HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2016

Mangsa banjir Perak, Kelantan meningkat

MALAYSIAKINI



Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 88 orang di dua pusat pemindahan sementara pagi ini berbanding 74 malam tadi, menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak.

Menurutnya, seramai 38 penduduk melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Pengkalan Ara dekat Sungai Manik yang terjejas banjir berada di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara.

Selain itu, 50 penduduk daripada 13 keluarga dari Kampung Padang Serai dipindahkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, lapor Bernama.

Paras air banjir di Kampung Padang Serai ketika ini dilapor antara 0.5 meter hingga 1.4 meter dan keadaan cuaca mendung manakala di Kampung Pengkalan Ara pula, paras air setinggi 1 meter dan cuaca juga mendung.

"Banjir yang berlaku di kedua-dua kawasan berikutan hujan berterusan yang menyebabkan air bertakung," katanya dan menambah, sistem perparitan di kawasan tersebut perlu ditambah baik

Sementara itu Bernama melaporkan mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 75 orang pagi ini berbanding 45 orang malam tadi, menurut portal rasmi kerajaan Kelantan.

Menurut portal http://ebanjir.kelantan.gov.my, seramai 29 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Tiong di Kota Bharu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong malam tadi, membabitkan sembilan lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

Selain itu, 26 mangsa masih ditempatkan di SK Wakaf Raja, Pasir Puteh dan 19 mangsa, masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat dan SMK Beris Panchor, Bachok.

Sementara itu, menurut portal sama, paras air sungai Kelantan di beberapa tempat kembali ke tahap normal pagi ini

Tiada ulasan: