HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Disember 2016

BN akan rampas Kelantan jika Amanah tak bertanding – Mat Sabu

amanah mat sabu

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional akan mempunyai peluang cerah untuk merampas Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang jika PAS menjadi satu-satunya lawan parti itu.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu seperti dipetik portal Malaysiadateline berkata, masyarakat Kelantan mengamalkan budaya politik yang hampir sama dengan komuniti Cina, di mana mereka mampu melakukan perubahan undi secara total.

“Di Kelantan, pemikiran politik mereka sedikit sebanyak ada budaya Tionghoa. Bila berubah undi, dia berubah ‘seketul’. 

Kalau Amanah tak bertanding dan biar parti lama (PAS) lawan BN, BN ada harapan cerah menang di Kelantan.

“Tapi bila Amanah tampil, Amanahlah pilihan rakyat Kelantan pada pilihan raya akan datang,” ujarnya dalam ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, parti komponen Pakatan Harapan tersebut turut melancarkan Solidariti Untuk Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman yang diarahkan membayar saman berjumlah RM500,000 kepada Felda.

Ia berikutan tulisan Mazlan dalam bukunya bertajuk ‘Felda.. Dulu Tolong Sekarang Along!’ yang telah dilancarkan pada tahun 2008.

Beliau akan dikira jatuh muflis jika tidak berjaya membayar jumlah tersebut, sekaligus tidak lagi dapat memimpin mana-mana organisasi dan memperjuangkan hak masyarakat Felda.

Mohamad Sabu ketika membahaskan usul tersebut, mendakwa tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Mazlan sengaja dilakukan kerajaan UMNO Barisan Nasional bagi melemahkan semangat penyokong Pakatan Harapan.

“Ini adalah ciri yang dibuat Najib untuk melemahkan Pakatan Harapan supaya petugas sama ada hilang semangat atau patah di tengah jalan,” katanya, sambil menjamin akan memberi seluruh komitmen bagi membantu Mazlan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: