HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2016

'Menteri Malaysia sudah jumpa Suu Kyi tapi...'

Aung San Suu Kyi
Aung San Suu Kyi

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menempelak sikap ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang bersikap tidak mahu ambil kisah mengenai etnik Rohingya.

Najib berkata, Malaysia telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk bertemu Suu Kyi bagi membincangkan isu itu, namun mendapat reaksi dingin daripada pemenang anugerah Nobel Keamanan itu.

"Saya minta Menteri Luar kita ke Myanmar..,tetapi Suu Kyi kata kalau nak  jumpa dia hanya bincang isu hubungan dua hala sahaja.

 "Kata Suu Kyi, saya tidak mahu bincang mengenai isu Rohingya...ini mana boleh. Kita mesti bincang segalanya," katanya ketika memberi ucapan sempena Himpunan  Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya penyertaan Myanmar dalam komuniti Asean tidak membawa sebarang makna kerana mereka telah melanggar satu prinsip dalam Piagam Asean iaitu kemanusiaan.

"Piagam Asean pertahankan hak asasi manusia. Myanmar  pakai satu sahaja. Artikel dalam Asean banyak.

"Dia baca satu sahaja. Kita tidak boleh campur tangan dalam urusan negara lain... dia tidak baca yang lain. Yang lain sebut bahawa hak asasi Asean pertahankan hak asasi manusia. Mereka buat ke?

"Janganlah cakap ikut sesuka hati. Apa dia nak kita buat. Kita masuk Asean sebagai 'community of nation'.

"Kita satu komuniti bila berlaku kezaliman dan kekejaman orang dan dicabul hak asasi apakah ini bukan penentangan terhadap hak asasi manusia," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menyeru kepada rakan sejawatannya, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra disapa Jokowi bagi turut bersama beliau dalam memperjuangkan isu ini.

"Saya nak minta Jokowi adakan himpunan yang sama seperti kita hari ini, Rohingya perlu diperjuangkan," katanya lagi.


Tiada ulasan: