HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Disember 2016

Pelajar tingkatan 3 terpaksa bekerja bantu keluarga, dapat perhatian DAP Johor


Roketkini.com
 
KLUANG: Musim persekolahan baru 2017 hampir bermula. Walaupun anak-anak lain sedang gembira meluangkan masa percutian bersama keluarga, perkara ini tidak berlaku kepada adik Mohd Shafik, 15, yang terpaksa melakukan kerja sampingan demi menampung keluarganya.

Beliau terpaksa bekerja sebelah malam di kedai makan bagi membantu ibu bapa serta dua lagi adiknya memandangkan ayahnya telah diberhentikan kerja akibat serangan angin ahmar.

Keluarga ini terpaksa bergelut dengan kepayahan menyediakan keperluan persekolahan anak-anak meliputi yuran, buku dan pakaian sekolah.

Tanggungjawab yang ditanggung Shafiq itu memberi gambaran tentang beban yang terpaksa dipikul oleh seorang anak pada usia yang begitu muda demi keberlangsungan keluarganya ketika berhadapan kemelut ekonomi negara yang semakin menekan.

Kepayahan yang terpaksa dihadapi keluarga adik Mohd Shafiq ini telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.



“Dengan segala keterbatasan sebagai ahli parlimen pembangkang, saya dan rakan-rakan DAP Kluang telah mengambil inisiatif mendekati rakyat Kluang yang pemurah untuk menyalurkan sumbangan berupa pakaian seragam persekolahan kepada beberapa keluarga yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, pada 3 dan 17 Disember baru-baru ini, beliau dan rakan-rakan DAP Kluang telah membawa keluarga adik Mohd Shafiq membeli kelengkapan persekolahan masing-masing.

“Kos sara hidup khususnya untuk rakyat berpendapatan sederhana dan rendah kian meningkat.

“Saya tegaskan pendirian saya bahawa isu-isu melingkari kepimpinan dan ekonomi negara adalah antara faktor besar yang menyumbang ke arah peningkatan kos sara hidup ini,” ujarnya.

Pengerusi DAP Johor itu menegaskan, skandal mega 1MDB, cukai GST, pemotongan subsidi dan banyak lagi polisi yang tidak menyebelahi rakyat era kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengakibatkan pendapatan bolehguna isi rumah terhakis.

“Logik mudah, dengan jumlah pendapatan isi rumah sekitar RM2,500 – RM3,000 sekalipun, rakyat tetap berhadapan kesulitan untuk menanggung kos perbelanjaan harian yang semakin tinggi,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: