HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Disember 2016

Puteri Umno sedia jadi 'komando' menangi hati rakyat

MALASIAKINI
 
Skuad #PuteriPeduli akan digembleng seperti 'komando' bagi memenangi hati dan keyakinan rakyat kepada Umno sekali gus membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata skuad itu akan menjelajah ke seluruh negara walaupun ke hutan belantara bagi mendekati rakyat.

"Mereka inilah akan mendekati hati rakyat dengan pelbagai program bagi memastikan kebajikan rakyat terbela," katanya pada sesi penggulungan di perhimpunan agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau berkata pergerakan itu bersedia untuk bersama-sama sayap lain menanggung tugas berat tersebut dengan menubuhkan Sekretariat Unit Khidmat Pilihan Raya dalam mengatur gerak kerja bersama.

"Kalau Kakak JR (Jalinan Rakyat) perlukan tenaga, #PuteriPeduli boleh bantu sama kesan pengundi. Kalau Pemuda perlukan kami untuk kerja gerak gempur, Skuad #PuteriPeduli sedia gempur bersama!

"Saya menyeru agar kita semua berpadu tenaga dan seia sekata untuk menggempur serta menghalang percaturan petualang negara. Kita mesti menang dalam PRU14!," katanya.

Mas Ermieyati juga mengingatkan perwakilan bahawa Umno kini tiada pilihan selain mempertahankan kemenangan bagi meneruskan kelestarian negara bangsa yang diwarisi sejak turun-temurun.

Beliau turut menggesa semua anggota parti supaya membulatkan tekad untuk menang pada PRU14 seterusnya menjadikan ia sejarah yang paling gemilang.

"Semalam, Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) membayangkan situasi yang bakal berlaku jika DAP mengambil alih pemerintahan negara. Apakah kita semua mahu membiarkan hal itu berlaku?," katanya.

Beliau juga menyeru semua anggota Umno supaya mengelak politik kebencian sebaliknya hanya membibitkan politik kasih sayang dalam parti walaupun berlaku pertembungan antara harapan, kesetiaan dan penderhakaan oleh bekas anggota terdahulu.

Katanya Puteri Umno akan terus memilih untuk setia dengan parti terbesar Melayu itu dan juga kepimpinan Najib.- Bernama

Tiada ulasan: