HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Disember 2016

Gempa Aceh: Empat syarikat penerbangan sedia bantu

SINAR HARIAN

 Gempa Acheh


JAKARTA - INDONESIA. Empat syarikat penerbangan telah menyatakan komitmen untuk menghantar bantuan kemanusiaan terhadap mangsa gempa bumi di Aceh.

Memetik portal berita The Jakarta Post, sebaik sahaja segala bentuk bantuan dikumpulkan di Jakarta, syarikat penerbangan yang terlibat akan menerbangkan bantuan tersebut ke lokasi yang telah ditetapkan di Aceh.

"AirAsia bersedia untuk membantu manakala Lion Air telah menerbangkan anggota bantuan ke Aceh.

“Sebuah lagi syarikat penerbangan, Tri MG difahamkan telah menyediakan pesawat kargo dan Sriwijaya Air bersedia untuk membantu juga,” kata seorang pegawai kerajaan, seperti yang dipetik menerusi laporan portal tersebut.

Seramai 97 orang disahkan terbunuh dan ratusan cedera dalam satu gempa bumi berukuran 6.4 skala ritcher di Aceh pagi kelmarin lapor BBC news.

Ketua tentera Aceh, Tatang Sulaiman mengesahkan perkara tersebut serta mengatakan bahawa kemungkinan besar bahawa masih ramai yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan rumah-rumah dan bangunan.

Kawasan yang paling teruk dilanda gempa adalah Pidie Jaya yang terletak sepanjang pantai di Utara Aceh, kira-kira 110 kilometer dari ibu kota Banda Aceh dan mempunyai penduduk kira-kira 150,000 orang.

Dianggarkan lebih daripada 200 kedai dan rumah musnah berserta dengan 14 buah masjid, sebuah sekolah dan hospital.

Antara yang dimuatkan dalam pesawat bantuan termasuk sukarelawan, pegawai perubatan, Tentera Indonesia (TNI) dan pasukan polis.

Difahamkan, syarikat penerbangan yang terlibat telah bersedia untuk memenuhi sebarang keperluan logistik mangsa gempa bumi di Aceh.


Tiada ulasan: