
dan Bumiputera di samping melindungi hak kumpulan etnik lain seperti terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.


Kata Kit Siang, kedudukan istimewa tersebut adalah untuk membangunkan Bumiputera yang memerlukan dan bukannya ‘UMNOputra’ yang kaya.

“Ia juga bermaksud bukan-Melayu yang ketinggalan dan memerlukan perhatian juga harus dibantu dan mempunyai akses kepada program-program tindakan afirmatif


“Dalam perkara ini, Orang Asli yang merupakan peribumi terawal negara ini telah diabaikan sejak Merdeka pada 1957.

“Mereka telah berada di sini sejak ribuan tahun tetapi masih dilayan secara tidak adil oleh pihak berkuasa. Mereka paling layak menerima keistimewaan,” ujarnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: