HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Disember 2016

Polis wanita sembunyi maklumat pengganas dipenjara 7 tahun

Koperal Jusninawati Abdul Gani disabitkan bersalah atas pertuduhan dengan sengaja tidak memberikan sebarang maklumat berkaitan kumpulan pengganas kepada pihak berkuasa.


Jusninawati-lindungi-daesh

KUALA LUMPUR: Menyifatkan kesalahan berkaitan pengganas adalah serius dan perlu dibendung hingga ke akar umbi, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara maksimum 7 tahun terhadap seorang anggota polis wanita kerana tidak memberikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas kepada pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Koperal Jusninawati Abdul Gani, 35, selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan dengan sengaja tidak memberikan sebarang maklumat berkaitan kumpulan pengganas kepada pihak berkuasa.

Tertuduh ialah anggota polis wanita pertama dihukum penjara bagi kesalahan berkaitan kumpulan pengganas

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditangkap pada 22 Mac lepas.

Nordin berkata tertuduh yang diamanahkan untuk menjaga undang-undang gagal memikul amanah itu hingga menyebabkan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai “Abu Kedah” pergi ke Syria dan terkorban.

“Tugas anggota polis adalah untuk mengumpul maklumat mengenai kumpulan pengganas dan memprosesnya serta memberi maklumat yang diperoleh kepada pihak berkuasa. Tertuduh yang merupakan anggota polis terlatih sepatutnya tidak menjadikan alasan untuk tidak memberi atau mendedahkan maklumat di luar kewajarannya,” kata Nordin.

Beliau berkata Jusninawati yang memberi keterangan secara tidak bersumpah dalam kandang tertuduh dengan membacakan kenyataannya, turut menafikan pertuduhan yang dihadapinya.

Namun, Nordin berkata Jusninawati tidak menafikan “Abu Kedah” ada memberitahunya dia ingin membawa saksi pertama pendakwaan (SP1) Nor Azimah, yang juga merupakan rakan Facebook tertuduh ke Syria.

Nordin berkata tertuduh dalam pembelaannya menyatakan maklumat yang diperolehnya itu hanya cakap kosong dan bukan senang untuk masuk ke Syria kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

“Tertuduh juga menganggap cerita ‘Abu Kedah’ untuk membawa SP1 ke Syria adalah cakap kosong dan maklumat itu tidak perlu diberitahu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Nordin berkata berdasarkan keterangan saksi, tertuduh juga berhasrat ke Syria tetapi niatnya terhalang kerana masalah kewangan, bagaimanapun mahkamah berpendapat tidak timbul isu kesukaran untuk tertuduh pergi ke Syria, kerana dia mengetahui beberapa anggota IS turut berada di sana.

“Tertuduh juga masih berhubung dengan anggota lain di Syria meskipun dinasihati polis Bukit Aman untuk tidak melibatkan diri dengan kumpulan pengganas itu,” katanya.

Jusninawati yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat berkenaan kesalahan yang dipercayai perbuatan keganasan di pejabat IPD itu antara Ogos 2015 dan Mac 2016 mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon hukuman penjara yang setimpal berbentuk pengajaran bagi mencerminkan keseriusan kesalahan itu.

“Tindakan tertuduh tidak memberikan maklumat mengenai kumpulan pengganas itu menyebabkan satu kehilangan nyawa berlaku dan tertuduh memang sengaja untuk tidak memberi maklumat berkenaan,” katanya.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili Jusninawati merayu hukuman ringan kerana anak guamnya perlu menjaga 2 anaknya yang masih bersekolah dan dia juga berpisah dengan suaminya serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Tiada ulasan: