HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Januari 2017

Amanah keliru tanggungjawab dakwahnya?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
[ULASAN] Dalam usaha untuk meremehkan parti leluhurnya PAS, pemimpin-pemimpin Amanah nampaknya hanya menyerlah kegoyahan akidah politik mereka sebagai sebuah parti Islam. 
 
Malah kritikan Amanah terhadap PAS mempamerkan kedangkalannya berhubung konsep dakwah sesebuah parti Islam seharusnya membina keunggulan Islam dan bukan jadi wadah untuk berebut kuasa.
 
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang menyifatkan langkah PAS memberi penjelasan berhubung RUU 355 di United Kingdom yang diusahakan Kelab Umno negara itu sebagai pendekatan yang 'cukup tidak sesuai'.
 
Katanya, PAS hanya akan 'membantu' memulihkan tanggapan negatif terhadap Umno Barisan Nasional (BN) dengan menyertai program bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
 
"Pendekatan yang mereka (PAS) buat, kalau dalam bahasa Inggeris 'putting the cart before the horse' iaitu tak tahu prioriti dan buat perkara yang sepatutnya dikemudiankan tetapi diutamakan dulu. 
 
"(Tindakan itu) cukup tidak sesuai bagi (pandangan) kami. Ia memberikan nafas baru dan talian hayat baru bagi Umno-BN dengan seolah beri gambaran Umno mahukan Islam dan sebagainya," katanya.
 
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata, pendekatan sedemikian menjadi antara punca mengapa sebahagian ahli parti dahulu bertindak meninggalkan PAS.
 
"Pendekatan PAS yang baru yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, dia boleh sokong BN dan sebagainya, dan itulah sebabnya kita berpisah kerana kita tak bersetuju dengan pendekatan itu,”  katanya.
 
Jika Umno tersasar landasan Islam, tugas siapa bimbing parti itu?
 
Kenyataan Amanah itu nyata tersasar dari konsep politik Islam yang seharusnya mengutamakan dakwah. Jika Umno dilihat terbabas dari landasan Islam, maka menjadi tanggungjawab Amanah membantunya kembali ke pangkal jalan. 
 
Bagaimanapun apa yang dilakukan pimpinan PAS kini ialah menerangkan pada umum (rakyat muslim dan bukan Islam) untuk memahami lebih dekat pengertian syariah yang telah ditentukan Allah.
 
Satu perspektif daripada perintah ini ialah membuktkan bahawa hukum syariah adalah yang terbaik untuk mewujudkan masyarakat berbilang kaum yang harmonis mengikut jiwa syariah Islam. 
 
Bagaimanapun dengan mengambil pendirian untuk meremehkan usaha ke arah itu, maka Amanah sebenarnya mengipas rasa syak wasangka terhadap kemuliaan syarak. 
 
Seharusnya sebagai bekas pemimpin PAS yang pernah terbabit menyusun pindaan akta syariah itu, jiwa dakwah pemimpin-pemimpin Amanah seharusnya tidak “kering dan mati” hanya kerana ‘mahu memenangi hati rakan politik bukan Islam’, terutamanya DAP.
 
Malah pendirian pemimpin-pemimpin Amanah nampaknya dikalutkan nafsu untuk menang pilihanraya dan bukan mahu meneruskan usaha dakwah sepenuhnya. 
 
Pemimpin-pemimpin seperti Mohamad Sabu, Salahuddin  Ayub, dan lainnya tentu insaf bahawa usaha melaksanakan syariat Islam di negara ini sebelum ini selalu gagal kerana tiada sokongan parti pemerintah, khususnya Umno. 
 
Kini Umno mulai memahami keutamaan apa yang diperlukan untuk menghidupkan perintah Allah, walau apa jua latarbelakang pemikiran mereka sebelum ini. 
 
Janganlah menilai amal dan perbuatan orang lain dari kacamata politik sahaja. Ini kerana hidayah itu hakmilik mutlak Allah. Jika Umno mahu berubah, Alhamdulillah.
 
Jika natijah dakwah PAS maka Umno sedar tanggungjawab memperkasakan perundangan Allah, maka ucapan tahniah seharusnya diberikan pada PAS kerana dakwahnya dan bukan menyerangnya. PAS tetap pembangkang.
 
Malah jika Amanah benar-benar sebuah parti Islam maka dakwah terdekat yang wajib diusahakannya ialah menasihati Tun Dr Mahathir yang cuba mengambil alih hak Allah menentukan amalan haji siapa yang mabrur dan siapa tidak. 
 
Jika Amanah lengah akan tanggungjawab ini, adalah dibimbangi di segi politik ini Amanah akan menjadi penganut fahaman Machiavelli Mahathir pula. 
 
Sebenarnya Mahathir masih berhutang pada umat Islam. Beliau pernah meremehkan sunnah Rasulullah s.a.w. perihal memelihara misai dan janggut sebagai sunnah membezakan perawakan Muslim dengan Nasrani dan Majusi.
 
Sepatutnya sebagai parti Islam, perwatakan politik Mahathir seharusnya dinilai dari segi pemikirannya meliputi amal perbuatan yang bersangkutan soal menghidupkan sunnah dan bukan meremehkannya. 
 
Jika PAS sahaja berusaha 'pimpin' Umno perkasakan Islam, apa tugas Amanah?
 
Jika di peringkat ini Amanah lemah dan kurang kefahaman terhadap soal hidayah dan sunnah, maka adalah meritnya rumusan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali.
 
"PAN (Amanah) menjadi penyapu kepada imej DAP yang anti Islam dengan pelbagai lagak dan gaya. Khalid Samad sendiri menjadi hero yang membentengi  agenda DAP termasuk menentang agenda memperkasakan RUU 355. 
 
"Kehadiran (PAS) dalam program penjelasan RUU 355 anjuran Kelab Umno adalah siri penerangan bagi menjelaskan bahawa PAS sentiasa konsisten memperjuangkan Islam," ujar Khairuddin.
 
Ujar Khairuddin lagi, PAS kini mula berlapang dada apabila usaha dakwahnya kepada Umno bersabit keperluan memperkasakan Islam, semakin membuahkan hasil. 
 
"Jika Umno bersedia membantu PAS dalam usaha RUU 355 menunjukkan bahawa Umno semakin menerima kepentingan bersama memperkasakan Islam. 
 
"Itulah kejayaan dakwah PAS. PAS akan terus membina imej sebagai pejuang agama di mata ahli-ahli Umno.
 
"Apabila orang seumpama Khalid meroyan dengan kehadiran pimpinan PAS di majlis penjelasan Islam anjuran Umno sendiri ia menunjukkan PAN (Amanah) sangat bimbang dengan peningkatan imej PAS di mata rakyat," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: