HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Jun 2017

Kenapa Hadi tak cadangkan hudud ke atas Najib?

FAIZ FADZIL


ULASAN l Amat mengejutkan apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini dengan mendakwa negara asing yang menyiasat skandal 1MDB sebagai cubaan campur tangan kuasa asing.

Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan amat menyedihkan di mana ia boleh mengelirukan rakyat.

Ini kerana agama dijadikan perisai bagi menutup salahlaku yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroninya dalam skandal berskala mega ini.

Kenyataan Presiden PAS yang mahukan undang-undang Malaysia bertindak menyelesaikan skandal 1MDB adalah satu kenyataan naif seorang ahli Parlimen.

Ini kerana laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibekalkan kepada beliau telah mendedahkan bahawa 1MDB telah membayar kepada Aabar BVI sebuah syarikat palsu yang ditubuhkan untuk mencuri wang 1MDB, sehinggakan IPIC dan Aabar sebenar menyaman 1MDB dan kerajaan Malaysia.

Walaupun dengan bukti yang nyata ini, pihak berkuasa di negara ini termasuk Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih gagal bertindak sehingga sekarang.

Malahan, peguam negara sendiri gagal mendakwa Najib walaupun bukti kemasukan wang ke akaun peribadi beliau sebanyak RM2.6 billion dari akaun Tanore dan RM42 juta dari SRC yang meminjam wang KWAP ditunjukkan sendiri oleh beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri telah mengeluarkan kenyataan tidak akan menyiasat skandal 1MDB.

Pihak polis pula sampai ke hari ini masih menyiasat sedangkan Jho Low dibiarkan bebas.

Sikap membisu institusi penguatkuasaan undang-undang negara dalam skandal 1MDB ini telah mencemar keluhuran undang-undang negara ini. Ironinya, Presiden PAS pula boleh percayakan mereka.

Tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat menyiasat dan menyita aset-aset mewah bukanlah satu campurtangan ke atas negara ini.

Sebaliknya, tindakan DOJ tersebut adalah akibat salahlaku jenayah berkaitan penyelewengan skandal 1MDB kerana ia melibatkan pelanggaran undang-undang dan sistem kewangan Amerika Syarikat.

Bukan sahaja Amerika Syarikat yang menyiasat skandal ini, malahan banyak lagi negara lain terutamanya Singapura yang setakat hari ini, telah menghukum lima orang pegawai bank dan mendenda lapan bank dengan dua bank Swiss diarahkan ditutup.

Negara-negara luar hanya bertindak atas nama integriti dan digniti yang gagal dilakukan pentadbiran negara hari ini.

Seharusnya, Presiden PAS tidak lagi membela Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB. Kezaliman tidak seharusnya dikompromi.

Alangkah gembiranya umat Islam di negara ini jika beliau mampu menyelar Najib dengan mengatakan hukum hudud harus digunakan terhadap perdana menteri.

Tidakkah rompak dan curi itu kesalahan di bawah hudud yang disebut jelas di dalam al-Quran. Saya bimbang keyakinan rakyat terhadap keadilan hukum hudud boleh terhakis dengan pendirian Presiden PAS yang gagal bertindak terhadap pemerintah.

Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda akan menggunakan hudud terhadap puterinya sendiri.

FAIZ FADZIL adalah timbalan Ketua Pemuda AMANAH.

Ambil iktibar dari negara lain - Mufti Kelantan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Umat Islam di negara ini perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku di negara lain sehingga menjadi porak peranda, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
 
Beliau berkata, tidak dinafikan, mungkin ada pemimpin negara melakukan kesilapan, namun dalam Islam mengajar supaya memberi kemaafan kerana mereka sudah insaf.
 
"Sebarang kesilapan perlu dimaafkan kerana Islam mengajar kita saling bermaaf-maafan. Seperti pepatah 'bumi mana yang tidak ditimpa hujan'. 
 
"Kalau kita tidak dapat yang (pemimpin) terbaik, memadailah kita dapat yang baik atau mungkin yang lebih baik, " katanya kdipetik Berita Harian Online. 
 
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan Sabtu lalu, meminta semua parti politik negara supaya menolak campur tangan kuasa asing dalam hal ehwal dalaman negara, yang bercanggah dengan ajaran al-Quran. 
 
Beliau berkata, al-Quran mempamerkan ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman. 
 
Dalam pada itu Mohamad Shukri berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat yang tidak sepatutnya diizinkan sebarang campur tangan kuasa asing berhubung hal ehwal negara. 
 
"Musuh tidak akan senang melihat Islam bangkit, sebaliknya mencari jalan untuk melemahkan supaya orang Islam terus ketinggalan kebelakangan. 
 
"Justeru, semua rakyat terutama umat Islam tidak boleh mengizinkan campur tangan kuasa asing, sebaliknya mencari cara untuk mengukuhkan kedudukan negara," katanya

Zakir Naik Ditawarkan Kerakyatan Oleh 10 Negara

Adam Dani El-Munawar

Zakir Naik


Pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik telah ditawarkan kewarganegaraan oleh sekurang-kurangnya sepuluh negara.

Zakir, yang dikehendaki berkaitan siasatan berhubung keganasan di negara kelahirannya di India, berkata, setakat ini, beliau belum menerima mana-mana kerakyatan yang ditawarkan itu.

“Saya belum membuat keputusan mengenai sama ada saya perlu mengambil kewarganegaraan lain kerana kesukaran yang saya hadapi berdasarkan dakwaan tidak berasas (di India).

“Dengan rahmat Tuhan, saya telah ditawarkan kewarganegaraan oleh sekurang-kurangnya sepuluh negara Islam.

“Mungkin pada masa datang saya akan terima jika bersesuaian, kerana menurut teks-teks Islam, jika ada pihak cuba menganiaya pemikiran saya, maka saya harus melindungi diri,” katanya dilaporkan dalam satu wawancara melalui sebuah televisyen Arab Saudi, yang kemudiannya dipetik oleh akhbar The Hindu yang berpangkalan di New Delhi, Jumaat lalu.


Lapan Polis Trafik Ditahan Terlibat Kes Peras Ugut Warga Asing

Idris Naim

Lapan


AMPANG — Harian Metro melaporkan sejumlah RM18,000 dipercayai hasil peras ugut, ditemui dalam sebuah bilik di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya di sini.

Wang itu disorok bawah meja selain disimpan dalam saku dan beg seorang daripada lapan anggota polis trafik yang ditahan.

Timbalan ketua polis negara berkata semua ditahan pasukan jabatan integriti dan pematuhan standard (JIPS) Bukit Aman, jam 11.50 malam Selasa lalu.

Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata mereka disyaki memeras ugut warga asing yang melakukan kesalahan dokumen perjalanan tamat tempoh.

“Kita tunggu dalam masa seminggu dua ini, jika hasil siasatan mendapati mereka terbabit secara serius dalam kegiatan itu, sudah tentu tindakan tatatertib akan diambil,” katanya.

Serbuan itu susulan aduan seorang lelaki warga Myanmar yang mendakwa anggota trafik meminta RM1,500 untuk membebaskan rakannya warga Indonesia.


Serangan Masjidil Haram: Siapa Dan Kenapa?

Ramli Putih

Masjidil Haram


Serangan berdekatan Masjidil Haram yang menempatkan Kaabah di Makah sesuatu yang memeranjatkan, tetapi bukanlah kejadian aneh.

Laporan berita berkata tiga kumpulan dalam negara, dua berasal dari dari Makah dan satu dari Jeddah terbabit dalam serangan berkenaan. Namun nama-nama kumpulan tidak diumumkan.

Dalam pada itu kerajaan Arab Saudi berkata, penyerang mungkin warga asing, selepas lima orang diberkas termasuk seorang wanita.

Tidak pula disebut bilangan sebenar penyerang, kecuali seorang daripadanya menembak diri sendiri semasa berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.

Meskipun pasukan keselamatan berjaya menghalang kemusnahan lebih buruk, sebelas orang sempat cedera termasuk enam ekspatariat dan lima anggota keselamatan. Kecederaan mereka bukan kerana serangan tetapi akibat bangunan tempat persembunyian pengganas diletupkan.

Sasaran serangan sebenar adalah Masjidil Haram, masjid paling suci dan paling besar bagi umat Islam.

Meskipun siapa penyerang dan alasan serangan belum diumumkan, dunia dapat menjangka mereka adalah musuh Islam nombor satu kerana sasaran sebenar serangan adalah Masjidil Haram dan berlaku hanya dua hari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri.

Namun banyak punca lain boleh dikaitkan dengan serangan Jumaat lalu. Arab Saudi sebenarnya mempunyai banyak musuh. Hubungan baik dengan Amerika dan Israel antara punca negara-negara Islam lain membenci kerajaan beraja negara itu, kecuali negara-negara yang mempunyai hubungan dagang serta memerlukan bantuan dana dari raja Arab Saudi.

Bagaimanapun, tidak semua rakyat di negara yang rapat dengan kerajaan Arab Saudi, bersetuju dengan hubungan diplomatik kerajaan mereka. Ramai yang melihatnya secara sinis dan menunggu masa untuk bertindak balas.

Serangan ke atas Yaman dan penglibatan secara langsung kerajaan Arab Saudi dalam kemelut yang masih berlangsung di Syria turut menambah musuh mereka. Arab Saudi didakwa antara negara Islam yang membiayai kumpulan-kumpulan pengganas menggugat keamanan Syria.

Sengketa dengan Qatar turut meningkatkan bilangan musuh kerajaan Arab Saudi. Qatar dituduh menyebelahi pengganas kerana memusuhi Israel dan menyokong perjuangan Hamas yang berusaha membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel. Qatar juga menyokong perjuangan Hezbollah yang membantu Hamas memperjuangkan Palestin.

Bagi Arab Saudi, Hamas dan Hezbollah adalah kumpulan pengganas kerana memusuhi Israel, senada dengan suara Amerika.

Ajaran Wahabi yang menjadi tunjang kumpulan-kumpulan pengganas yang kononnya berusaha menubuhkan negara Islam bermula dari Arab Saudi pada abad ke-18. Ajaran itu menjadi anutan kerajaan beraja negara itu. Bagi menyebarkan ajaran yang terkeluar dari Ahli Sunah itu, kerajaan Arab Saudi membiayai penubuhan sekolah-sekolah agama di banyak negara dunia.

Kerajaan juga membiayai kumpulan-kumpulan pengganas berasaskan Wahabi. Ini termasuk Al Qaeda, ISIS, Al Nusra atau Nusra Front, Taliban dan sebagainya, termasuk yang beroperasi di negara-negara Afrika.

Dan kalaulah serangan Makah dilakukan salah satu daripada kumpulan berasaskan Wahabi itu, ini bagaikan senjata makan tuan. Sebelum ini, dalam dua serangan pada 2015, kumpulan ISIS mengaku bertanggungjawab. Serangan pertama di masjid Imam Ali di Qudayh yang membunuh 21 orang dan satu lagi serangan di luar sebuah masjid dan Dammam, lima orang terbunuh.

Sebenarnya, Arab Saudi, sudah banyak kali menghadapi serangan ganas seperti itu sejak beberapa tahun kebelakangan, atau sekurang-kurangnya berjaya menghalang serangan daripada berlaku.

Oktober tahun lalu pasukan keselamatan Arab Saudi berjaya menghalang percubaan serangan semasa perlawanan akhir bola sepak di Jeddah. Empat warga Pakistan dan empat warga tempatan antara yang diberkas, selepas seorang daripada penyerang meletupkan dirinya dekat konsolat Amerika.

Manakala bulan Julai tahun lalu, tiga letupan bunuh diri berlaku di tiga bandar- Madinah, Jeddah dan Qatif. Beberapa kematian di kalangan pasukan keselamatan berlaku tetapi tidak ada kumpulan mengaku bertanggungjawab. Namun ISIS atau kumpulan gabungan ISIS dijangka terbabit.

Dalam pada itu, masjid puak Syiah turut menjadi sasaran serangan pengganas. Pada Januari tahun lepas masjid Al-Ahsa menjadi sasaran dan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh. Dan sekurang-kurangnya 13 lagi terbunuh dalam letupan bunuh diri di sebuah masjid di wilayah Asir pada Ogos 2015. Lima lagi terbunuh dalam serangan masjid di Saihat.

Dan masalah terbaru Arab Saudi melibatkan rombakan dalam kerajaan monarkinya apabila Raja Salman melantik anaknya, Mohammed bin Salman, 31 tahun menggantikan sepupunya Mohammed bin Nayef sebagai putera mahkota.

Apa yang kita tahu Mohammed bin Salman yang juga memegang jawatan Menteri Pertahanan sangat berminat dengan peperangan. Dia yang bertanggungjawab dalam siri serangan udara yang menghancurkan Yaman, membunuh berpuluh ribu rakyat negara itu sejak 2015.

Meskipun perlantikan ini diyakini dapat mengeratkan hubungan dengan Amerika, termasuk melibatkan pembelian senjata bernilai 110 bilion dolar, tetapi hubungan dengan pihak yang membenci Amerika dan memusuhi Israel pasti merosot. Tidak mustahil mereka antara yang terbabit dalam serangan Jumaat lalu.


Pembangkang cuba ‘jual minyak’, jangan terpedaya

 Berita Daily Staff

Kebelakangan ini, ahli-ahli politik bermusim dilihat melawat ke kampung-kampung dengan niat untuk memenangi hati rakyat

KOTA MARUDU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah Dr Maximus Ongkili mengingatkan pengundi supaya tidak terperdaya dengan janji-janji kosong pembangkang.

Beliau berkata kebelakangan ini, ahli-ahli politik bermusim dilihat melawat ke kampung-kampung dengan niat untuk memenangi hati rakyat.

Ongkili berkata ahli politik bermusim berkenaan cuba “jual minyak ” dan mengelirukan rakyat dengan memberikan janji-janji kosong.

“Perbezaan antara kami dengan mereka ialah kami ikhlas dalam menjalankan tugas kami. Kami pastikan yang kami tunaikan janji kami untuk pembangunan dan memastikan dana disalurkan untuk pelaksanaan projek-projek.

“Pembangkang hanya pandai menabur janji. Keikhlasan mereka boleh dipersoalkan,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Sungoi Lama di sini, semalam.

Pada majlis itu Ongkili mengumumkan peruntukan  RM100,000 untuk naik taraf jalan, jambatan, dewan dan tandas di dua buah kampung – Kampung Bukit Lalang dan KampungMangaris.
Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air  turut mengarahkan supaya projek itu disiapkan dalam tempoh 60 hari.

Selasa, 27 Jun 2017

ISTERI MO1 AKAN SEGERA MERAIH SANJUNGAN DUNIA KIRANYA....

shahbudindotcom


Kalau ikut logik Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan yang mengatakan "Malaysian Official 1" adalah Najib Razak dan hanya orang bodoh saja tidak mengetahui fakta tersebut, bermakna "isteri MO1"  sudah tentulah Rosmah Mansor.

Ikut logik yang sama, hanya orang bodoh saja yang berani mengatakan "isteri MO1" bukan Rosmah, satu-satunya suri yang ada dalam hati Perdana Menteri.

Ikut logik berdasarkan nama pula, Leonardo Dicaprio, seorang artis Hollywood dan Miranda Kerr, model antarabangsa kelahiran Australia, sudah pasti bukan beragama Islam.
Malah, dalam kehidupan sehari-hari, kedua-dua selebriti tersebut juga tidak mungkin mengamalkan cara hidup Islam.

Namun, kejujuran dan intergiti mereka cukup tinggi serta boleh disanjung setulus hati apabila mengetahui hadiah yang mereka terima berasal dari sumber yang haram dan sedang disiasat oleh DOJ, pihak berkuasa undang-undang di Amerika Syarikat.

Dicaprio, sebaik mengetahui hadiah Oscar yang dimenangi Marlon Brando yang dihadiahkan kepadanya adalah berpunca daripada penggubahan wang haram 1MDB, dengan pantas memulangkan semula trofi tersebut.

Beliau yang pernah berlakon di bawah produksi Red Granite milik Riza Aziz, anak tiri Najib yang harta-hartanya turut menjadi sasaran DOJ untuk disita, dirampas dan dikembalikan kepada Malaysia, juga berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada penyiasatan yang sedang dijalankan.

Selepas Dicaprio, Miranda Kerr pula mengambil langkah terpuji dengan memulangkan barang kemas berharga AS$8.1 juta yang pernah dihadiahkan oleh Jho Low kepadanya.

Beliau nampaknya tidak teruja untuk terus memiliki perhiasan berjuta-juta lantaran mengetahui ia berpunca daripada wang 1MDB yang dicuri.

Bagi Miranda Kerr, memiliki barang kemas dan perhiasan mewah berjuta-juta memang mengujakan, namun nilainya tidak bererti sama-sekali jika ia berpunca daripada wang yang dicuri, apa lagi kalau dihadiahkan oleh sang pencuri.

Lantas, memulangkannya adalah pilihan terbaik baginya.
Tetapi, bagaimana dengan "isteri MO1"  yang jelas disebut oleh DOJ menerima hadiah barang kemas keseluruhan berjumlah AS$28.6 juta atau kira-kira RM128 juta, juga daripada Jho Low?

Tidak tergerakkah dalam hati kecil "isteri MO1" yang sudah pasti beragama Islam untuk menuruti jejak langkah Dicaprio dan Miranda Kerr itu?

Sampai bila "isteri MO1"  mahu berdiam diri dan tidak memberi sebarang reaksi mengenai pemilikan barang kemas itu, kecuali Rosmah, melalui peguamnya ada mengugut mahu menyaman, sedangkan selebriti bukan Islam tiada masalah untuk mengakui dan memulangkan trofi dan barang kemas yang pernah dihadiahkan kepada mereka?

Belum terlewat sebenarnya untuk "isteri MO1"  meraih sanjungan seluruh dunia jika beliau juga dapat bertindak segera mencontohi apa yang telah dilakukan Dicaprio dan Miranda Kerr.

Kalau pun tidak malu dengan Tuhan dan tidak inginkan sanjungan dunia, tidak malukah "isteri MO1" kepada selebriti bukan Islam dari segi kejujuran dan menjaga wibawa diri di mata masyarakat?

DAP cabar kabinet veto pelantikan Isa, esok


Pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mahu jemaah menteri menggunakan kuasa veto bagi membatalkan pelantikan kontroversi Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau memberi amaran, jika ini tidak dilakukan, kerajaan akan menyaksikan lebih banyak bantahan termasuk protes di seluruh negara.

Pada 19 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan keputusannya untuk memindahkan Isa, yang adalah bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), ke SPAD.

"Perdana menteri dan anggota kabinet harus yakin sekarang bahawa pelantikan Isa sebagai pemangku pengerusi SPAD adalah pelantikan pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang paling tidak popular.

"Jika kabinet tidak mempunyai keberanian moral dan politik untuk melakukan apa yang betul untuk negara dengan membatalkan pelantikan Isa yang dibuat oleh Najib, maka 36 menteri itu mesti beredia berdepan dengan protes yang dijangka semakin menjadi-jadi.

“Ini mungkin menjadi bantahan nasional yang akan menerima sokongan padu rakyat yang sudah bosan dengan rasuah dan kronisme yang terang-terangan di bawah kerajaan Umno dan Barisan Nasional," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Kabinet dijadual mengadakan mesyuarat mingguannya esok.

Semalam, Jawatankuasa Bertindak Pemandu Lembah Klang mengumumkan satu protes terhadap pelantikan Isa akan diadakan, lapor portal The Malaysian Insight.

"Tujuan utama protes kita ialah kita mahu jawatan Isa diganti dengan orang yang lebih bersih.

"Bagi kami, ini sebagai satu bentuk penjajahan politik baru ke atas SPAD dengan membawa masuk orang politik seperti mana yang terjadi kepada Felda,” kata pengerusi jawatankuasa bertindak itu, Zailani Isausuludin, sambil menambah kira-kira 800 pemandu dijangka menghdariri demonstrasi pada 3 Julai nanti di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Isa adalah Ahli Parlimen Jempol di Negeri Sembilan.

Bila agaknya Zaid Ibrahim berdoa, bidas Nik Abduh

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membidas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Mentri, Datuk Zaid Ibrahim yang mempertikaikan tindakan seorang juruterbang AirAsia yang meminta penumpang supaya berdoa ketika pesawat penerbangan Perth-Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal.

“Saya cuba mengagak bila agaknya Zaid berdoa kepada tuhannya? Bila saatnya?

“Di dalam al-Quran di banyak tempat, Allah menggambarkan saat kegetiran terumbang-ambing dibadai gelora besar di tengah lautan apatah lagi kalau di langit tinggi seperti kes penerbangan AirAsia semalam.

“Seluruh penumpang kapal yang tak pernah ingat Allah pun akan mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan dan pembabasan daripada kecelakaan,” katanya menerusi laman Facebook.

Pemimpin PAS itu mengulas kenyataan bekas pemimpin Umno yang kini menyertai DAP yang berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu tidak seharusnya merestui tindakan juruterbangnya.

Dalam siri tweet semalam, Zaid berkata beliau lebih suka juruterbang tidak beritahu bahawa kematian semakin hampir.

Tulisnya, juruterbang seharusnya memberi harapan, dan sekiranya AirAsia mahu ceburi bidang agama, syarikat itu perlu melantik imam dan paderi sebenar.

Pesawat Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal kira-kira 90 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth dan terpaksa berpatah balik.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, berdoa adalah fitrah manusia meskipun hidup dalam keadaan leka untuk mengingati Allah atau penciptanya.

“Saat bersabung nyawa disapa takdir alam milik-Nya adalah saatnya Allah tunjukkan kepada manusia hakikat kehidupan. Mereka perlukan Allah. Allah-lah empunya langit bumi dan segala kejadiannya.

“Saya doakan saatnya nanti, fitrah Zaid akan tersembul keluar. Biar Allah tunjukkan dengan hikmat-Nya bahawa untuk menagih harapan hidup dan umur lebih panjang, dia akan dipaksa fitrahnya untuk turut berdoa kepada tuhannya.

“Orang berpuasa di bulan Ramadan akan merindui doa. Orang tak puasa memang sah akan menolak doa. Saya tak jumpa lagi kes orang puasa tolak doa. Mungkin ini kes pertama?’ katanya.

Turut membidas Zaid adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Muhammad Najhan Halim yang berkata, reaksi juruterbang berkenaan yang meminta penumpang berdoa sepatutnya dipuji dan disokong oleh semua pihak khasnya yang beragama Islam.

“Tabik hormat dan tahniah kepada kapten pesawat AirAsia Airbus A330 yang merupakan seorang Muslim.

“Mungkin dengan doa itu, para penumpang dan seluruh anak kapal dan pesawat berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamatnya. Wallahu'alam,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi Harakahdaily.

Muhammad Najhan yang tidak menyebut sebarang nama tetapi jelas merujuk kepada Zaid berkata, agak menghairankan masih ada ahli politik yang mengaku Islam tetapi bersikap skeptikal dan prejudis dengan apa sahaja berunsur agama, termasuk Islam.

Katanya, orang seumpama itu bukan "up to date" walaupun mereka merasa begitu dengan menjadikan diri mereka menolak untuk berpaut kepada agama, sedangkan hakikatnya mereka sebenarnya atau ketinggalan zaman.

“Pihak berkenaan yang mempertikaikan juruterbang yang memohon doa keselamatan, cuba merasai juga berada dalam situasi berkenaan. Pastinya dia juga akan teringat kepada Allah swt.

Mungkin dia selesa ketika itu berada di darat, sebab itu dia tak sedar.

“Doa itu adalah otak ibadah,” katanya.

AirAsia X dalam satu kenyataan berkata syarikat berkenaan sedang menyiasat punca kejadian Ahad lalu.

Ia juga memaklumkan bahawa syarikat itu sedang menjalankan siasatan ke atas kejadian itu bersama-sama dengan pengilang enjin, Rolls-Royce dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa penerbangan tempatan.


Model serah barangan kemas AS$8.1 juta kepada DOJ

MALAYSIAKINI


Model kelahiran Australia, Miranda Kerr menyerahkan barangan kemas bernilai AS$8.1 juta kepada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat seminggu selepas dokumen saman itu mendedahkan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low membelinya dengan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Akhbar The Wall Street Journal memetik jurucakap model itu bahawa Kerr memulangkan hadiah itu Jumaat lalu kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles.

"Sejak permulaan siasatan, Miranda Kerr bekerjasama sepenuhnya dan berjanji akan menyerahkan hadiah barangan kemas itu kepada kerajaan," katanya.

"Kerr akan terus membantu siasatan dengan semampunya."

Menurut WSJ Kerr bukan defendan dalam tuntutan undang-undang itu dan DOJ enggan mengulas mengenai perkembangan terbaru itu.

Menurut akhbar itu lagi, berdasarkan kepada mereka yang rapat dengan isu itu, Kerr dan Low berpacaran selama kira-kira setahun pada tahun 2014. DOJ berkata sepanjang tempoh itu, Low menghadiahkan barangan kemas itu kepada model berkenaan.

Kerr kini berkahwin dengan Evan Spiegel, pengasas bersama aplikasi Snapchat.

DOJ dalam saman terbarunya, pada 16 Jun lalu mendakwa Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$200 juta untuk membeli kemas.

Walaupun DOJ tidak menyenaraikan semua pembelian yang didakwa itu, ia bagaimanapun berkata, Low membelanjakan sekurang-kurangnya AS$9.9 juta untuk barang kemas untuk Miranda Kerr serta untuk ibunya sendiri.

Low juga didakwa membelanjakan AS$28.6 juta untuk barangan kemas isteri
‘Malaysian Official 1'.

Menurut DOJ, pembelian pertama yang direkodkan oleh ahli perniagaan itu yang didakwa menggunakan wang yang diselewengkan dari 1MDB bermula sejak 2012 apabila beliau membeli cincin berlian dan padanan anting-anting berlian untuk ibunya.

Bersama-sama dengan cincin pertunangan dengan "wanita yang tidak dikenali", jumlah bil Low untuk barang kemas dari Lorraine Schwartz ialah AS$2.84 juta.

Pada 5 Disember 2012, Low didakwa membayarnya menggunakan sebahagian daripada AS$1.367 bilion yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB dalam apa yang DOJ gambarkan sebagai fasa Aabar BVI.

Ini meningkat kepada 40 peratus daripada hasil yang diperoleh melalui dua tawaran bon, didakwa telah dipindahkan kepada entiti British Virgin Islands yang dipanggil Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI).

Aabar BVI adalah salah satu daripada beberapa syarikat yang didakwa diwujudkan untuk memberi gambaran palsu bahawa ia adalah anak syarikat Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC).

Wang untuk membayar barang kemas ibu Low ibu telah melalui Good Star Limited serta akaun bapa ahli perniagaan itu di Singapura.

Apabila pegawai Bank Singapura (BSI) bertanya tentang pemindahan itu kepada bapanya, Low menjelaskan bahawa ia adalah sebahagian daripada "tradisi keluarga" untuk memberi kepada ibu bapa hasil "penjanaan kekayaan yang baik."

DOJ memfailkan tuntutan undang-undang sivil bagi tahun ini dan tahun lalu dengan tujuan merampas semula aset yang dikatakan dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.

Selain barangan kemas bernilai AS1.7 bilion, DOJ juga berharap mampu mendapatkan semula sebuah kapal layar bernilai AS$ 250 juta dan kepentingan beberapa syarikat dan hartanah mewah di sekitar London, New York dan Los Angeles.


Apa salahnya berdoa, soal CEO AirAsiaX

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Kamarudin Meranun“Apa salahnya berdoa? Saya juga akan melakukan perkara sama,’ itulah luahan Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun.

Tambah beliau lagi, :"Apa jua agama terutama apabila anda berada dalam kedudukan yang tegang, mencari keredhaan ilahi semasa melakukan apa saja yang mungkin dilakukan oleh manusia.

"Membuat kenyataan selalu mudah apabila anda dalam kedudukan selamat. Keadaan seperti ini tidak akan mudah untuk diurus, tetapi objektifnya sangat jelas, untuk mendaratkan pesawat dengan selamat dan memastikan keselamatan semua di atas kapal, dan Alhamdulillah itu yang mereka lakukan.

"Dia berada dalam keadaan tenang dan terkawal, sebagai seseorang yang mempercayai (doa) dia meminta semua orang untuk berdoa dengannya ketika dia mengawal pesawat untuk keselamatan," tulisnya di dalam facebook.

Ia susulan kritikan Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim terhadap juruterbang AirAsia X yang meminta penumpang berdoa ketika memutuskan untuk berpatah balik ke Perth.

Semalam, menerusi laman Twitter, Zaid Ibrahim menyifatkan tindakan juruterbang itu sebagai "tidak bertanggungjawab".

“Juruterbang AirAsia menggesa penumpang untuk berdoa ketika penerbangan Perth mengalami masalah.

“Saya lebih suka kalau juruterbang tidak memberitahu bahawa ajal saya sudah hampir.

"Juruterbang perlu memberi harapan. Jika AirAsia berminat kepada doa, ambil imam dan paderi sebenar,” katanya Zaid.

Sampai sekarang saya kecewa dengan Tun Mahathir, kata Abu Hassan

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Yang Di-Petua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar tidak  dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap bekas majikannya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih untuk bersekongkol dengan pembangkang hanya kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri.  
 
Abu Hassan berkata, beliau langsung tidak menjangkakan Dr Mahathir akan kembali aktif dalam arena politik negara, sementelah beliau sudah memegang tampuk pemerintahan 22 tahun lamanya.
 
"Itu diluar jangkaan saya. Saya berpendapat bahawa beliau meletakkan jawatan pada ketika dan tidak akan aktif dalam kerajaan lagi. Saya sendiri dah pun bersara sebagai Menteri Besar Selangor dan tidak saya jangka beliau akan kembali aktif.
 
"Saya benar-benar berfikir beliau sudah lama menjadi Perdana Menteri dan ingin bersara," ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos.
 
Abu Hassan berkata, apa juga alasan Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang, beliau sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan memberi ruang yang secukupnya untuk Datuk Seri Najib Razak menimbang segala cadangan serta nasihatnya.
 
"Sebenarnya dia tidak patut berbuat demiakan. Kalau ada apa-apa yang dia fikir tak kena dengan pimpinan kerajaan dan parti pada ketika ini dia boleh menyuarakannya dengan pelbagai cara.
 
"Tak perlulah menubuhkan satu parti yang lain dan bersekongkol pula dengan pembangkang," ujarnya.
 
Dr Mahathir sebelum ini kecewa apabila Najib enggan mendengar nasihatnya betapa perdana menteri itu membuat kesilapan dalam merangka strategi memimpin negara.
 
Beliau mula menyeru ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) agar menolak kepimpinan Najib namun usahanya gagal.
 
Kemuncaknya, Dr Mahathir menubuhkan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bersekongkol dengan Pakatan Harapan, untuk menjatuhkan kerajaan.
 
 

Hanya kerana difitnah, rawatan terapi ozon diharamkan, dakwa Dr Nasir

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Susulan pengharaman rawatan terapi ozon pada Mei lalu, banyak pusat rawatan alternatif itu terpaksa ditutup sehingga memberi keresahan kepada pemilik mahupun pengendalinya mengenai nasib dan masa depan mereka.
 
Dr Mohd Nasir Sulaiman yang memiliki sebuah pusat terapi berkenaan di TTDI Jaya meluahkan rasa kesal dengan arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatan mereka.
 
Walaupun akur dan telah memberhentikan operasi pusat berkenaan, tetapi beliau kecewa dan mendakwa rawatan tersebut diharamkan gara-gara penyebaran fitnah yang disebarkan di laman media sosial.
 
Malah beliau yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit mendakwa, kenyataan-kenyataan berkenaan adalah fitnah semata-mata dan tiada bukti yang konkrit untuk menyokong kesahihannya.
 
“Serangan terhadap terapi ozon ni sudah lama, kalau tengok di alam media sosial begitu banyak yang anti terapi ozon. Tetapi fakta-fakta yang mereka beri itu banyak yang berunsur fitnah. 
 
"Jadi saya melihat unsur fitnah ni semakin menjadi-jadi terutama sekali ada yang mengatakan darah masuk ke dalam mesin. Menteri juga buat kenyataan yang sama, jadi saya merasakan rentetan cerita itu hanya berdasarkan viral dan tidak mempunyai fakta yang benar sehingga mempengaruhi orang yang berpengetahuan tapi tidak bijak," luahnya kesal.
 
Tambah Dr Nasir lagi, yang juga merupakan pengasas My Ozone Technology bersama dengan jurutera yang memberi fokus kepada penyelidikan dan mencipta generator ozon buatan sendiri, yakin bahawa tiada lagi kes darah memasuki mesin-mesin berkenaan dicatatkan sepanjang ia beroperasi sejak tahun 2000.
 
Malah ujar beliau, juga tiada kes kematian yang direkodkan selepas mendapat rawatan ini. 
 
"Dia (pihak memfitnah) sendiri tidak tahu macam mana, dia juga buat kenyataan perkara itu membahayakan dan memudaratkan pesakit. Sedangkan apa yang kita lakukan salah satunya adalah cuci darah ozon ni. Perkara ini tidak ada kaitan pun darah masuk dalam mesin sehingga katanya terapi ozon mematikan orang," tegasnya.
 
Tambahnya, jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, beliau adalah pihak pertama yang tampil untuk memberhentikan perkhidmatan itu.
 
Katanya, mana-mana rawatan sekalipun turut berdepan dengan risiko kematian dan adalah tidak wajar rawatan terapi ozon sahaja yang dikenakan tindakan.
 
“Kita melihat dalam persatuan ni melihat terapi ozon ni mendatangkan manfaat, kalua tak bermanfaat saya sendiri akan haramkan untuk diri sendiri. Kenapa saya nak buat sesuatu yang memudaratkan manusia? 
 
"Kalau betul ada yang mati kenapa kita nak buat orang lain mati? Tapi kalau ikut logik mana-mana rawatan pun ada (risiko) kematian. Jadi apakah dengan ada kematian kita akan haramkan rawatan tersebut? Tu pun kalau memang betul ada, ni bila ada fitnah kata mati terus diharamkan," katanya kecewa.
 
 

Tiga sekeluarga maut nahas dua kenderaan

SINAR ONLINE

Tiga sekeluarga maut nahas dua kenderaan
Kenderaan pelbagai guna Toyota Velfire remuk teruk dalam kemalangan yang turut mengorbankan tiga sekeluarga dalam nahas membabitkan dua kenderaan di KM 229.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi pagi tadi. - Foto Bernama 
 
REMBAU - Wanita hamil empat bulan antara tiga yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Km 229.5 Lebuhraya Utara -Selatan  arah utara, berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Shariff berkata kejadian 9.30 pagi itu turut menyaksikan enam yang lain cedera.

Mereka yang maut dikenali sebagai Keng Kim Seng (lelaki/76) , Keng Swee May (perempuan/30) dan Keng Swee Nee (wanita hamil/40). Kesemuanya dari sebuah keluarga.

Dalam satu kenyataan di sini, Ibrahim berkata kemalangan melibatkan sebuah Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki dan kenderaan pelbagai guna mewah Toyota Vellfire yang membawa lapan orang.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Camry yang dalam perjalanan dari Ayer Keroh yang berada di lorong paling kanan hilang kawalan lalu bergesel dengan Toyota Velfire yang berada di lorong tengah,” katanya.

Beliau berkata pergeseran itu menyebabkan kedua- dua kenderaan terbabas ke kiri lebuh raya dan mengakibatkan seorang penumpang belakang Toyota Velfire tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata dua lagi disahkan meninggal dunia di Hospital KPJ Seremban.

Yang cedera pula ialah pemandu Toyota Camry  yang mengalami patah kaki  serta pemandu dan empat  lagi penumpang Vellfire.

"Semasa kejadian, keadaan cuaca cerah dan baik, manakala keadaan trafik tidak sibuk," kata Ibrahim.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Sambut Syawal secara sederhana di Makkah

SINAR ONLINE

Makkah


KUALA TERENGGANU - Pengalaman menyambut Aidilfitri bagi umat Islam Malaysia yang sudah lama berada di perantauan sudah pasti berbeza pada mereka yang pertama kali merasainya.

Bukan sahaja perlu menyambutnya dalam keadaan berjauhan dari anggota keluarga tercinta tetapi mereka juga merasai suasana, juadah dan tradisi yang 99 peratus berbeza di tanah air sendiri buat pertama kalinya dalam hidup mereka.

Bagi Siti Aisyah Mohd Yusoff, 34, yang berhijrah ke bumi Makkah, Arab Saudi sejak enam bulan lalu, banyak perbezaan dan cabaran yang perlu ditempuhi di tempat tinggal yang baharu ini berbanding di tanah air terutama ketika bulan Ramadan dan Syawal.

Siti, yang juga penjawat awam di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kini mengambil cuti tanpa gaji kerana mengikut suaminya yang bertugas dengan perkhidmatan keretapi Al-Mashaer Al-Mugaddasah Metro Southern Line bagi kegunaan jemaah haji.

“Memang saya, suami Shahazli dan tiga orang anak kami sangat teruja dapat menunaikan solat sunat Syawal di Masjidil Haram, Alhamdulillah. Perasaan itu sungguh indah dan tidak tergambarkan.

“Tanyalah mana-mana umat Islam yang pernah menunaikan ibadah haji atau umrah, menunaikan solat fardu atau solat sunat di Masjidil Haram memang saat yang ditunggu-tunggu kerana bukan sahaja kita dijanji oleh Allah ganjaran pahala yang berganda-ganda berbanding menunaikannya di masjid-masjid biasa atau di rumah.

“Tetapi juga dapat menunaikannya bersama-sama dengan jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia, dan diimamkan oleh imam-imam yang mempunyai nama besar dalam kalangan dunia Islam,  itu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, “ katanya ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Paling istimewa, semenjak tinggal di Makkah juga beliau dan keluarganya sangat bertuah kerana dapat menunaikan ibadah umrah seminggu sekali.

Bagaimanapun katanya, mengulas mengenai sambutan Aidilfitri, Siti berkata ia hanya disambut secara sederhana oleh masyarakat Arab di Makkah dan tidak semeriah di tanah air.

Pakaian bagi wanita juga tidak berwarna-warni dan pelbagai corak kerana mereka di sana lebih ramai mengenakan abaya (jubah) berwarna hitam.

Ini sudah pasti membuatkan beliau merindukan tradisi yang diamalkan umat Islam sejak sekian lama di tanah air.

“Memang kalau diikut saya ini seorang yang ‘adventurous’ dan suka menyelami kepelbagaian budaya, jadi Alhamdulillah walaupun rindu suasana di Malaysia namun suasana di sini tidak kurang istimewanya,” katanya.

Paling dirindui katanya adalah saat mengunjungi sanak-saudara, bergambar kenangan bersama sanak saudara dengan pakaian yang pelbagai warna tema dan gaya dan juadah hari raya seperti ketupat, rendang, nasi impit dan kuah kacang.

Siti hanya menyediakan sendiri juadah tersebut di rumahnya.

“Di sini keadaan akan kembali normal selepas solat sunat Aidilfitri dan tidak ada konsep ‘open house’ macam di Malaysia. Kiranya hari raya pun sunyi sepi, tidak semeriah di tanah air,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti pada bulan Ramadan masyarakat Arab Makkah, Siti berkata suasana meriah itu tidak jauh beza dengan tanah air baik dari segi ibadah mahupun menjalankan aktiviti santai bersama keluarga dan persediaan menyambut Syawal.

“Kalau di sini, solat Maghrib akan bermula 15 minit selepas azan dilaungkan manakala azan solat Isyak pula dilewatkan selama 30 minit dan diteruskan dengan solat terawih.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya mengapa tidak kendengaran azan solat Isyak, rupanya azan dilewatkan kerana memberi ruang penduduk Makkah menjamu selera (berbuka puasa),” katanya.

Di Makkah juga ada beberapa lokasi tumpuan penduduk di sana untuk membeli-belah termasuk Jeddah dan Al-Aziziyah. Pusat beli belah juga pada bulan puasa dibuka hingga pukul 4 pagi.

“Memang biasa orang tempatan pergi ‘mall’ selepas solat terawih bersantai dengan keluarga, menikmati ‘supper’ hingga masuk waktu sahur.

“Pada malam raya, ada juga kemeriahan itu dirasai di sesetengah tempat atau lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah terutama di Al-Aziziyah. Boleh dikatakan di sinilah ‘Jalan TAR’ masyarakat Arab Makkah.

“Suasana memang sangat meriah dengan aktiviti membeli-belah, malah perniagaan juga beroperasi selama 24 jam, kenderaaan bersesak-sesak di jalan dan tambang teksi juga meningkat berkali ganda,” katanya yang tinggal di Al-Awali, iaitu kira-kira 20 kilometer dari Masjidil Haram. - Bernama

Masa untuk Proton-Geely mengoperasikan perkongsian


SINAR ONLINE

Proton-Geely
Proton-Geely

KUALA LUMPUR – Perjanjian muktamad sudah pun ditandatangani antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Oleh itu sudah tiba masanya untuk Proton dan syarikat utama kereta China ini mula mengoperasikan perkongsian strategik yang saling menguntungkan kedua-dua pihak ini.

Dan, polemik kehilangan kedaulatan, menyerahkan identiti kereta negara serta menjualnya kepada China, mesti dihentikan kerana ia merupakan tuduhan politik yang tidak berasas dan bertujuan untuk meruntuhkan hasrat kerajaan untuk menyelamatkan Proton.

Kini, yang penting ialah sudah ada penyelesaian ekonomi untuk menyelamatkan Proton daripada kemelut kewangan yang muncul akibat model perniagaan yang tidak mampan sejak awal lagi.

Perjanjian ini bukan sahaja akan membuka peluang perniagaan yang baik kepada kedua-dua syarikat, malah turut menyumbang kepada kebangkitan semula industri automotif Malaysia dan kemunculan jenama tulen  di rantau ini.

Matlamat untuk Proton, anak syarikat DRB-Hicom jelas, iaitu pulih dari segi kewangan dan merealisasikan kemapanannya menerusi kepakaran teknikal Geely, menembusi pasaran eksport dan mewujudkan kedudukan yang baik di Asean.

Ini berbanding daripada Proton untuk kekal 100 peratus miliki rakyat Malaysia, namun terpaksa menanggung ratusan juta ringgit, serta menjejaskan kebajikan beribu-ribu pekerja.

Ia pastinya tidak munasabah.

Tahniah kepada kerajaan kerana mengambil langkah berani dalam menghentikan pelan perniagaan lama yang tidak akan berjaya, serta DRB-Hicom untuk memperoleh rakan yang bersesuaian.

Laluan masa depan untuk Proton kini jelas.

Ia mesti memperoleh semula penguasaannya dalam pasaran domestik daripada hanya 12 peratus pada masa ini.

Kapasiti di Tanjung Malim mesti dimaksimumkan dengan menjadikan Malaqsia hab kereta pemanduan kanan untuk Geely di rantau ini.

Dan jika ada kapasiti berlebihan, kilang itu juga akan dibmri peluang untuk memasang kereta Volvo.

Geely

 

Geely memiliki sepenuhnya Volvo, pembuat kereta Sweden.

Yang lebih penting, dengan memaksimumkan kapasiti ini ia akan dapat menjana peluang pekerjaan baharu yang akan memberi manfaat kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.

Tanpa rakan strategik asing, kos sosial bagi pekerja Proton yang menganggur, terutama di Tanjung Malim, akan mendatangkan kesan yang lebih buruk kepada ekonomi domestik.

Kilang Proton Tanjung Malim mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan satu juta kereta setiap tahun, namun kini hanya menghsilkan 72,000 kereta tahun lepas dengan syarikat melaporkan kerugian sebanyak RM1 bilion

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan, dan atas sebab itulah kerajaan mendorong DRB-Hicom untuk mencari rakan kongsi yang sesuai sebagai sebahagian daripada kriterianya untuk meluluskan pinjaman mudah berjumlah  RM1.5 bilion.  

Sudah pasti strategi utama daripada perkongsian itu adalah untuk menyediakan ruang untuk Proton menjadi antara pengeluar utama kereta di Asia Tenggara dan antara eksport utama Malaysia ke rantau ini.

Jumaat lepas, DRB-Hicom menandatangani perjanjian muktamad dengan Zhejiang Geely Holding untuk menjual 49.9 peratus kepentingan Proton kepada konglomerat China itu , yang melibatkan suntikan tunai sebanyak RM170.3 juta

Ini termasuk RM290 juta untuk model Geely Boyue, yang akan menjadi model pertama SUV Proton hasil daripada perkongsian itu.

Menerusi pakatan itu juga, DRB-Hicom akan melupuskan Lotus, syarikat pembuat kereta sukan, membabitkan sebanyak 51 juta pound kepada Geely, dan baki ekuitinya lagi kepada Etika Automotive Sdn Bhd.

Seperti banyak lagi syarikat usaha sama antarabangsa, perkongsian Proton dengan Geely merupakan ciri biasa dalam industri, dan merupakan keputusan semata-mata atas sebab komersial yang pasti akan menyediakan manfaat terbaik kepada syarikat, vendor dan pekerja mereka.

Sebagai contoh, Proton akan mempunyai akses kepada produk, platform dan teknologi Geely, malah pasaran China.  

Mengenai kritikan terhadap perkongsian itu, cukuplah. Sudah tiba masanya bagi Proton untuk bergerak ke hadapan dengan Geely dalam menjamin masa depannya.

Isnin, 26 Jun 2017

Kapal minyak Thailand disamun lanun di Kuantan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUANTAN: Sebuah kapal tangki membawa minyak diesel milik syarikat Thailand disamun sekumpulan lelaki dipercayai lanun ketika berada di perairan luar Kuantan pada 23 Jun lalu.
 
Ketua Tentera Laut Thailand Bahagian ke-2 Laksamana Pornchai Pinthong berkata sekumpulan enam atau tujuh lanun itu berjaya mencuri 1.5 juta liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruhan yang dibawa kapal itu.
 
"Kapal itu yang membawa muatan diesel dalam pelayaran ke Songkla dari Singapura," katanya kepada pemberita hari ini.
 
Kapal tangki dikenali CP14 itu yang membawa 17 anak kapal meneruskan pelayaran ke Thailand selepas kejadian dan selamat tiba di perairan Songkla petang semalam, katanya.
 
Pinthong berkata kejadian berlaku kira-kira 9 malam di perairan Kuantan apabila kapal tangki itu dinaiki kumpulan lanun terbabit yang bertindak mengikat kapten dan semua anak kapal serta memusnahkan peralatan sistem amaran keselamatan kapal.
 
Semua lanun itu membawa senjata dan mengancam akan mencederakan anak kapal jika tidak mengikut arahan, katanya dan menambah, kesemua anak kapal bagaimanapun tidak dicederakan.
 
Beliau juga berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia berkenaan kejadian terbabit untuk tindakan lanjut.
 
Tentera Laut Thailand turut meminta kapal-kapal supaya berhati-hati ketika belayar di kawasan perairan terbabit berikutan ancaman daripada lanun.
 
Hari ini, Tentera Laut Thailand menghantar kapal tenteranya ke kapal tangki terbabit yang sedang berlabuh di perairan berhampiran Pulau Tikus, Songkla untuk memeriksa keadaan kapal itu serta krunya.
 
Pemeriksaan turut disertai pegawai Jabatan Kastam serta Jabatan Khidmat dan Perlindungan Buruh.
 
 

Surat terbuka ‘lebai malang’ kepada ‘jembalang’ politik




SATIRA l Selepas habis Ramadan, kalian jembalang politikus pelbagai jenama sekular boleh kembali berkeliaran untuk menyetan seperti dahulu, kini dan selamanya.

Syawal melambangkan kemenangan dan pembebasan setan iblis memeriahkan suasana yang semakin bertaraf kleptokrasi kelas premier.

Sebulan lapar dahaga dan tidak campur tangan mana-mana urusan dalaman negara lain, kalian boleh kembali berjoli sakan dengan apa sahaja perompakan, rasuah, penyelewengan dan maksiat seperti sedia kala.

Ingatlah, matlamat menghalalkan cara. Cara dan kaedah semuanya halal selagi agama, bangsa dan negara tidak dijajah semula oleh kafir harbi mahupun pembangkang yang tiada langsung idea untuk membangunkan dan memajukan negara sejak azali.

Demi masa depan, para lebai malang taraf ular dalam semak, bersatulah di bawah kepimpinan mazhab Cash is King kerana dalam kemelut ekonomi yang semakin meratah kesiuman bangsa, dedak-dedak juga tidak murah.

Bersyukurlah, dengan adanya 1MDB dan Hang Jolo, kita semakin cepat mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Bukan lagi tahun 2020, tetapi hujung tahun ini.

Kajian syarikat Balakong

Itulah kejayaan transformasi, malah Transformasi Nasional 50 boleh dicepatkan kepada Transformasi 25, separuh dari perancangan.

Semuanya berkat doa para lebai malang yang hebat dengan tahaluf siyasi, takfiri dan u-turn sana sini.
Ringgit yang jatuh khabarnya akan segera naik mendadak sama nilai dengan dolar Amerika Syarikat menjelang Sukan SEA dan pilihan raya.
GST juga akan dinaikkan untuk sama dengan GST di negara-negara maju dunia.

Kesesakan di mana-mana jalan raya sewaktu Hari Raya, ratusan ribu beraya dengan ‘Malaysian Official One’ adalah bukti telus, lestari dan istiqamah pemulihan ekonomi.

Bukti berdasarkan kajian sebuah syarikat penyelidikan kewangan antarabangsa yang berpangkalan di Balakong.

Ingatlah, suntikan dana, sama ada derma AS$2.6 bilion daripada Arab atau fi RM2.4 bilion kepada Yahudi Goldman Sachs untuk bon, hutang piutang negara yang hampir 1 trillion, semuanya syariah maqasid mengikut fatwa dan petua orang-orang tua kita.

Semua itu menjadi lambang perjuangan yang diterima, sama ada oleh Arab, Nasrani, Yahudi, komunis dan sosialis, terhadap kepimpinan wasatiyyah kita.

Dengan pinjaman ratus bilion ringgit dari China Komunis untuk menampung pelbagai projek, kita menjadi lebih kuat dan pertahanan negara terus unggul.

Jangan kira lagi berapa komisen dan bayaran fi konsultan untuk politik wang, semuanya FDI mengikut piawaian halal.

Mengislamkan China dan Rusia

Kita boleh mengislamkan komunis China dan sosialis Rusia melalui hubungan politik matang dan sejahtera.

Mereka akan terpesona dengan Serambi Mekah di bawah sunnah. Mereka lebih terpesona dengan ceramah beradab kita yang diisi dengan maki hamun dan kafir mengkafir sesama sendiri.

Tidak perlulah kalian jembalang politikus memakai topeng-topeng selepas Ramadan. Tidak perlu bertarawih, berwitir, makan dengan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz, malah tidak wajib lagi menunjuk-nunjuk kealiman terlampau sebaik Syawal tiba.

Kalau ada intan berlian permata bernilai ratusan juta ringgit, janganlah segan untuk para suri rumah, mempamerkan, menayang-nayang seikhlasnya.

Kalau ada aset ratusan juta ringgit di Amerika Syarikat, United Kingdom, Cayman Islands, Maldives, apalagi Makkah dan Madinah, senaraikanlah untuk dinilai oleh Forbes. Kita mahu bangsa kita lebih kaya dari Bill Gates.

Itulah simbol kejayaan cemerlang, gemilang, terbilang setanding dengan perompak-perompak sejagat yang memimpin negara dunia ketiga.

Jangan baca laporan saman pemfailan DOJ yang setebal 251 muka surat kerana tidak ditulis dalam bahasa Melayu. Mereka menghina bahasa kebangsaan kita.

Lagipun semua yang ditulis hanyalah fiksyen dari imaginasi Mat Jenin yang diupah CIA, FBI dan Mossad semata-mata.

Mana ada bukti-bukti sahih? Tiada empat saksi dan tiada sumpah membaca al-Quran di mana-mana masjid.

Ingatlah, pesan moyang bestari kita bernama Hang Tuah, takkan hilang Melayu di dunia selagi kita wala dengan pemimpin walaupun mereka zalim, kejam, kleptokrat dan bangsat.

Jangan anak-anak cucu kita kencing di kubur kita, apalagi gali kubur-kubur dan bakar tulang temulang kerana kita terlalu percaya kepada tuduhan palsu DOJ, serta media kafir harbi yang tidak akan senang selagi konon-konon kleptokrat bermaharajalela.

Rakyat seramai 30 juta, termasuk warga asing halal dan pekerja asing tanpa izin, tetap tidak mahu campurtangan asing di negara bertuah ini. Biarpun kes penggubahan wang haram berkaitan syarikat nombor satu kita, 1MDB berlaku di lapan negara dan menggugat sistem kewangan mereka.

Kita mesti runtuhkan sistem kewangan riba mereka dan telah ada bank Yahudi ditutup hasil perjuangan Hang Jolo serta ‘Malaysian Official One’.

Negara-negara maju itu akan tetap berusaha ganas kerana mahu menjatuhkan kepimpinan negara kita yang maksum, beriman dan bertaqwa. Maka, kita mesti lawan sehingga ke lubang cacing.

Percayalah, ‘Malaysian Official One’ wajib disokong walau kita sama-sama terjun ke lubang dan terkambus bersama api!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Zaid Ibrahim Bidas Tindakan Juruterbang Air Asia Suruh Berdoa

Rafa Azmir

Zaid

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membidas tindakan seorang juruterbang AirAsia yang meminta penumpang pesawat penerbangan Perth-Kuala Lumpur yang mengalami masalah teknikal supaya berdoa.

Dalam catatan di Twitter berhubung masalah yang melanda pesawat AirAsia Airbus A330 semalam, Zaib berkata syarikat penerbangan tambang murah itu tidak seharusnya merestui tindakan juruterbangnya.

“Juruterbang seharusnya memberi harapan, dan meninggalkan yang lain kepada Tuhan dan para penumpang.

“Sekiranya AirAsia mahu ceburi bidang agama; lantik imam dan paderi yang betul,” tulisnya.

Pesawat AirAsia milik Malaysia yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur, semalam terpaksa berpatah balik ke Australia berikutan masalah teknikal.

Laporan AFP yang memetik seorang penumpang sebagai berkata, beliau mendengar bunyi kuat dan pesawat itu bergegar seperti sebuah mesin basuh.

Pesawat Airbus A330 dari Perth itu mula dikesan mengalami masalah berkenaan kira-kira 90 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

Jurucakap lapangan terbang itu berkata, kerosakan terbabit disedari juruterbang pesawat berkenaan dan memutuskan untuk berpatah balik ke Perth.

Selepas penerbangan 90 minit, pesawat itu mendarat dengan selamat di Perth.

Sementara itu, AirAsia X dalam satu kenyataan berkata syarikat berkenaan sedang menyiasat punca kejadian Ahad lalu.

“Kami sedang menjalankan siasatan ke atas kejadian itu bersama-sama dengan pengilang enjin kami, Rolls-Royce. Kami juga bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa penerbangan tempatan.

“Kami ingin menekankan bahawa Kumpulan AirAsia sentiasa mematuhi program penyelenggaraan yang ditetapkan oleh pengeluar enjin kami. Kami juga telah mematuhi semua peraturan dan keperluan seperti yang ditetapkan oleh setiap negara di mana syarikat penerbangan kami beroperasi, termasuk di Australia.

“Keselamatan penumpang dan krew sangat penting bagi kami,” kata AirAsia X .

________________________

 Zaid Ibrahim @zaidibrahim
AirAsia pilot urged passengers to pray on distress Perth flight. Good lord, I much prefer pilot dont tell me death is imminent

RCI tukaran asing: Hang pi mana, tanya Mahfuz kepada Najib

MALAYSIA DATELINE

Datuk Mahfuz Omar


Sebagaimana lagu popular negeri Kedah, 'Hang pi mana', Datuk Seri Najib Razak dipersoalkan tentang tindakannya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kehilangan wang negara dalam isu tukawang wang asing yang berlaku 30 tahun lalu.

"Hang buat apa Najib. Hang pi mana... hang pi mana," kata Mahfuz dalam kenyataannya mengulas tindakan kerajaan menubuhkan RCI itu bagi menyiasat kersugian utusniaga mata wanga sing (forex) bank Negara Malaysia (BNM) era Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri tahun 1990an lalu.

"Lupakah wahai Najib pada waktu itu hang penjilat nombor satu Tun M.Kenapa Najib diam diri selama hampir 30 tahun berlalu tanpa apa-apa siasatan.

"Kenapa Najib tak desak tubuh RCI ketika Tun M berkuasa.Kenapa RCI selepas Tun M bersara dah 14 tahun.

"Ini yang melucukan dan menampakkan kegelisahan PM Najib Razak menghadapi pelbagai desakan daripada dalam dan luar negeri," katana.

Bagi beliau, ketegasan Tun Mahathir yang banyak mengkritik kerajaan klaptokrasi PM Najib Razak dan UmnoBN membuatkan PM Najib Razak rasa 'ketar lutut' dan 'panas miang badan'.

Katanya, rakyat faham dengan tindakan Tun M kerana Tun M ingin nyahkan klaptokrat PM Najib Razak dan kuburkan klaptokrat Umno/BN dari terus menerajui negara yang tercinta.

Kabinet telah memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urusniaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada era Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sekitar tahun 90an.

Keputusan untuk menubuh RCI adalah hasil cadangan laporan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang kononnya wujud elemen menyembunyi fakta kerugian.

"Sekiranya Tun M senyap macam Tun Abdullah Badawi saya yakin dan percaya tiadalah PM Najib Razak nak kalut tubuh RCI," katanya.

Apa itu rawatan terapi ozon?

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rawatan terapi ozon mula memasuki Malaysia dan dikenali pada sekitar tahun 2000, yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit serta melambatkan proses penuaan.
 
Terapi ozon tidak mengandungi pakej pengambilan ubat-ubatan, sebaliknya ia sekadar penyaluran masuk ozon (O3) ke badan pesakit. 
 
Ia juga dipanggil proses pengozonan dan pengoksidanan darah atau lebih mudah memahaminya, menerusi proses pengoksidanan, sistem badan akan berfungsi jauh lebih baik kerana dibekalkan atau mendapat oksigen secukupnya.
 
Namun pada Mei tahun ini, rawatan berkenaan diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta merta ekoran penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik ini bagi merawat mana-mana penyakit.
 
Malah bukan itu sahaja, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mendakwa ia juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuk membawa kepada kematian.
 
Sehubungan itu pihak Antarapos, menemubual seorang doktor yang mempunyai pengalaman dalam dunia perubatan ozon ini sejak 2001.
 
Dr Mohd Nasir Sulaiman merupakan salah seorang pelopor pertama dalam menggunakan rawatan ini yang dikenali dengan nama saintifik sebagai Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO).
 
Beliau berkata, rawatan seumpama ini didakwa mampu mengekalkan tahap kesihatan manusia, selain membantu proses penyembuhan penyakit.
 
“Terapi ozon ni menggunakan udara atau gas ozon perubatan yang boleh dimasukkan dalam darah manusia. Jadi kesan yang boleh kita mengharapkan adalah memperbaiki kualiti darah seseorang, maksudnya supaya oksigen dalam darah meningkat. 
 
"Apabila dia meningkat, pada orang yang sakit ia memperbaiki masalah kesihatan yang ada. Pada orang yang sihat, kita mengharapkan dapat memperkuatkan kesihatan.
 
"Saya selalu menyamakan untuk memperbaiki kualiti darah ni sama seperti kenderaan kitalah. Kenderaan perlu servis, beli baru atau lama sama saja. Kenapa perlukan servis? Sebab kita ingin mengekalkan kereta itu bertahan lama, kalau ada masalah pun tak adalah sampai ‘overhaul’ sehingga ganti yang baru," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual sempena Aidilfitri.
 
Tetapi menurut beliau lagi yang mendapat Sijil Perubatan (Medical Degree) di Universitas Syiah Kuala, Banda Acheh, Indonesia ini seringkali menegaskan pesakitnya dilarang sama sekali meninggalkan ubat yang diberi doktor hospital untuk penyakit tertentu.
 
Malah Dr Nasir menjelaskan rawatan terapi ozon ini merupakan kaedah alternatif sahaja dan bukan jaminan untuk pesakit pulih 100% selepas mendapat rawatan.
 
“Banyak orang mendakwa terapi ozon ni bersifat alternatif tetapi ia bukan, sebaliknya adalah rawatan sokongan. Kalau alternatif bermaksud ia meninggalkan sesuatu yang lama dan ambil yang baru. 
 
"Sebab tu dalam terapi kita tak pernah suruh pesakit berhenti ambil ubat, terapi ozon ini hanya memperbaiki kualiti darah. Apabila darah berkualiti, kesan ubat akan meningkat sehingga dos ubat yang kita gunakan akan menurun sekaligus akan mengurangkan orang yang menggunakan ubat," jelasnya.
 
 

Kasih sayang di RPWP ubah sikap remaja nakal

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KAJANG: "Saya ingin terus mencurahkan khidmat bakti kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin".
 
Itu kata-kata yang diikrarkan remaja ini, Muhammad Hakimi Abdullah, yang telah menganggap keluarga besar Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) sebagai keluarga sendiri.
 
Walaupun baru empat bulan dimasukkan ke RPWP, remaja berusia 14 tahun ini berkata ikatan silaturrrahim yang erat dan kasih sayang sesama penghuni membuatkan dirinya langsung tidak kekok mahupun terasing walaupun 'terpisah' dengan keluarga kandung di Pupau Pinang.    
 
"Di sini juga ia mengeratkan silaturrahim sesama ibu ayah, abang, kakak. DI sini mereka pentingkan kasih sayang terhadap kawan-kawan, ibu ayah. Di situ kita jalinkan hubungan yang erat dan di situlah berubahnya akhlak dengan nasihat ibu dan ayah.
 
"Saya ingin berbakti sampai bila-bila untuk RPWP," katanya. 
 
Hakimi berkata dia dimasukkan ke RPWP oleh keluarga sendiri ekoran masalah akhlak dan sikap nakal yang sukar dikawal keluarga.
 
Tempoh empat bulan di RPWP, Hakimi berkata, dirinya merasakan perubahan yang ketara. Jika dahulu dirinya sering ingkar dengan kata-kata ibu bapa yang melarang perbuatan nakalnya, tetapi situasi berbeza apabila berada di RPWP.
 
Nasihat, teguran, kasih sayang dan budaya yang diterapkan di RPWP begitu mudah membuatkannya lembut hati.
 
Ujar anak sulung dari lima adik beradik ini, latihan kemahiran yang disediakan di sini juga bukan sekadar meningkatkan kemahiran penghuni semata-mata, tetapi ia menjana perubahan akhlak dengan memupuk sikap sabar, berdisiplin dan mematuhi mematuhi arahan.
 
"Awal-awal saya di sini, hati saya terbuka luas kerana saya tertarik dengan bidang kemahiran di sini, seperti kimpalan, perabot. Di sini saya dapat pelbagai pelajaran dan nasihat yang bermanfaat untuk kehidupan saya sendiri.
 
"Dan di sini saya dibina akhlak dan pembelajaran, walaupun dulu saya bermasalah, di sini mereka terima masalah saya. 
 
"Disebabkan saya minat kemahiran, ibu saya mencari tempat yang sesuai untuk saya," katanya. 
 
Hakimi merupakan salah seorang daripada penghuni RPWP, rumah yang dibangunkan sebagai pusat pembangunan akhlak bagi melahirkan generasi Islam yang mempunyai jati diri serta berakhlak terpuji. 
 
Dibangunkan sejak 2005, RPWP kini dihuni kira-kira 165 orang terdiri daripada kalangan pengasas dan sukarelawan yang bertugas menjaga pelbagai golongan seperti anak yatim, OKU, ibu tunggal, warga emas, asnaf fakir dan remaja rosak akhlak.
 
Istimewanya RPWP, ia bukan sekadar pusat pembangunan akhlak dan pusat perlindungan, namun ia turut menyediakan  asas kemahiran sebagai modul pembelajaran anak-anak keluarga besarnya.
 
Kompleks Kemahiran Akademi Insan Prihatin (AIP) yang terletak di Jalan Abim, menjadi medan untuk anak-anak ini menyalurkan minat mereka dalam pelbagai bidang kemahiran, seperti pengendalian jentera berat, baikpulih enjin, baikpulih perabot, pendawaian dan sebagainya.
 
Hakimi berkata, sepanjang empat bulan menghuni RPWP, hatinya begitu tenang dan tiada lagi 'bisikan' yang menghasut untuknya kembali kepada kehidupan lama. 
 
Dia mahu membuang jauh sejarah hitammnya dahulu dan memanfaatkan usia remajanya dengan perkara bermanfaat demi membanggakan keluarga kandung dan keluarga besar RPWP.
 
 

Ahad, 25 Jun 2017

‘Saringan ketat sebelum boleh bersalaman dengan PM’


 

FOTO ESEI l  Ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan hari ini mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Ini peluang rakyat bersalaman dengan perdana menteri dan pemimpin negara sambil mengucapkan selamat hari raya.

Walau bagaimanapun, saringan keselamatan tahun ini dilaporkan lebih ketat berbanding tahun-tahun sebelum ini. Beberapa pertubuhan media juga dilarang memasuki premis berkenaan.

Malaysiakini melihat dengan lebih dekat proses pemeriksaan dan saringan keselamatan serta barangan yang dilarang dibawa ke Seri Perdana.





Untuk menjadi sebahagian daripada peserta acara rumah terbuka ini, pengunjung perlu mempunyai ketabahan.

Selepas meletak kereta masing-masing di sebuah lot yang ditetapkan, pengunjung kemudian perlu mengambil bas ke Seri Perdana sebelum menghabiskan sekurang-kurangnya satu jam untuk berbaris.

Perkarangan Seri Perdana hari ini umpama lautan manusia yang mengambil peluang untuk saling memberikan ucap selamat dan bergambar dengan Najib walaupun mereka terpaksa menahan panas terik.



Menunggu mereka di hujung barisan adalah proses pemeriksaan an saringan keselamatan yang cukup ketat.

Selain pemeriksaan tubuh, pengesan logam turut digunakan. Mereka yang membawa beg, turut terpaksa menyerahkannya untuk diperiksa.


Antara barangan paling banyak yang dirampas, termasuk botol minuman, dan diikuti dengan payung. Objek tajam atau mudah terbakar juga dirampas, termasuk mancis. Turut tidak terlepas adalah vape atau dikenali sebagai e-rokok.



Malah gunting kecil ini juga dianggap sebagai barangan larangan oleh kakitangan keselamatan.


Mereka yang akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Seri Perdana dihidangkan dengan pelbagai juadah, kebanyakannya makanan tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit.



Pengunjung juga boleh menikmati persembahan pentas. Ramai juga dilihat mengangkut beg cenderahati yang dipercayai mengandungi kuih raya.


Wanita dilanggar motosikal ketika berbaris di Seri Perdana

 
Seorang wanita yang tidak dikenali dilaporkan cedera apabila dilanggar sebuah motosikal ketika berbaris panjang menunggu giliran untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Aidilfitri di Seri Perdana di Putrajaya, pagi ini.

Wartawan Malaysiakini yang berada di tempat kejadian mendapati wanita itu terbaring di lantai sambil dikipas oleh mereka yang berada di sekelilingnya.

Pada mulanya, adalah dipercayai wanita berkenaan mungkin pengsan akibat cuaca panas ketika beratur.

Walau bagaimanapun, rakan yang membantu mangsa ketika ditanya, mendakwa, wanita itu dilanggar oleh sebuah motosikal ketika berbaris, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Wanita itu kemudian dibawa ke sebuah ambulan dan dipercayai dihantar ke sebuah hospital berdekatan untuk rawatan.

Keselamatan di Seri Perdana dilaporkan agak ketat pada tahun ini berbanding sebelum ini. Orang ramai dikehendaki menjalani imbasan keselamatan sebelum dibenarkan masuk.

Selain imbasan keselamatan, orang ramai dilarang membawa botol air, pemetik api, mancis, vape dan payung ke Seri Perdana.

Ribuan yang terpaksa berbaris sekurang-kurangnya setengah jam sebelum mereka boleh masuk ke perkarangan Seri Perdana.

Mereka yang tidak dapat menahan panas terik dan bahang itu terpaksa berpatah balik.

Bagaimanapun, anggota keselamatan membenarkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan bayi masuk tanpa perlu beratur apabila melihat sesetengah mereka mula menanggis akibat kepanasan.

"Semakin susah (bagi kita) untuk jumpa perdana menteri," kata seorang lelaki yang duduk di pembahagi jalan di depan barisan berkenaan.

Sebahagian besar orang ramai, bagaimanapun menunggu dengan sabar.

Pengunjung dilaporkan mula tiba di kediaman rasmi Najib seawal pukul 7 pagi walaupun acara hanya bermula pada pukul 10 pagi.

Rumah terbuka yang akan berlangsung sehingga jam empat petang ini turut dihadiri pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini, bersama dengan beberapa portal lain, termasuk Antara Pos, Vanakkam dan The Malaysian Insight, tidak dijemput untuk membuat liputan.

Wartawan Malaysiakini, yang kemudian beratur dengan orang ramai turut dihalang apabila polis yang mengenali beliau mengarahkannya supaya beredar.

Sementara itu, Bernama melaporkan rakyat daripada pelbagai lapisan hari ini mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, di sini.

Tetamu mula berkumpul seawal 9 pagi di pintu masuk ke Seri Perdana. Rumah terbuka itu dari 10 pagi hingga 4 petang.

Buggy digunakan untuk membawa warga emas dan golongan kurang upaya ke khemah-khemah yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman.

Polis turut melakukan pemeriksaan badan dan beg pelawat.

Mereka yang hadir diraikan oleh Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan para menteri, antaranya Menteri Pelancongan dan

Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai yang berbaris panjang dengan penuh sabar untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada hos.

Najib, mengenakan 'baju Melayu' merah-jingga, dan Rosmah serta menteri Kabinet tiba pada tengah hari dan mula menyambut tetamu, antara mereka ialah pemimpin parti-parti politi, diplomat asing, wakil NGO dan pemimpin korporat.

Perkarangan Seri Perdana umpama lautan manusia yang mengambil peluang untuk saling memberikan ucap selamat dan bergambar dengan Najib, yang kelihatan segak dalam baju Melayu.

Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah, kebanyakannya makanan tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit, dan diberikan pek ‘goodies’ manakala kanak-kanak diberikan ‘duit raya’.

Perkhidmatan bas percuma turut disediakan untuk mengambil dan menghantar orang ramai di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, dengan kadar kekerapan setiap 15 minit.