HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Disember 2016

Myanmar terhutang budi dengan Malaysia, kata Syed Hamid

 
Bekas menteri luar itu berkata ketika Myanmar tidak menerima Aung San Suu Kyi, Malaysia mengadakan pertemuan dengan duta tentera Myanmar mendesak proses demokrasi dihormati. 


Tan-Sri-Syed-Hamid-Albar-Spadnews


PETALING JAYA: Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata kerajaan Myanmar perlu memandang serius dengan kebimbangan Malaysia terhadap penindasan yang berlaku ke atas etnik Muslim Rohingya.

Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar itu berkata negara itu berhutang budi dengan Malaysia dalam isu Asean serta pernah membela penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi.

“Malaysia salah satu negara yang tampil meletakkan Myanmar dalam Asean sedangkan semua pihak menentang pada masa itu.

“Semasa Aung San Suu Kyi tidak diterima kerajaan Myanmar, kita negara yang ke depan pergi jumpa dan bercakap kepada duta tentera dia (Myanmar) supaya menghormati proses demokrasi.

“Kita juga mempertaruhkan reputasi Malaysia, sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ambil rakyat Malaysia menjadi wakil khas pada Myanmar untuk membincangkan soal layanan terhadap Suu Kyi,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia mengutuk keganasan yang tercetus di Rakhine, daerah penempatan Muslim Rohingya sejak beberapa bulan lalu.

Sekurang-kurangnya 86 orang dilaporkan terbunuh, manakala kira-kira 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam pertumpahan darah paling teruk di rantau ini sejak kejadian kematian beratus orang dalam pergaduhan kaum pada 2012 di negara itu.

Syed Hamid yang juga bekas menteri luar berkata, kebimbangan kerajaan juga berasas kerana Malaysia menerima impak paling kuat dan menjadi negara terbanyak menerima pelarian Rohingya.

“Kita sebagai negara jiran terdekat terpaksa menerima kesan limpahan impak paling kuat. Kita terpaksa menyuarakan pandangan kita dan kita bukannya suarakan melalui makian atau tindakan kurang ajar.

“Kita zahirkan kebimbangan dan berharap kerajaan Myanmar dapat mengambil kira pandangan kita agar soal kemanusiaan diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menegur Myanmar dalam isu ini memandangkan Malaysia menjalinkan hubungan rapat dan negara itu tidak seharusnya bertindak berasaskan emosi.

“Kita menganggap Myanmar negara yang rapat dan baik dengan kita, sebab itu kita tegur. Ini satu perkara yang tidak mudah, ia perkara serius. Apa yang kita tegur masih dalam lingkungan amalan pihak antarabangsa.

“Ini bukan soal hendak campur tangan dalam pentadbiran Myanmar. Tetapi bila soal jenayah dan kemanusiaan, sebagai ahli Asean, kita akan duduk bersama,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata Malaysia berdepan masalah kebanjiran pelarian dari Myanmar.

Rekod kini menunjukkan terdapat 56,000 Rohingya dan warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Tiada ulasan: