HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Disember 2016

Sokong Bersatu tanding PRU14 guna logo PKR

nik-nazmi-nik-ahmad 


SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Gopeng agar Pakatan Harapan dan Bersatu menggunakan logo PKR sebagai simbol bersama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini berikutan Pakatan Harapan sendiri dan Bersatu merupakan entiti politik yang boleh dianggap baharu.

“Penggunaan logo PKR adalah kritikal kerana ia merupakan logo yang paling mudah diterima serta membolehkan rakyat memilih sebuah alternatif yang dikenali.

“Selain itu, simbol Keadilan serta ideologi parti ini melambangkan kepelbagaian di dalam masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, cadangan menggunakan satu logo itu turut mendapat sokongan dari pemimpin lain seperti bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tambahnya lagi, penggunaan satu logo itu penting kerana rakyat perlu diyakinkan bahawa Pakatan Harapan dan Bersatu adalah satu kerjasama politik yang mantap.

“Matlamat gabungan ini adalah untuk menyelamatkan negara ini daripada kerakusan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan membentuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Oleh itu, kita harus jelas dengan teras ini dan bekerjasama untuk meyakinkan rakyat bahawa kita boleh mendapatkan konsensus ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: