HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Disember 2016

Menjelang PRU14, BN didakwa daftar pengundi hantu


Roketkini.com


SEREMBAN: Menjelang ura-ura Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 awal tahun hadapan, timbul dakwaan pendaftaran ‘pengundi hantu’ yang dipercayai didalangi pihak kerajaan pemerintah, Barisan Nasional (BN).

Membangkitkan perkara itu dalam kemas kini laman sosial Facebook, Adun Nilai, J. Arul Kumar mendapati terdapat hampir 50 pengundi yang diragui itu dikesan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggunakan alamat premis atau rumah yang sudah tidak lagi diduduki.

Malah, katanya, ada juga antara mereka menggunakan alamat kedai dan pejabat di beberapa lokasi di Mantin dan Nilai untuk mendaftar sebagai pemilih dengan agensi pilihan raya terbabit.

Lebih mencurigakan, katanya lagi, lapan daripada 11 premis atau rumah berkenaan dipercayai mempunyai hubung kait dengan pemimpin parti komponen BN, MCA.

“Mengikut SPR pendaftaran pengundi di alamat yang tidak diduduki atau bermastautin oleh pengundi tersebut adalah salah dan kedai pejabat serta penggunaan alamat pusat perkhidmatan untuk pendaftaran pengundi juga salah.

“Justeru diharap SPR dan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan perkara ini,” katanya.

Tindakan “mengimport masuk orang luar” untuk mengundi di kawasan itu, menurut Setiausaha Organisasi DAP Negeri Sembilan itu, adalah satu penghinaan kepada pengundi tempatan yang bermastautin atau tinggal di kawasan tersebut.

“Selain itu, pendaftaran pengundi di sesuatu kawasan daripada orang luar juga akan mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan tidak memberikan peluang kepada pengundi tempatan untuk memilih wakil mereka di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat

“Sebagai rakyat Malaysia kita harus menolak taktik kotar ini dan perlu memastikan pilihan raya di negara ini berlangsung dengan adil dan bersih,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: