HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Disember 2016

Najib cuba takutkan Melayu, alih perhatian rakyat terhadap skandal kewangan negara

tonypua1

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Fitnah dan sentimen perkauman yang dimainkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak terhadap DAP adalah taktik kotor untuk menakut-nakutkan kaum Melayu dan mengalihkan perhatian rakyat daripada kemelut terbesar skandal kewangan negara.

Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 semalam, Najib menfitnah kononnya perlembagaan DAP tidak menjunjung institusi raja-raja Melayu dan tidak berusaha melindungi hak dan keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera.
perlembagaan-dap

Namun, tohmahan Najib itu jelas tersasar daripada hakikat bahawa perlembagaan DAP sememangnya mengangkat semangat Perlembagaan Negara seperti yang termaktub dalam Deklarasi Shah Alam semasa Persidangan DAP 2012.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, deklarasi yang dipersetujui sebulat suara pada 8 Januari 2012 itu menyentuh beberapa perkara iaitu mengenai kedaulatan institusi raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak kaum Melayu dan Bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Adakah Najib Razak buta huruf sehingga beliau tidak faham apa yang tertulis dan diterbitkan (dalam perlembagaan DAP) oleh DAP sebelum ini?

“Atau adakah beliau sengaja memfitnah untuk mengapi-apikan kebencian perkauman di kalangan kaum Melayu supaya segala skandal beliau, termasuk penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB dan SRC International ke dalam akaun peribadi beliau dilupakan?” soalnya.

Zahid pun tidak mahu ketinggalan

PAU 2016 yang berlangsung sejak Isnin lepas dilihat ramai pemerhati sebagai medan bagi pemimpin UMNO untuk menghentam pemimpin yang pernah disanjung mereka dahulu selain menabur fitnah terhadap DAP dengan isu perkauman yang tidak henti-henti diputar belitkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam ucapannya semasa persidangan itu turut sempat mengikut jejak presidennya dengan melemparkan tuduhan dengan mengatakan bahawa pihak pembangkang kononnya menggunakan strategi Nazi bagi mencipta persepsi.

Zahid, yang sebelum ini mendakwa kononnya ‘derma’ RM2.6 bilion yang diterima Najib adalah hasil daripada sumbangan penderma Arab berketurunan raja dan kemudiannya didapati tidak benar berdasarkan siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat, berkata: 

“Hitler pernah menulis bahawa: If you are going to tell a lie, tell a big one and if you tell it often enough, people will begin to believe it. (Jika kamu mahu berbohong, buatlah pembohongan yang betul-betul besar, dan jika kamu kerap mengulanginya, orang akan mempercayainya).

“Plot pembangkang di negara ini juga seakan hampir sama”.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, bagaimanapun menempelak tuduhan itu.

“Apa yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, terutamanya mengenai penyelewengan kewangan 1MDB dan SRC oleh Presiden UMNO, yang juga merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah terbukti benar dan tidak dinafikan oleh Najib Razak. 

“Walhal, yang benar-benar mempergunakan strategi pembohong besar Nazi adalah Najib Razak sendiri, seperti yang telah dibuktikan di atas,” ujarnya. 

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam dokumen saman sivil bagi merampas aset yang diperolehi melalui penyelewengan 1MDB, mendapati terdapat kira-kira AS$731 daripada syarikat berkenaan telah dipindahkan ke akaun peribadi “Malaysia Official 1” (“MO1”).

“MO1” dirujuk secara meluas sebagai Perdana Menteri, dan diakui dan disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: