HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Disember 2016

Pulau Pinang: Bayaran bonus akhir tahun kepada kakitangan awam, guru agama pada 22 Disember

bajet-pp

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi bayaran bonus akhir tahun sebanyak 50 peratus daripada sebulan gaji pokok, atau minimum RM700 kepada kakitangan awam negeri pada 22 Disember ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata beliau berharap agar bayaran bonus berkenaan dapat meningkatkan semangat semua kakitangan dalam memberi perkhidmatan lebih cemerlang pada tahun-tahun akan datang.

“Marilah kita bersama-sama berusaha gigih dalam merealisasi aspirasi ke arah negeri keusahawanan dan kebajikan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum ini telah mengumumkan hal itu pada pembentangan Belanjawan 2017 Pulau Pinang pada tengah bulan lalu.

Setiausaha Agung DAP itu menjelaskan, pelaksanaan bayaran bonus tersebut turut mengambil kira peningkatan kos hidup yang begitu ketara hari ini berikutan kenaikan harga barangan seperti minyak petrol, minyak masak dan bahan-bahan subsidi lain.

“Pembayaran itu melibatkan keseluruhan 4,178 anggota Perkhidmatan Awam Negeri dengan jumlah RM4.19 juta,” katanya.

Pada masa sama, bayaran bonus sebanyak RM300 diberikan kepada 1,502 penyelia dan guru KAFA, 225 guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 185 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 522 guru dan staf Sekolah Persendirian Cina.

Bonus sebanyak RM200 pula akan disumbangkan kepada 279 guru tahfiz, guru sekolah pondok dan guru Tadika Islam Pulau Pinang.

Pulau Pinang seperti disahkan oleh Jabatan Audit Negara mempunyai rekod cemerlang dalam perakaunan dalam pengurusan kewangan.

Malah, ia merupakan negeri yang terawal membentangkan penyata kewangan serta mendapat pujian setiap tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara.  Roketkini.com


Tiada ulasan: