HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Disember 2016

TERMETRAI SATU LAGI SEJARAH

shahbudindotcom


PERJANJIAN KERJASAMA 
PAKATAN HARAPAN 
DAN
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

13 Disember 2016 

Dengan ini memeterai satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan – PPBM mengenai persetujuan-persetujuan bersama oleh keempat-empat parti di dalam perkara-perkara seperti yang terkandung dalam dokumen ini.

Mewakili PAKATAN HARAPAN dan PPBM kami berjanji bahawa persetujuan-persetujuan ini akan dihormati, didokong dan dilaksanakan bersama oleh parti-parti kami selagi perjanjian ini berkuatkuasa dan persetujuan-persetujuan di dalamnya adalah mengikat keempat-empat parti.

DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL 
Presiden KEADILAN

LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH TAN SRI 

DATO' HJ MUHYIDDIN 
HJ MOHD YASSIN
Presiden PPBM

Ditandatangani pada hari ini 13 Disember 2016 Masehi bersamaan 13 Rabi'ul Awwal 1438 Hijrah di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

*PERJANJIAN*

BAHAWASANYA Pakatan Harapan (yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan AMANAH); dan PPBM dengan ini bersetuju dan komited akan perkara-perkara berikut:

1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya:

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;

ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan

iii. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

2. Memperjuangkan Agenda Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi  rakyat dengan berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan dan tatakelola yang baik. 

3. Meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan - PPBM di dalam sesuatu pilihanraya di mana-mana peringkat setelah pembahagian kerusi ditentukan melalui perundingan di antara kedua pihak berdasarkan prinsip kebolehmenangan (winnability).

4. Berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian ini untuk memastikan seboleh mungkin satu calon sahaja yang akan mewakili pembangkang bagi melawan Barisan Nasional. 

5. Mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum Pilihanraya Umum ke 14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya.

6. Menggunakan manifesto bersama dalam Pilihanraya Umum ke 14.

7. Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, menggunakan logo bersama dalam Pilihanraya Umum ke 14.

8. Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihanraya, manifesto bersama dan merangka gerakerja pilihanraya secara bersama.

9. Atas semangat setiakawan dan kerjasama, parti-parti dalam rangka perjanjian ini hendaklah mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi perundingan bersama.

Dengan termetrainya perjanjian ini bermakna Pakatan Harapan menjadi gabungan yang lebih besar dan boleh diyakini untuk mengambil alih pentadbiran negara ini daripada BN.

Rakyat kini boleh menaruh harapan dan pergantungan kepada sebuah gabungan yang benar-benar serius untuk menyelamatkan negara ini dengan persetujuan antaranya, pertandingan satu lawan satu serta penggunaan manifesto dan logo yang satu juga.

Sekiranya perkara No 4 dapat dijayakan dengan berkesan kepada parti-parti yang di luar Pakatan Harapan, bermakna peluang untuk menumbangkan BN dan menyingkirkan Najib Razak secara automatik menjadi lebih cerah lagi.

Oleh itu, terserah kepada parti-parti di luar Pakatan Harapan yang masih menggelarkan diri mereka sebagai pembangkang untuk membuat pilihan yang seterusnya sama ada sedia berunding dengan kepala yang dingin dan hati yang terbuka atau kekal dengan keras kepala sebagai blok ketiga.

Harus diingat, dalam keadaan sekarang, enggan menyertai gabungan ini hanya menjadikan mereka dengan sendirinya semakin mengecil dan terpencil.

Harus diingat juga, dalam arus penolakan rakyat yang makin membuak-buak, menjadi blok ketiga belum tentu menjanjikan peluang menjadi "king maker", bahkan mungkin terhumban sama ke lembah yang hina.

Oleh, buatlah pilihan yang mulia, jangan tunggu lama-lama dan jangan juga terlalu banyak berdrama. 

Tiada ulasan: