shahbudindotcom
PPBM
dijangka akan menganggotai Pakatan Harapan secara rasmi pada 13
Disember ini. Ia sekaligus menjadikan gabungan yang disertai PKR, DAP,
Amanah dan PPBM itu mampu muncul sebagai pencabar utama kepada BN dalam
pilihanraya akan datang ini.
Berdasarkan
ucapan Najib Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, PRU 14
mungkin hanya beberapa bulan saja lagi daripada sekarang. Najib tidak
mungkin menangguhkan lagi tarikh pembubaran Parlimen sehingga UMNO perlu
bersidang sekali lagi kerana momentum persediaan pilihanraya yang sudah
dipasakkannya akan menjadi anti-klimaks.
Oleh
itu, Pakatan Harapan dengan keanggotaan empat parti sedia ada dan dalam
masa yang sama menjalin kerjasama dengan Warisan di Sabah tidak perlu
berlengah lagi untuk melancarkan gerak kerja bagi menumbangkan BN dan
seterusnya muncul menjadi kerajaan yang baru.
Selain
kerana pengaruh Tun Mahathir yang tetap gigih untuk menjatuhkan Najib
dengan pelbagai gaya serangannya, kebencian rakyat pada tahap gaban
kepada Perdana Menteri ketika ini dan ia sentiasa meningkat hari demi
hari, tidak banyak lagi yang mampu dilakukan oleh BN untuk
mempertahankan kuasa mereka.
Hampir
tidak ada lagi segmen dalam masyarakat yang suka kepada Najib. Beliau
lebih banyak dipersenda, diperlekeh dan dipermain-mainkan oleh rakyat di
serata pelusuk negara yang menandakan mereka hanya menunggu masa saja
untuk merealisasikannya.
Kegusaran
rakyat selama ini kepada parti-parti pembangkang ialah mengenai
tiadanya kesepakatan dan sering berbalah sesama mereka. Rakyat memang
ingin menolak dan menghumban UMNO dan BN ke gaung yang dalam, tetapi
dalam masa yang sama tertanya-tanya tentang kekukuhan Pakatan Harapan
yang dianggap sebagai pengganti kerajaan sedia ada.
Dengan
PPBM sebagai komponen terbaru Pakatan Harapan, selepas 13 Disember itu,
mereka perlu terus bergerak ke hadapan untuk meyakinkan rakyat tentang
kemampuan dan kesepakatan yang ada. Pengaruh dan pengalaman Tun Mahathir
pasti juga memberi markah tambahan dalam hal ini.
Jika
Pakatan Harapan dapat meyakinkan perkara itu kepada rakyat serta
bersama kebencian sedia ada kepada Najib, Rosmah dan sebahagian besar
menteri-menteri yang tidak berguna serta selalu membuatkan rakyat sakit
telinga, percayalah gabungan itu akan disambut dengan sokongan yang
lebih terbuka oleh rakyat.
Lupakanlah
Pas dan biarkan parti itu mengecil dengan sendirinya melalui tindakan
dan gerak kerja Pakatan Harapan yang lebih kukuh dan sentiasa bersama di
tengah-tengah hari demi hari sehingga ke hari pembuangan undi.
Apa
berlaku kepada Pas seterusnya, pulangkan kembali kepada parti itu untuk
membuat keputusan. Jika Pas merasakan Pakatan Harapan lebih diyakini,
dia boleh datang untuk berunding dan bergerak bersama-sama bagi
mengalahkan UMNO dan BN, tetapi tentunya dengan syarat bahawa ia perlu
menerima semua semua parti dalam gabungan itu seadanya.
Pas
tidak boleh lagi hanya memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dan PKR
saja misalnya, tetapi enggan walau tersenyum dengan DAP dan Amanah.
Menerima Pakatan Harapan bermakna menerima semua komponen di dalamnya.
Kiranya
Pas melihat Najib "lebih kacak dan bergaya", maka parti itu juga boleh
beralih dan menjalin kerjasama dengan UMNO dan BN. Jika menang, bolehlah
lebai-lebai pemimpin Pas mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri
atau kiranya BN kalah pula, sekurang-kurangnya dapatlah membimbing para
pemimpin UMNO yang sudah kehilangan jawatan agar lebih mendekatkan diri
kepada Tuhan dan akhirnya mudah-mudahan diberikan syurga sebagai
balasan.
Setelah
Pakatan Harapan mengukuhkan kerjasama sesama mereka dan bergerak untuk
menawarkan perubahan, seandainya ketika itu Pas tetap juga mahu
bersendirian dengan blok ketiga dan Gagasan Sejahteranya, rakyat pasti
dapat menilai dan melihat wajah sebenar mereka.
Di
ketika rakyat amat benci dan ingin menolak kerajaan kleptokrasi yang
menyebabkan ribuan juta ringgit hilang, tetapi di dalam negara ia
dilindungi dengan berbagai-bagai cara untuk mengelakkan pendakwaan,
namun hanya di luar negara satu demi satu pendedahan dan tindakan,
rakyat pasti tertanya-tanya kenapa Pas tidak ingin bersama-sama ke arah
kebaikan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan