HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Disember 2016

Jenazah juruterbang TUDM disemadi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Upacara pengkebumian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar C Kayamboo, disempurnakan dengan penuh adat istiadat ketenteraan oleh TUDM, petang tadi. 
 
Mendiang maut apabila pesawat Beechcraft King Air 200T yang dikendalikannya terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth petang semalam. 
 
Pegawai dan anggota TUDM memberi tabik hormat terakhir untuk Kayamboo sebelum keranda mendiang ditanam. 
 
Bapa mendiang, M. Chellam, 72, dilihat mengesat air mata ketika upacara pengkebumian itu. 
 
Terdahulu, keranda mendiang dibawa oleh lapan anggota TUDM dari rumahnya di Taman Sri Nibong ke tanah perkuburan di Batu Lanchang untuk persemadian mengikut upacara Hindu.
 
Ahli-ahli keluarga, terutamanya ibu mendiang, M.Indradewi, 65, isteri, S. Usha, 42, dan adik-beradik tidak dapat menahan emosi mereka dan menangis ketika upacara itu. 
 
Lebih daripada 300 orang hadir untuk memberi penghormatan terakhir. 
 
Antara mereka ialah Panglima Udara TUDM Datuk Seri Abdul Mutalib Wahab.
 
Ahli-ahli keluarga turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi kepada Kayamboo sewaktu keranda mendiang ditanam.
 
Dalam kejadian 5.18 petang semalam, Kayamboo, 45, yang menyambut hari lahirnya semalam, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.
 
Kejadian itu turut menyebabkan pembantu juruterbang, Kapten Wai Lik, parah dan kini dirawat di Hospital Nusa Pinang.
 
Dua lagi kru pesawat itu, Leftenan Hamid Ahmad Hanafi dan Sarjan Mohd Sofi Azizan pula dilaporkan stabil, selepas dirawat di Hospital Seberang Jaya.
 
 

Tiada ulasan: