HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Disember 2016

Paksa isteri teguk racun

Paksa isteri teguk racun
Tertuduh (kiri) dikawal polis keluar dari mahkamah dan akan dihantar menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa.
 
 
KOTA BHARU – Seorang pekerja kontrak dihukum penjara tiga tahun setengah oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini kerana cuba membunuh isterinya dengan memaksa wanita itu meminum racun.

Hakim, Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Abdullah Zaini, 36, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.

Tertuduh didakwa memaksa Syarifah Mohd Yusoff, 35, meminum racun hingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di sebuah rumah di Kampung Pak Roman, Machang, pada jam 6 petang, 2 Jun lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit bersalah.

Nazri sebelum menjatuhkan hukuman itu sempat memberi nasihat kepada tertuduh supaya mengambil iktibar di atas kejadian itu.

“Saya harap hukuman pemenjaraan yang dikenakan ini akan dapat memberi keinsafan kepada kamu dan selepas mengambil kira kepentingan awam dan isteri kamu, maka kamu dikenakan hukuman ini,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nurie Abd Rahman.

Terdahulu, peguam Ahmad Nurie memohon anak guamnya dikenakan hukuman minimum yang berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu 5 Jun lalu.

“Tertuduh menyesali kesilapannya yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai seorang suami. Selain itu, tertuduh telah berada dalam tahanan polis selama enam bulan,” katanya.

Norazlinawati, bagaimanapun mencadangkan hukuman yang sesuai sebagai pengajaran kepada diri tertuduh dan masyarakat awam.

“Sebagai suami, tertuduh sepatutnya membela isterinya, sebaliknya tertuduh sendiri yang menyakiti wanita itu. Kesalahannya pula sangat serius dengan memberi racun yang boleh menyebabkan kematian mangsa,” katanya.

Dalam kejadian itu, anak tertuduh memberitahu neneknya (ibu mangsa) bahawa pasangan itu bergaduh serta tertuduh menyepak mangsa. Ketika ibu mangsa sampai di rumah tersebut, dia mendapati mangsa berada di dalam bilik dengan keadaan separuh sedar bersama tertuduh.

Mangsa memberitahu bahawa tertuduh memaksa dia meminum racun rumpai dan kemudian dibawa anak saudaranya ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hasil siasatan polis, tertuduh menunjukkan sehelai baju dan seluar panjang serta sebotol plastik berwarna putih yang mengandungi cecair berwarna kehijauan, racun rumpai.


Tiada ulasan: