HALAMAN SANTAI

Sabtu, 14 Januari 2017

Air mata gembira veteran ATM sambut kunjungan MB


OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG: Deklamator terkenal, Nuri Angkasa, sebak sebaik sahaja melihat kedatangan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke kediamannya.

Lebih mesra dengan Pak Nuri atau nama sebenarnya Noordin Mohamed, 83, mengalirkan air mata ketika mula menyambut tangan Mohamed Azmin untuk bersalam.

Beliau yang pernah menyertai Rejimen Askar Melayu DiRaja selama 30 tahun menzahirkan penghargaan tidak terhingga atas lawatan itu.

“Saya sangat terharu. Inilah kenangan manis yang tidak mungkin akan dilupakan.

MB Ziarah Veteran (1)

“Lucu melihat veteran seperti saya menangis. Sungguh saya sangat terharu dan teruja atas keprihatinan Menteri Besar,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini,

Beliau kini terlantar hampir lima bulan selepas mengalami lumpuh separuh badan.

“Saya sedih dan risau dengan keadaan diri. Kini, hanya bergantung dengan susu sebagai ganti makanan lain,” katanya yang mula menyertai rejimen Askar Melayu pada usia 18 tahun.

Pak Nuri turut mendoakan diberikan kesihatan berpanjangan kepada orang nombor satu di Selangor itu untuk terus berbakti kepada rakyat.

“Saya berdoa supaya Menteri Besar kita sihat sentiasa dan diberikan kekuatan untuk membantu juga berbakti kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia, Indra Kumaran, 53, turut meluahkan perkara sama selain tidak menyangka Menteri Besar sudi menziarahinya.

“Gembira dengan lawatan dan sumbangan yang diberikan. Saya berharap beliau terus membantu golongan ATM.

“Keprihatinan beliau terhadap bekas anggota ATM seperti kami tidak dapat disangkal lagi,” katanya yang kini tinggal seorang diri selepas berpisah dengan isterinya.-NFN-

Tiada ulasan: