HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Disember 2016

Dakwaan Tun Mahathir terhadap Johor berniat jahat - Khaled Nordin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan negeri Johor memberi status kerakyatan kepada 700,000 rakyat China sekali lagi disanggah Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
 
Dalam kenyataan medianya, beliau menyifatkan tuduhan bekas perdana menteri itu sebagai tidak berasas dan bertujuan menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat negara ini.
 
"Saya kekal konsisten dengan pendirian tegas dan kenyataan saya sebelum ini mengenai dakwaan Mahathir berkaitan 700,000 warga asing di Johor yang kononnya akan diberi kad pengenalan (IC) untuk menjadi pengundi sebagai tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk mengeliru serta menakut-nakutkan rakyat.
 
"Untuk rekod, dakwaan Mahathir tersebut dibuat dalam satu siri ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
 
"Dakwaan melulu Mahathir tersebut bukan sahaja tidak logik dan berasas, malah sangat tersasar dari bersandarkan sebarang fakta dan mana-mana sumber yang sahih," demikian tegasnya.
 
Khaled berkata permohonan tanah bagi pemilikan asing bagi tempoh 2003 hingga 30 November 2016 hanyalah sebanyak 29,218 unit bersamaan 2.01 peratus daripada jumlah keseluruhan hak milik hartanah di Johor yang berjumlah 1,452,931 unit.
 
Tegasnya lagi Malaysia mengamalkan perundangan dan sikap tegas terhadap permohonan tanah bagi pemilikan asing.
 
Apatah lagi dengan proses untuk mendapatkan status warganegara Malaysia juga amat ketat bagi rakyat asing yang memohon.
 
"Yang jelas, pemilikan hartanah di Malaysia tidak memberi sebarang keistimewaan dalam proses memohon status kewarganegaraan.
 
"Mahathir perlu bersikap objektif dengan hakikat bahawa membuka peluang untuk pemilikan hartanah oleh warga asing di negara kita sama sekali berbeza dengan memberi kerakyatan Malaysia kepada mereka.
 
"Jika sekalipun beliau mempunyai bukti sahih daripada sumber yang jelas bahawa terdapat sehingga 700,000 warga China akan diberikan kerakyatan Malaysia dalam masa terdekat, beliau boleh sahaja merujuk perkara tersebut kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
 
"Ini kerana Muhyiddin masih lagi seorang anggota parlimen dan boleh membawa usul tergempar mengenai perkara itu di parlimen," katanya lanjut.
 
Kenyataan Khaled ini merupakan rentetan terhadap dakwaan Mahathir baru-baru ini yang kononnya Johor akan memberikan kerakyatan Malaysia kepada 700,000 rakyat Cina berdasarkan keperluan dan pembangunan 60 projek negeri yang boleh diduduki oleh 1.5 juta orang.
 
 

Tiada ulasan: