HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Disember 2016

'Kapal buruk HARAPAN bakal karam berebut PM'

MALAYSIAKINI
 


Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengibaratkan pakatan pembangkang umpama kapal buruk yang bakal karam berikutan perebutan jawatan utama kepimpinan negara.

"Kapal belum siap tetapi masing-masing dah kemaruk nak jadi nahkhoda, akhirnya kapal yang akan karam sebelum sempat belayar.

"Belum apa-apa di kalangan mereka mula berebut dan mengidam jawatan PM, inilah pembohongan politik pembangkang yang meletakkan kepentingan peribadi dalam perjuangan mereka," sindir beliau dalam blognya.

Syed Ali merujuk kepada pemimpin blok pembangkang dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mula berebut untuk jawatan perdana menteri.

Justeru, katanya, umum sudah boleh menilai sejauhmana kejujuran pembangkang yang selama ini memperdaya rakyat kononnya mereka berjuang untuk keadilan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah mengesahkan pada minggu lalu Pakatan Harapan dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertemu tidak lama lagi untuk memuktamadkan mengenai calon mereka untuk jawatan perdana menteri.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata keputusan mereka tidak berubah iaitu mahukan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, mereka akur mungkin terpaksa melantik seorang perdana menteri sementara terlebih dahulu.

Kenyataan itu disokong oleh Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu yang mencadangkan Presiden PKR yang juga dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil peranan itu.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, pemimpin pembangkang terlalu optimis bahawa mereka mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, ujarnya, kapal buruk pasti akan tenggelam di dasar lautan sebelum sempat singgah di daratan kerana mereka yang mengemudikan kapal tersebut tidak mempunyai sikap ikhlas dan bertanggungjawab.

"Sebenarnya mereka hanya bermain dengan harapan dan angan-angan yang tidak pernah menjadi realiti kerana teras perjuangan mereka bukan berpaksikan kepada kepentingan rakyat keseluruhannya.

"Angan-angan itulah yang dimanifestasikan sebagai dongeng politik untuk mengabui mata rakyat," tegas beliau

Tiada ulasan: