HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Disember 2016

Hadi perjelas sebab hadiri persidangan di Iran

ANTARAPOS.COM


Post Pic


SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mereka yang menuduh Iran berniat buruk dalam campur tangannya di Syria juga tidak berniat suci, umpama pencuri yang memekik “pencuri” untuk melepaskan diri.

Beliau berkata, negara Syiah itu tidak memberi ancaman kepada golongan Sunnah.

“Setahu saya Iran tidak membuat kenyataan untuk mengeksport Revolusi Islam Syiahnya. Iran hanya mengajak Negara Arab yang berjiran itu bersatu menentang Israel dan membebaskan diri mereka daripada kuasa asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian berikutan kritikan dibuat terhadapnya kerana menghadiri persidangan antarabangsa di Tehran, Sabtu lalu. Persidangan itu ditutup oleh Ayatollah Ali Khameinei.

Antaranya, Kesatuan Ulama Antarabangsa pimpinan Dr Yusuf Qardhawi yang mempersoal tindakan Presiden PAS itu. Hadi adalah juga naib presiden kesatuan ulama itu.

“Mengapa Mazhab Syiah di dalam masyarakat Sunni yang sudah wujud lebih daripada seribu tahun itu tidak pernah menghalang kemajuan Islam di seluruh pelosok dunia, tiba-tiba kini ditiupkan api permusuhan untuk menumpahkan darah dalam umat yang satu kiblatnya?

“Dahulunya berkhilaf secara ilmu sahaja tanpa berpisah dalam satu umat, tiba-tiba sekarang dianggap seperti agama yang berbeza,” tambahnya.  

Hadi berkata Iran dan Syria adalah dua negara Timur Tengah yang secara terbuka menyokong usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.

Dan kini Syria diserang oleh mereka yang beliau dakwa dihasut oleh Barat dengan sokongan negara Arab serta rejim Zionis.

Hadi berpendapat, Iran hanya mahu membantu Syria menyelamatkan dirinya.

Beliau mengingatkan nasib yang menimpa penganut Islam di Eropah, iaitu Andalusia di selatan Sepanyol.

“Seterusnya kenangilah sejarah kejatuhan Islam di Andalusia yang ditangguhkan beberapa abad apabila salah seorang Raja Islam di Andalusia mengejutkan semua Raja yang tidak mahu menjemput Raja Ibnu Abbad dari Morocco kerana takutkan raja itu akan merampas takhta mereka.

“Apabila seorang raja yang beriman itu bertitah: “Beta lebih rela menjadi gembala kambing dan unta Ibnu Abbad daripada menjadi gembala babi Raja Kristian yang datang menakluk.”

Hadi berpendapat mengetepikan pembabitan Iran juga bermakna, ia akan diikuti pula oleh kejatuhan kerajaan Islam Syria kepada musuh.

“Iran menjadi penyumbang paling besar kepada Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah kumpulan Syiah di Lubnan juga mendapat kemudahan, sehingga menggagalkan operasi ketenteraan Israel di Gaza dan Selatan Lubnan.

“Semua Negara Arab yang menyokong perjanjian damai dengan Israel secara terbuka atau rahsia tidak mendukung perjuangan di Gaza dan Selatan Lubnan.

“Banyak media Timur dan Barat mendedahkan betapa krisis Syria membesar dengan bantuan senjata Barat melalui Nato di Turki di sebelah utara dan di selatannya Israel.

“Selepas itu disokong oleh kenyataan Bush, selepasnya Obama dan mereka yang berada di bawahnya. Isu Sunni dan Syiah ditiupkan supaya membakar.

“Selepasnya beberapa tokoh ulama rasmi dan tidak rasmi mendukung kenyataan yang membakar itu,” tambahnya.

Presiden PAS itu berkata, kadang kala apabila masyarakat Muslim terlalu lemah untuk bertindak, Tuhan akan menghantar kaum lain untuk menentang musuh yang kejam.

Beliau memberi gambaran pembabitan Russia dalam hal-ehwal politik serta ketenteraan di Syria mungkin campur tangan Illahi yang menyebabkan pihak disokong oleh Zionis dan Barat terhalang, memberi Syria ruang untuk bernafas.

Beliau juga mengingatkan, tiada negara Islam tampil untuk membantu Syria dalam hal ini, kecuali Iran.

Hadi menjelaskan, PAS konsisten dalam penentangannya terhadap campur tangan asing di Timur Tengah.

Beliau berkata: “Kami membaca politik di lapangan antarabangsa, bukan hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam bilik yang sempit.”


Tiada ulasan: