HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Januari 2017

Anina akan jumpa Tun M lagi Isnin depan

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin akan menjawab bersabit kedudukannya dalam parti selepas mengadakan pertemuan kedua dengan Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Pembantu peribadinya, Kasih Alyza Mohd. berkata, pertemuan kedua itu dijangka berlangsung pada 16 Januari (Isnin) ini.
 
"Selepas perjumpaan pada Isnin ini, kita akan keluarkan kenyataan," katanya kepada Antarapos, ketika ditanya perkembangan selepas perjumpaan pertama antara Anina dengan Dr Mahathir.
 
"Sepatutnya selepas itu (pertemuan pertama) kita nak keluarkan kenyataan, tetapi kita perlu jumpa Tun (Dr Mahathir) semula pada Isnin (16 Januari) ini," katanya lagi.   
 
Anina pada Isnin lalu mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir, susulan penggugurannya sebagai Ketua Srikandi Wanita PPBM baru-baru ini. 
 
Selepas daripada pertemuan pertama berkenaan, Anina meminta sedikit masa bagi membolehkan dirinya 'menulis dari hati' bersabit isu yang melanda dirinya.   
 
Terdahulu sebelum itu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu pengguguran Anina daripada jawatan sementara itu adalah disebabkan 'prestasi' beliau.
 
Manakala Dr Mahathir pula menasihatkan Anina supaya tidak patah semangat selepas beliau tidak dilantik menjawat jawatan berkenaan.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed yang dilaporkan Antarapos sebelum ini berpendapat punca sebenar kepada pengguguran Anina adalah kerana isu 'skandal seks', yang dikhuatiri menjadi faktor yang menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti yang baru berusia kira-kira tiga bulan itu.
 
Sekalipun isu kurang enak melatari PPBM kebelakangan ini, parti itu akan mengadakan majlis pelancarannya esok, bertempat di Stadium Melawati, di sini. 
 
Dalam pada itu Anina ketika ditanya mengenai kehadirannya ke majlis pelancaran PPBM esok, memaklumkan beliau tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan keluarga.
 
"Tak (hadir). Saya ada urusan keluarga," katanya menerusi aplikasi Whatsapp sebentar tadi.

Tiada ulasan: