HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Disember 2016

Jangan cakap lagi soal siapa bakal PM, kata Rafizi

 
Naib Presiden PKR berkata pemimpin pembangkang perlu berhenti berbincang mengenainya, kerana mereka nampak seperti sedang “membahagikan harta rampasan perang”.


rafizi_talk


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa pembangkang berhenti berbincang tentang calon perdana menteri dan Kabinet bayangan, sebaliknya menumpukan perhatian kepada isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, rakyat khususnya pengundi atas pagar yang sudah bosan dengan kerenah ahli politik tidak peduli siapa akan menjadi perdana menteri.

“Jangan bercakap seolah-olah kita sudah sibuk membahagikan ‘harta rampasan perang’. Rakyat tidak peduli pun siapa di atas. Mereka semakin kecewa dengan ahli politik.

“Sebaliknya turun ke lapangan, bawa isu yang dekat dengan mereka seperti kenaikan harga barang. Bagi saya ahli Parlimen khususnya dibayar untuk itu,” katanya pada sidang media di pejabat Invoke Malaysia hari ini.

Sebelum ini, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menamakan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri sementara kerajaan PH, manakala Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku timbalannya.

Parti dalam PH sebelum ini juga berulang kali berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai calon perdana menteri mereka.

PH juga sering dikritik kerana gagal mengemukakan Kabinet bayangan dengan kritikan terbaru oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Berhubung perkara itu, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan mengulangi sentimen sama iaitu tidak perlu dibincangkan kerana ia hanya akan dijadikan senjata oleh BN.

“Jangan jatuh perangkap. Tentunya barisan kita akan lebih mewakili kepelbagaian kaum dan ia hanya menjadi peluru untuk dijadikan isu perkauman oleh BN.

“Rakyat di bandar dan kelas pertengahan perlu memahami perkara ini. Jika NGO ingin membantu kita, fokus kepada isu rakyat.

“Semakin kerap kita bercakap tentang calon perdana menteri dan Kabinet bayangan, kita semakin hilang sentuhan dengan orang yang kita perlukan undi mereka,” katanya

Tiada ulasan: