HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Disember 2016

Dr M ulas pembatalan undangannya ke istiadat agong


Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan menerima surat pembatalan undangan ke istiadat menandatangani sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 13 Disember depan.

Beliau juga mendedahkan telah memberikan komitmen untuk hadir acara itu sebelum surat pembatalannya kelmarin.

“Saya jawab bahawa saya akan hadir kerana saya anggap acara ini sebagai acara nasional yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik,” katanya.

Semalam, surat daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kepada Mahathir yang membatalkan undangan itu tersebar meluas di Internet.

Ia menjelaskan pembatalan itu bagi “mengelak kesipuan (embarrassment)” kerana tiada kerusi untuk Mahathir disediakan pada acara itu.

Menulis di blognya hari ini, Mahathir mendedahkan beliau menerima undangan untuk hadir pada 10 November lalu.

Mengulas reaksi terhadap pembatalan undangan itu pula, Mahathir berkata:

“Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti,” katanya.

“Saya minta maaf kerana membuat anggapan yang salah. Saya akan ambil ingatan bahawa Istana Negara adalah milik Najib dan Parti BN.”

Pegawai Istana Negara yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai surat berkenaan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pula tidak dapat memberikan maklumat lanjut kerana pegawai yang bertugas tiada ketika dihubungi lewat petang semalam.


Tiada ulasan: