HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2016

Tun Mahathir kini puji DAP parti pelbagai bangsa

Oleh Haizal Yathiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Susulan beralih ke pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini secara terbuka memuji DAP selepas sekian lama mencemuh parti itu sebagai rasis dan pengamal politik perkauman.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa beliau kini menyedari bahawa DAP sebagai parti pelbagai bangsa.
 
"Lagu parti DAP adalah dalam bahasa kebangsaan. Persidangan itu juga dalam bahasa kebangsaan.
 
"Saya lihat pelbagai latarbelakang yang hadiri persidangan ini. DAP bukan sahaja parti Cina tetapi parti berbilang kaum. Mereka mempunyai ahli bukan Cina yang memegang jawatan tertinggi dalam parti," kata Dr Mahathir dalam sidang medianya di IDCC, Shah Alam, hari ini.
 
Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir ke Konvensyen DAP, meskipun pada awalnya beliau dilaporkan tidak dijemput parti itu. 
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu kehadiran Dr Mahathir dalam konvensyen parti itu adalah 'kejutan' dengan menghantar jemputan pada saat-saat akhir.
 
Dr Mahathir turut diminta mengulas ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa Umno kini berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin DAP, untuk menghadapi Piliahan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
 
Ujarnya, DAP tidak boleh bersendirian dan perlukan parti pembangkang yang lain untuk berdepan dengan Umno.
 
Bekas perdana menteri itu juga memberitahu, PPBM akan menyertai DAP, PKR dan AMANAH dalam Pakatan Harapan, tidak lama lagi.
 
"Umno dalam Barisan Nasional (BN) dan DAP bersama Pakatan Harapan, dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyertai mereka tidak lama lagi," jelas Dr Mahathir.
 
"DAP tidak mempunyai cara untuk melakukannya secara sendirian dalam membentuk kerajaan, ia perlu pakatan dan itulah sebabnya kita mempunyai pakatan pembangkang," katanya.
 
PPBM sepatutnya menyertai Pakatan Harapan pada Konvensyen PKR bulan lalu, namun terpaksa menangguhkan hasratnya selepas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas mahu meneliti terlebih dahulu intipati yang ada dalam perjanjian pakatan itu.
 
 

Tiada ulasan: