HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Disember 2016

Mahkamah Persekutuan tolak semakan kes liwat Anwar

ANTARAPOS.DOM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan dan hukuman kes liwat yang dihadapinya.
 
Dalam prosiding yang bermula pada jam 10.19 minit pagi tadi, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan semakan berkenaan mengikut aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai sebarang merit.
 
Mahkamah turut memutuskan tidak berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan kes liwat itu berdasarkan integriti sampel, penyalahgunaan proses mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
 
Dengan keputusan itu, Anwar yang sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki hukuman penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
 
Bagaimanapun peraturan penjara bersabit dengan kelakuan banduan mungkin membolehkan Anwar dibebaskan pertengahan 2018.
 
Pasukan peguam Anwar juga dijangka menimbang kemungkinan mengemukakan rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong baru, Sultan Muhammad V.
 
Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
 
Anwar memohon semakan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Selain itu, secara alternatif dia memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuan itu berdasarkan kepada merit.
 
Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang mensabitkan Anwar dan memerintahkannya dipenjara lima tahun.
 
Pihak pendakwaan diwakili barisan timbalan pendakwa raya diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Kamal Md Shahid manakala barisan peguam Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram

Tiada ulasan: