HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2016

Najib: Myanmar gertak, saya tak peduli


MALAYSIAKINI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata himpunan solidariti Rohingya hari ini bertujuan untuk memberi mesej kepada kerajaan Myanmar bahawa Malaysia membantah penganiayaan dilakukan ke atas etnik Rohingya di negara itu.

Berucap dalam himpunan yang diadakan di stadium Mini Titiwangsa itu, Najib berkata isyarat sama diberi kepada menteri luar Myanmar, Aung San Suu Kyi yang pernah menerima anugerah nobel keamanan.

"Kita nak beri isyarat kepada kerajaan Myanmar. Kita nak beritahu kepada Aung San Suu Kyi. Enough is enough," katanya.

Najib berkata, Malaysia tidak berhasrat campurtangan dalam urusan Myanmar, sebaliknya mengingatkan negara itu mengenai piagam Asean yang menekankan hak asasi manusia.

Ini berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal negara itu.

"Kerajaan Myanmar akan anggap saya campur tangan dalam urusan Myanmar. Dia gertak saya, saya tak peduli.

"Sebab saya akan hadir (himpunan ini) atas nama Najib. Saya hadir atas nama ummah dan rakyat Malaysia.
"Bukan kita nak campur tangan. Kita nak ingatkan Myanmar charter Asean juga mempertahankan hak asasi manusia," kata Najib.

Minta Indonesia suarakan bantahan

Beliau juga menggesa presiden Indonesia Joko Widodo agar meminta rakyat republik itu berhimpun bagi menyuarakan bantahan terhadap Myanmar.

"Rohingya mesti diperjuangkan di Indonesia. Kita nak tunjuk bahawa kita dalam Asean ini, kita tak redha. Kita mesti bertamadun.

"Ini sebahagian maqasid syariah. Ini wajib, ini bukan pilihan. Sebab itu Umno dan PAS ada dalam himpunan. Ya, kita boleh berbeza pendapat. Soal Islam, soal ummah ini bukan politik, ini wajib," katanya.

Dalam ucapannya Najib turut menyelar Aung San Suu Kyi kerana enggan bertemu menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi membincangkan isu Rohingya.

"Suu Kyi kata apa, 'Jika kamu (Anifah) mahu berjumpa dengan saya mengenai isu-isu dua hala ya, tetapi saya tidak sanggup berjumpa kamu untuk bincangkan isu Rohingya'," kata Najib.

"Mana boleh. Apa makna community of nation. Apa makna nobel prize (anugerah nobel)," katanya.

Sementara itu, timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mempersoalkan pendirian Suu Kyi mengenai nasib etnik Rohingya di negara itu.

"Saya nak tanya pemimpin negeri sana yang terima anugerah nobel keamanan. Apa yang dilakukan di negeri itu untuk wujudkan keamanan.

"Ini bukan campurtangan, ini soal kemanusiaan. Kita akan bangkit semula untuk perjuangkan rakyat Rohingya," katanya.

Tiada ulasan: