HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Disember 2016

Laskar Siber Punca Kesipuan


MUTAKHIR, 14 Disember - Nampaknya percakaran dan maki hamun di kalangan penyokong Najib telah merebak daripada laskar siber bawahan kepada kelas elit. Agenda peribadi mereka telah mengatasi pembelaan MO1.


  


ORIGINAL POSTING

BERBANDING saya, (Tan Sri) Zainuddin Maidin (Zam) lebih rapat dengan Pegawai Nombor Satu Malaysia (MO1), (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.
Saya mula mengenali Najib secara peribadi pada tahun 1977 tetapi Zam mengenali beliau sejak zaman bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, kalau pun tidak secara langsung setidak-tidaknya secara retrospektif.  

Pada zaman Abdul Razak, Zam sudah pun seorang pengarang dan banyak membuat liputan kegiatan Perdana Menteri kedua itu di dalam dan luar negara. Beliau seterusnya menulis sebuah buku mengenai Abdul Razak bertajuk “Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot” (Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak ; Utusan, 1997). 

Dengan Najib pula, Zam bukan sekadar mengenalinya sebagai bahan berita malah juga sebagai rakan politik dan anggota kabinet. 

Jadi apabila beliau menulis atau berkata sesuatu mengenai Najib, apatah lagi mengkritiknya, Zam menulis dengan autoriti berlatarbelakangkan perbandingan di antara anak (Najib) dengan bapa (Abdul Razak).

Tetapi tentu ada pembaca yang pantas dan spontan menolak perbandingan seumpama itu kerana pada pandangan mereka Najib terlalu rendah martabatnya untuk dibandingkan dengan gergasi seperti Abdul Razak atau mana-mana Perdana Menteri Malaysia, hatta (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Zam, Muhyiddin Yassin dan Najib pada zaman bahagia
Jadi apabila baru-baru ini Zam menulis mengenai soal siapa yang akan “kesipuan” (embarass) kalau Dr Mahathir dibenarkan menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru dan timbalan baginda di Istana Negara pada 13 Disember ini, pengertiannya amat dalam.

Antara lain Zam menulis dalam blognya: “Kita dapat menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya Tun hadir di upacara itu iaitu pastinya tetamu kehormat yang berperadaban akan menumpu kepada Tun untuk berjabat tangan atau mencium tangannya sebelum atau selepas upacara.

“Ini akan meletakkan pemimpin Barisan Nasional terutama Perdana Menteri dan Menteri-Menteri berada dalam keadaan serba salah atau kesipuan.”


Saya pun berperasaan serupa. Najib bukan sahaja takut berbahas dengan Dr Mahathir seperti dibuktikan oleh pembatalan kehadirannya di forum “Nothing2Hide” 4 Jun tahun lalu, malah bersemuka atau berada dalam majlis yang sama pun dia tidak berani lagi.

Jadi, bagi saya, kalau Zam membelasah Najib ia adalah perkara biasa. Tetapi apabila Zam memilih untuk belasah laskar siber (cybertroopers) Najib, ia berupa dimensi lain yang meletakkan Najib di tahap lebih rendah. 

Dalam catatan 9 Disember Zam memilih untuk memukul laskar siber Najib bagi menyindir beliau.

Zam menulis: “Saya meminta kerjasama media troopers Datuk Seri Najib atau UMNO supaya memileh orang yang dapat menggunakan bahasa yang sempurna dan tata bahasa yang baik untuk menulis komen di blog ini (zamkata.blogspot.my) kerana bahasa adalah menggambarkan jalan pemikiran.

“Saya beri contoh bahasa yang buruk tanpa punctuation yang betul dengan menyiarkan tulisan pemakan dedak seperti diatas yang tentunya tidak meyakinkan pembaca malah menyebabkan orang memandang rendah pada penyokong Najib.

“Saya tidak hanya menyiarkan tulisan pro Mahathir tetapi juga yang anti Mahathir tetapi tulislah dengan sempurna jika tujuan untuk membuka fikiran ramai bagi membantu Najib."


Setuju Dengan Zam

Maaf cakaplah kalau saya kata, dalam blog kita ini pun hal yang sama berlaku. Ada yang hujah mereka amat sukar difahami atau tidak dapat difahami langsung.

Saya sendiri berperasaan bahawa Najib dan para penasihat media beliau sedar akan betapa daif dan hambarnya laskar siber beliau, sama ada yang diberi dedak atau menyokong secara sukarela.

Kalau kita masih ingat, dalam Perhimpunan Agung Umno 2014, Najib sendiri menuduh laskar siber Umno “bangang” kerana berkelahi sesama sendiri dan menyerang bos-bos Umno.

Rasanya keadaan tidak bertambah baik bagi Najib dan Umno malah mungkin semakin buruk. Laskar siber mereka terus bercakaran dan, dalam beberapa kejadian, menyerang para pembesar Umno, termasuk Najib sendiri umpama burung tiung yang menggigit tangan yang menyuapkannya pisang.

Hatta laskar siber yang berkedudukan tinggi dalam media massa dan pernah dihormati pun tidak lagi cergas dan lantang mempertahankan Najib. Hanya sekali-sekala mereka membuat tampalan (posting) itu pun mengenai hal-hal peribadi seperti pemandangan, sajian makanan, hobi dan bersosial sesama sendiri.

Jentera dan saluran propaganda Umno, Barisan Nasional dan kerajaan menjadi semakin lemah dan tidak berwibawa akibat kejatuhan berterusan pengedaran akhbar dan penontonan stesen TV arus perdana.


Utusan pernah cecah 350,000 naskhah sehari tahun 1990-an


Masalah perniagaan dan kongkongan profesionalisme menyebabkan ramai wartawan kanan yang berwibawa meninggalkan media arus perdana. Sebahagian mereka menyertai media atas talian dan media sosial.

Majoriti mereka kritikal terhadap Najib, Ummo, BN dan kerajaan. Mereka mengubah kiblat daripada mematuhi “wahyu” Putrajaya dan Ibu Pejabat Umno kepada mengamalkan kewartawanan bebas (free) dan merdeka (independent). Blog dan laman sosial mereka adalah antara yang paling ramai pengikut celik.

Yang masih tinggal dalam MAP milik parti-parti BN adalah mereka yang makan gaji untuk menjaga anak, bini dan suami. Di kalangan penjawat kanan pula, majoriti sudah hilang profesionalisme akibat godaan wang dan kuasa.

Tanda Keterdesakan

Perang saudara di kalangan laskar siber Najib dan ketiadaan “class” seperti yang Zam sebutkan adalah bukti tahap keterdesakan yang semakin meruncing.
Mereka tahu yang saat-saat kegemilangan Umno sudah berlaku dan apa jua pujian-pujian yang mereka dendangkan adalah ibarat menyiram air ke atas daun keladi – tertumpah, tercurah tidak meninggalkan kesan.

Dan dengan terdedahnya skandal 1MDB dan disertai pula oleh prestasi ekonomi yang lembap dan kewibaan kerajaan yang merudum, “sungai wang” yang menjadi sumber rezeki, upahan, gajian dan dedak laskar siber semakin hari semakin kering.

Tragedinya adalah manakala laskar siber Najib memperoleh dedak dan temukut 1MDB, mereka yang menikmati beras basmati dan beras gred A pula adalah Jho Low, Riza Shahriz Abdul Aziz dan para konspirator mereka di New York, Los Angeles, Las Vegas dan Monaco.

(Destinasi yang mana agaknya akan dituju oleh keluarga Najib bagi menyambut tahun baru 2017?)

Raja kepada segala ironi dan tragedi jenaka ini adalah Umno dan laskar sibernya kini bermati-matian mempertahankan 1MDB yang berupa lubuk duit Jho Low serta “geng of New York”nya.

Cina Jho Low (kanan) tuduh Umno putar-belit
Inilah Cina kawan keluarga Najib (bukan Cina DAP) yang pada 14 April tahun lalu menghina Umno dengan menuduhnya “spin master” (pakar putar-belit) dan mencabarnya berbahas.

Dalam keadaan yang serba menekan ini, tidak hairanlah kalau ada laskar siber Najib yang lebih gigih mengumpul jerami ketika matahari masih bersinar (making hey while the sun shines) daripada berkorban jiwa raga untuk beliau, Umno, BN dan kerajaan.

Sebab itulah yang kita lihat masih berhujah bagi pihak Najib, keluarganya, Umno, BN dan kerajaan bukan lagi pengamal media profesional yang terbaik dan berwibawa tetapi laskar siber seperti yang Zam sebutkan itu.

Wallahuaklam.


Tiada ulasan: