HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Januari 2017

ASTRO AWANI


Mangsa banjir di Kuala Krai, bergelap dan berlapar lebih 40 jam
Setakat 5 petang ini, sejumlah 119,624 mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Ketika pelbagai pihak sibuk menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir di Kelantan, kira-kira 100 mangsa yang menjadikan sebuah sekolah di Kuala Krai sebagai pusat perlindungan sementara, terpaksa berlapar dan bergelap tanpa sebarang bantuan sejak lebih 40 jam lepas.

Seorang mangsa banjir di Kuala Krai, Dr Azilah Mohd Ali berkata sehingga kini tidak diketahui nasib mangsa yang berlindung di bangunan Asrama Lelaki Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra (SYP) 1 itu.

"Saya mendapat tahu mangsa yang berada tingkat tiga dan empat asrama SYP 1 itu tidak menerima sebarang bantuan atau makanan sejak berpindah awal pagi Rabu lepas," kata Pakar Pergigian Kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, itu ketika dihubungi.

Menurut beliau sembilan anggota keluarganya termasuk dua adik, dua adik ipar dan lima anak saudara yang berusia antara tujuh dan 27 tahun terperangkap di bangunan sekolah berkenaan sejak tiga hari lepas.

Dr Azilah, yang sedang bercuti dan pulang ke Kelantan, kini berlindung di rumah anggota keluarga terdekat di Taman Krai Sentral yang bagaikan sebuah pulau setelah dikelilingi air banjir.

"Hubungan kami terputus disebabkan bateri telefon semakin lemah dan saya pula perlu menguruskan orang tua yang uzur," katanya yang berpindah pada 4 pagi ketika air naik secara mendadak di Jajahan Kuala Krai, Rabu lepas.

"Masalah besar kini adalah sumber air mentah untuk makan dan minum telah kehabisan dan kami terpaksa mengharapkan kepada air hujan semata-mata," katanya.

Sementara itu seorang penjawat awam yang berasal dari Kuala Krai, Soon Li Wei, 26, berkata sudah tiga hari dia tidak dapat berhubung dengan keluarganya yang menetap di Taman Guchil Jaya dan Kampung Guchil 4.

"Saya cuba menghubungi mereka beberapa kali sebelum ini tetapi tidak dapat. Sehingga kini saya langsung tidak tahu bagaimana keadaan mereka. Paling dibimbangi, nenek saya Chan Cho Chu, 80, tinggal bersendirian di rumahnya dan saya dimaklumkan rakan sekampung, rumah nenek dinaiki air sehingga paras pinggang.

"Nenek tidak ada pengalaman melalui banjir jadi saya amat risaukannya, manakala ibu bapa dan adik saya juga terputus hubungan apabila jalan di sekeliling termasuk untuk ke rumah nenek turut dinaiki air dan ditutup... kemungkinan ibu bapa saya juga sudah berpindah ke pusat pemindahan," katanya.

Seorang mahasiswa kolej swasta di Petaling Jaya, Kua Chee Hoe, 23, pula berkata beliau mendapat berita tentang kejadian banjir yang melanda rumahnya di Jalan Ah Sang, Kuala Krai melalui gambar yang tersebar di laman sosial Facebook.
 
"Saya cuba menghubungi keluarga saya tetapi tak dapat... apabila mendapat tahu air sudah mula naik ke tingkat dua rumah, saya segera meminta bantuan rakan-rakan melalui Facebook untuk membantu keluarga saya yang terperangkap.

"Syukur kerana tidak lama kemudian Pemuda MCA bahagian Kuala Krai membantu anggota keluarga saya keluar dari kawasan banjir dengan bot kecil mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Setakat 5 petang ini, sejumlah 119,624 mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan. 
 
 

Tiada ulasan: