HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Disember 2016

Tak mahu berunding, Amanah persoal 'politik matang' PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata partinya enggan 'ambil pusing' kedegilan PAS yang masih bermain tarik-tali bersabit kerjasama antara pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Tegasnya apa yang penting adalah komitmen yang ditunjukkan Amanah, PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang merangka pelbagai strategi khusus dalam membentuk persaingan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang, termasuk hal-hal bersama yang melibatkan pembangkang.
 
"Empat parti ini sudah menunjukkan sikap untuk bersama. Yang lain boleh datang kemudian. Kami bukan golongan keras kepala, samseng, boleh bersama. Tetapi kena ada jangka masa.
 
"Waktu Zohor ada masanya, habis Zohor masuk Asar. Kita tak boleh tunggu. Cukup masa kita kena teruskan. Setakat ini empat parti sudah bersedia," katanya di sidang media Pakatan Harapan (PH), petang tadi.
 
Anuar juga ditanya mengenai keengganan PAS mengalah memberikan kerusi kepada parti itu, apatah lagi kerap bertindak menyerang Amanah dan DAP.
 
Sikap PAS itu lantas dipersoal Amanah, apatah lagi parti itu sering mengatakan ia membawa budaya politik matang.
 
"PAS harus hormat kami. Kami menghormati mereka sebagai parti politik yang sudah lama, sudah 65 tahun. Kami parti alaf baru. Kami ada pendirian, pandangan, ada hal yang boleh kita bersama. Jadi tiada masalah. 
 
"Dengan terus membuat syarat tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah dalam apa jua keadaan, tidak mahu berunding, tidak mahu bersama, pada saya itu sikap yang terlalu keras. Mereka (PAS) sebut mereka amalkan politik matang, (namun) saya tak faham apa takrifan matang. Tidak timbul siapa rebut siapa, yang penting adalah kepentingan rakyat supaya wujud gabungan yang kuat," katanya kepada pemberita.
 
Respon itu diberikan merujuk kepada ketegasan PAS buat kesekian kalinya yang tidak akan sesekali bekerjasama dengan Amanah dan DAP.
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada hari ini juga berkata partinya tidak akan memberikan sebarang kerusinya kepada dua parti berkenaan selepas kecewa dengan tindak-tanduk Amanah dan DAP.
 
Sebelum ini Amanah dilaporkan bersedia membuka pintu kepada mana-mana pihak, termasuk PAS jika mahu bekerjasama untuk menewaskan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.
 
 

Tiada ulasan: