HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Disember 2016

Mufti Perlis: Fatwa penjagaan anak dibawa ke sidang DUN

ANTARAPOS.COM


Post Pic
  
 
KANGAR: Jabatan Mufti Negeri Perlis memandang serius persepsi dan kerisauan dalam kalangan orang bukan Islam mengenai hak hadanah atau penjagaan anak dan keizinan pendaftaran agama Islam bagi anak daripada ibu bapa berlainan agama.
 
Muftinya Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata bagi menjawab kekeliruan berkaitan isu tersebut, intipati Fatwa Negeri Perlis berhubung hak berkenaan bagi anak di bawah umur 18 tahun yang dikeluarkan pada 2015 akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk diwartakan.
 
Katanya, usul itu nanti memberi perhatian tentang pasangan suami isteri yang seorang daripada mereka beragama Islam tidak boleh memaksa anak mereka memeluk Islam tanpa kerelaan anaknya itu selepas berlaku perceraian.
 
"Di Perlis, suami isteri (bukan Islam) yang bercerai dan seorang daripada mereka tidak memeluk Islam, maka hak hadanah anak dan penetapan agama tidak dinilai sebagai perkara utama mengikut agama ibu atau bapa.
 
"Soal kemaslahatan anak tersebut menjadi perkara utama dan mesti tiada unsur paksaan dalam menentukan agama anak-anak berkenaan, di mana jika ibunya bukan Islam tetapi lebih berkemampuan serta dapat menjamin dari sudut perkembangan moral, emosi, serta keperluan anak itu, maka ibunya lebih layak walaupun bapanya seorang Islam," katanya dalam sidang media di Kangar semalam.
 
Mohd Asri berkata Fatwa Negeri Perlis mengenai hak hadanah ibu bapa berlainan agama sudah diluluskan serta mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail cuma ia belum diwartakan.
 
Beliau berkata usul berkaitan fatwa itu nanti akan dibacakan bersama-sama Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis (Pindaan) 2016 pada sidang DUN seterusnya.
 
"Kita tidak mahu berlaku kekeliruan dan manipulasi ibu atau bapa yang mendaftar anak mereka sebagai Islam tanpa kerelaan anak terbabit kerana itu dianggap paksaan dan unsur paksaan tiada dalam Islam.
 
"Jika anaknya berusia tiga tahun serta masih belum memahami apa-apa, mustahil untuk ada kerelaan dari anak itu dalam memeluk Islam," katanya.
 
Katanya anak terbabit perlu menunggu usianya menjangkau 18 tahun untuk memilih agama Islam tanpa perlu meminta keizinan sesiapa.
 
 

Tiada ulasan: