HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2016

Laporan: Sami protes Najib depan kedutaan M'sia di Myanmar

MALAYSIAKINI



Sekumpulan Sami Buddha dilapor membantah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar Kedutaan Malaysia di Myanmar atas pendirian Putrajaya mengenai isu Rohingya.

Menurut portal berita Rohingya Vision, kira-kira 30 sami melaungkan slogan menentang Najib di luar kedutaan itu kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal Myanmar.

Mereka memegang sepanduk yang berbunyi: "Kutukan terhadap Perdana Menteri Malaysia, jangan beri tekanan kepada kerajaan Myanmar".

Bantahan itu dibuat sehari selepas AFP melaporkan bahawa perdana menteri akan mengambil bahagian dalam protes setiakawan Rohingya di Kuala Lumpur esok.

Najib secara peribadi mengesahkan perkara ini pada majlis penutupan perhimpunan agung Umno hari ini dan perwakilan juga digesa mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Ini telah mencetuskan kemarahan kerajaan Myanmar yang semalam mengeluarkan kenyataan mengkritik Malaysia.

U Zaw Htay, timbalan pengarah pejabat presiden di Myanmar mengingatkan Malaysia dasar tidak campur tangan Asean.

"Menurut prinsip Asean, negara anggota tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota lain.

"Kami sentiasa ikuti dan hormati prinsip ini. Kami berharap kerajaan Malaysia akan terus mengikutinya," beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Wisma Putra mempertahankan protes yang dirancang dan menekankan bahawa apa yang berlaku di Myanmar merupakan isu kemanusiaan yang juga telah menjadi satu isu keselamatan untuk Malaysia.

Lebih daripada satu juta pelarian Rohingya tiba di Malaysia sejak beberapa tahun lalu untuk melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar.

Malaysia tidak secara rasmi mengiktiraf mereka sebagai pelarian dan dasar semasa adalah untuk menghantar mereka kembali selepas konflik di Myanmar selesai.

Kerajaan Myanmar menghadapi bantahan antarabangsa berikutan pembunuhan etnik Rohingya di negara itu. Ini berikutan serangan ke atas sebuah pos tentera Myanmar, yang telah dipersalahkan ke atas Rohingya.

Myanmar tidak mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai rakyatnya.

Tiada ulasan: