HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Disember 2016

Dana Asing: Zahid Ikrar Siasat Hingga Lubang Cacing

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Agung Umno Ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu.
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan berikrar untuk menyiasat dan mencari hingga ke ‘lubang cacing’ semua pihak yang bersekongkol dengan pihak luar dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat individu atau pertubuhan yang disyaki menerima dana luar atau mendapatkan khidmat campur tangan asing sehingga mengancam keamanan dan kedaulatan negara.

“Saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan satu pasukan khas yang dianggotai oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara untuk mencari semua maklumat sehingga ke akar umbi dan hingga ke lubang cacing.

“Tindakan-tindakan bukan saja telah dijalankan sebagaimana yang diketahui, tapi dalam waktu terdekat jangan salahkan kerajaan, mana-mana yang lakukan kesalahan, tunggu tindakan yang akan dilakukan pihak berkuasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beberapa pertubuhan di Malaysia dikesan telah diresapi dengan Revolusi Warna yang diperkenalkan pengasas dan pemikir Albert Einstein Institution, Gene Sharp yang digunakan serentak pada 2005 seperti di Ukraine, Krygyzstan, Kuwait, Iraq dan Repulblik Czechoslovakia.

Beliau juga menamakan antara pertubuhan terlibat adalah Suaram, Bersih, Majlis Peguam, Malaysiakini dan Sarawak Report.

Dalam laporan pihak risikan, Zahid berkata, operasi Bersih telah menjalankan lima siri demonstrasi jalanan, semuanya ditaja George Soros melalui Institut Demokrasi Nasional dan Open Society Foundation (OSF).

“Pengerusi Bersih 2 Maria Chin Abdullah mengaku menerima wang OSF untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil tapi hakikatnya untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Selain itu, Zahid turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib TUn Razak yang telah memberi kepercayaan kepada dirinya untuk menangani masalah ini.

Katanya, sebagai naib presiden Umno, beliau juga akan terus wala’ dan setia kepada Najib selaku presiden selagi berada dalam parti.

Tiada ulasan: