HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Disember 2016

TIGA PENJURU PUN BOLEH MEMBUATKAN NAJIB KECUNDANG JUGA

shahbudindotcom


Berdasarkan congakan di atas kertas dan sifir matematik yang mudah, sesiapa pun akan mengatakan pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang bakal menzahirkan kepada dua kemungkinan.

Pertama, UMNO dan BN akan mendapat kelebihan serta mampu terus mengekalkan kuasanya sebagai kerajaan.

Kedua, Pas bakal memenangi lebih banyak kerusi dan lebih terdedah kepada kemungkinan menjadi kuasa penentu kepada BN dan Pakatan Harapan jika masing-masing kekurangan kerusi untuk membentuk kerajaan.

Hampir tidak ada yang menaruh keyakinan bahawa pertandingan tiga penjuru akan turut sama memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan yang kini telah bekerjasama secara rasmi dengan PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Rata-ratanya mengatakan pertandingan tiga penjuru hanya memusnahkan harapan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan dan menyingkirkan Najib Razak.

Atas sebab yang samalah maka PPBM masih berusaha untuk memujuk Pas agar sedia bekerjasama dan menjadikan formula satu lawan satu melawan BN menjadi kenyataan.

Atas sebab yang sama jugalah Najib dan UMNO begitu membelai dan menjaga hati Pas agar parti itu kekal dengan pendiriannya ingin bersendirian.

Sehingga ini, bekerjasama atas nama Islam seperti Akta 355 atau Rohingya adalah antara pendekatan Najib dan UMNO terhadap Pas untuk menjarakkannya daripada bersama pembangkang dan agar terus bertanding sebagai blok ketiga.

Melihat keadaan yang sama, Pas juga lebih ingin bersendirian kerana sepertimana yang pernah disebut oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, jika BN dan parti-parti pembangkang masing-masing tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan selepas pilihanraya nanti, kedudukan Pas akan menjadi rebutan dan harganya menjadi lebih mahal.

Benarkah semua congakan dan sifir matematik itu akan menjadi kenyataan?

Membuat pilihan dalam pilihanraya akan datang sepatutnya menjadi perkara yang paling mudah bagi rakyat Malaysia. Asas pilihan sebenarnya hanyalah antara baik dengan jahat, buruk dengan cantik dan hitam dengan putih.

Jika pun ada yang mengatakan kerajaan baru yang bakal mengambil alih nanti belum tentu lebih baik daripada BN yang sudah memerintah lebih 60 tahun, sekurang-kurangnya kejahatan dan amalan pencurian  mereka belum lagi terbukti.

Maka, apakah kita masih mahu mengekalkan kerajaan yang telah terbukti banyak menyusahkan rakyat dan pemimpinnya pula semerbak di seluruh dunia dikaitkan dengan amalan rasuah dan kleptokrasi berbanding dengan bakal kerajaan yang belum terbukti gelap mata terhadap kuasa?

Petunjuk bagaimana rakyat memilih pemimpin dan kerajaan baru yang dilihat tegas, berprinsip dan mempunyai aura pembaharuan terbukti dalam pemilihan Presiden di Filipina dan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Rodrigo Duterte bukanlah sosok yang popular pada awalnya, tetapi ketegasannya untuk memerangi jenayah, malah sehingga membunuh mereka yang terlibat dengan rasuah dan pengedaran dadah membuatkan beliau akhirnya menjadi pilihan rakyat Filipina.

Begitu juga dengan Donald Trump, beliau sentiasa tidak popular dan di belakang berbanding Hillary Clinton, namun ketegasannya mahu mengembalikan kegemilangan Amerika melalui beberapa janji yang dianggap drastik telah menjadikannya pilihan rakyat negara itu.

Di Malaysia, perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku. Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, jika Pakatan Harapan bersama PPBM sentiasa konsisten dalam perjuangan untuk memerangi rasuah, membawa semua pesalahnya ke mahkamah, mengembalikan negara gemilang semula, yakinlah rakyat pasti akan bersama dengannya.

Dengan kempen untuk menyelamatkan negara itu, bukan saja Najib, UMNO dan BN akan ditolak, malah Pas yang ghairah bertanding sendirian dengan harapan sama ada membantu kerajaan yang ada terus kekal berkuasa atau ingin menjadikan harga mereka mahal nilainya, kedua-duanya pasti akan ditolak sama.

Ini kerana rakyat hanya memilih satu antara dua dan tidak mungkin memilih dua antara tiga. Pas yang hanya bertanding 70 kerusi dan tidak mampu membentuk kerajaan secara sendirian, adalah lebih mungkin ditolak juga bersama pihak yang dianggap jahat, hitam dan tidak baik itu.

Rakyat juga sedar, kadangkala hanya dengan pertukaran kerajaan memungkinkan kekotoran dalam negara dapat dibersihkan dengan lebih baik lagi. 
 
 
 

Tiada ulasan: