HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Januari 2017

Amanah-DAP Kluang akan bentuk jentera kerjasama hadapi PRU

MALAYSIA DATELINE
 
 



Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP  Kawasan Kluang telah bersepakat untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang selepas satu pertemuan diadakan di  Pusat Komuniti DAP yang terletak di  Pusat Perniagaan Tasek Kluang.

Naib Ketuanya Mahadzir Md Zili berkata, cabaran yang dihadapi oleh Pakatan Harapan bukan sedikit.
"Di peringkat Amanah sendiri, pelbagai serangan untuk mencalarkan imej parti ini telah dibuat oleh pihak lawan.

"Amanah terus dimomok-momokkan khususnya dikalangan pengundi Melayu sebagai 'kuda tunggangan DAP', anti Melayu Islam dan sebagainya.

"Namun semua itu adalah serangan bersifat politik yang hakikatnya jauh panggang dari api," ujarnya.

Justeru katanya menerusi kunjungan ke Pusat Komuniti DAP Kluan ini, Amanah dan DAP kawasan ujarnya, telah bersetuju untuk membentuk jentera bersama bagi menghadapi PRU yang akan datang.

"Ekonomi negara kian parah, kerjasama yang utuh diperingkat jentera khususnya bagi kawasan Kluang akan dirancang lebih rapi.

"Menerusi kerjasama erat ini juga, kita ingin sampaikan mesej kepada rakyat bahawa Pakatan Harapan tidak mengamalkan sikap 'holier than thou'.

"Sebaliknya, setiap parti duduk sama rendah, berdiri sama tinggi demi kepentingan rakyat.

"Semoga segala yang dibincangkan dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi merealisasikan kemenangan Pakatan Harapan di Kluang ini," ujarnya.

Wakil Amanah yang hadir ialah Hj Sapari (Timbalan ketua), Hanafi (Naib ketua), Mohidin (Setiausaha), Hj Karim (Bendahari) dan Daniel (Ketua pemuda).

Di pihak DAP, Ahli Parlimen Kluang Sdr Liew Chin Tong, Adun Mengkibol Tan Hong Pin, Pegawai Khas Ahli Parlimen Sheikh Omar Ali, Ketua Wanita Lily dan beberapa pimpinan diperingkat akar umbi telah turut hadir.

Manakala Liew pula berkata, DAP menyambut baik kunjungan Amanah Kluang.

"Dalam mengharungi tahun baru 2017 dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar, kita perlu mengukuhkan jentera untuk memberikan penerangan kepada rakyat terhadap isu-isu setempat dan nasional.

"Dengan tertubuhnya Pakatan Harapan melibatkan DAP, Amanah dan PKR di peringkat nasional pada 22 September 2015 yang lalu, kami amat yakin usaha untuk membawa perubahan dalam negara ini akan menjadi lebih tersusun.

"Namun, kerjasama yang dijalinkan tersebut mestilah berfungsi secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi. Ia akan membolehkan rakyat akar umbi mendapat penerangan, pencerahan seterusnya mampu digembeling untuk merealisasikan perubahan ini," ujarnya.

Justeru, pertemuan antara DAP dan Amanah Kluang ini diharap kedua pihak dapat menambah momentum gerak kerja yang lebih kukuh menuju Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.

Tiada ulasan: