HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Januari 2017

BR1M bukan polisi ekonomi bagi golongan berpendapatan rendah

 LIEW CHIN TONG
BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) bukan jawapan untuk sebuah polisi ekonomi yang tuntas bagi menyelesaikan isu melingkari golongan berpendapatan terendah 60% kebawah. Naif sekali jika Umno menyangka rakyat terbanyak tidak menyedari hal ini.

Umno menganggap Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan satu kesilapan besar apabila dengan beraninya mendakwa BR1M adalah 'rasuah'. Anggapan mereka, rakyat khususnya penerima BR1M akan menempelak Tun kerana mengkritik usaha Perdana Menteri Najib Razak dan Kerajaan Barisan Nasional ini. Oleh itu, dakwaan Tun telah menerima kecaman hebat oleh para menteri.

Pada awal-awal tahun pengenalan, BR1M (sebelum GST dilaksanakan) sememangnya menyumbang kepada peningkatan imej seterusnya sokongan rakyat kepada Umno dalam PRU 2013. Namun ia sedikit demi sedikit berkurangan pada tahun-tahun berikutnya.

Rakyat Malaysia hari ini umumnya telah menyedari bahawa:

Pertama, sumber BR1M adalah dari dana awam. Justeru mereka sememangnya berhak mendapat BR1M dan bukanlah suatu kewajipan untuk mereka rasa terhutang budi atau 'berterima kasih' kepada Najib.

Kedua, sejak perlaksanaan GST pada 2015 dan kenaikan harga barangan, BR1M tidak lagi memberi kesan besar terhadap pendapatan boleh guna isi rumah.

Ketiga, BR1M tidak langsung menjadi jawapan kepada isu peluang pekerjaan yang meruncing kini.

Kerajaan gagal untuk tampil dengan polisi yang meyakinkan. Jauh di hati rakyat, pekerjaan yang baik dengan upah yang setimpal adalah keperluan mendesak berbanding BR1M meskipun mereka akan terima apa sahaja yang diberikan oleh Kerajaan.

BR1M hakikatnya adalah respon pra-matang Najib kepada proposal kerangka polisi Pakatan Rakyat yang dikemukakan pada Julai 2011 yang lalu.

Saya yang terlibat secara langsung dalam jawatankuasa penyediaan proposal tersebut telah mengambil garis bahawa pemerkasaan ekonomi golongan berpendapatan terendah 60% kebawah perlu menjadi asas untuk memberi nafas baru kepada keseluruhan ekonomi Malaysia yang suram.

Sejak krisis ekonomi global 2008, eksport Malaysia menguncup disebabkan permintaan yang mengecil dari Eropah dan Amerika Syarikat. Pada ketika itu, kita boleh menyaksikan bagaimana negara terpaksa bergantung lebih kepada penggunaan domestik. Pun begitu, ia banyak dibiayai oleh hutang isi rumah yang pastinya tidak mapan untuk jangka masa panjang.

Strategi ekonomi yang mapan hanya mampu dibentuk apabila kita melakukan reformasi ekonomi dengan memperkasakan golongan berpendapatan terendah 60% kebawah. Inilah asas kepada proposal kerangka polisi Pakatan Rakyat 2011

Bertitik tolak dari asas tersebut, kami mencadangkan 3 pakej reformasi ekonomi untuk meningkatkan pendapatan dan pendapatan boleh guna golongan berpendapatan terendah 60% kebawah seterusnya menganjak ekonomi Malaysia.

Pakej I - Pendapatan & Produktiviti

Pemberian wang saguhati (seperti BR1M) bukan jawapan kepada isu kesukaran mendapat peluang pekerjaan yang baik dengan bayaran upah yang setimpal yang membelenggu rakyat. Satu rangka polisi ekonomi yang ampuh amat diperlukan untuk berhadapan isu ini.

Timbul persoalan; bagaimanakah Malaysia mampu mengurangkan kebergantungannya terhadap pekerja asing tanpa kemahiran? Usaha untuk meningkatkan tahap automasi, penggunaan alatan bermesin dan menaik taraf industri agar kebergantungan kepada tenaga manusia dapat dikurangkan mampu memberi jawapan.

Kerajaan bertanggungjawab merangka polisi yang ditunjangi asas untuk meningkatkan produktiviti (menerusi automasi dan penggunaan teknologi bermesin) dan pengupahan tenaga kerja mahir dengan gaji yang lebih tinggi. Apa yang kita ada hari ini adalah kerangka polisi yang berorientasikan produktiviti yang rendah melalui lambakan tenaga kerja tidak berkemahiran dengan tangga gaji yang amat rendah.

Pakej II - Perbelanjaan Sosial

Perumahan, pengangkutan awam dan kesihatan adalah tiga sektor yang menjadi tanggungjawab besar Kerajaan untuk diurus dengan baik.

Sebahagian besar golongan berpendapatan terendah 60% kebawah membelanjakan wang pendapatan atau tabungan mereka untuk urusan rumah, kenderaan dan kesihatan. Jika mereka dapat mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan ini pada masa yang sama mengecapi kualiti kehidupan yang baik, perbelanjaan boleh guna mereka dapat ditingkatkan dan memberi kesan positif terhadap perkembangan ekonomi negara keseluruhannya.

Kerajaan dan GLC tidak wajar bersikap buas menjual rumah kepada rakyat terbanyak atas dorongan keuntungan semata-mata sebaliknya harus bertindak dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab untuk menyediakan perumahan yang mampu dan selesa. Ironisnya, antara pemaju yang berada pada ranking tertinggi membuat keuntungan menerusi projek hartanah adalah syarikat berkaitan kerajaan!

Kerajaan juga seharusnya memikirkan bagaimana kemudahan pengangkutan awam dapat benar-benar memanfaatkan rakyat, bukannya untuk faedah kontraktor sepertimana projek MRT di Lembah Klang.

Hutang pembelian kereta termasuklah kos penyelenggaraan dan petrol adalah antara komponen yang menelan perbelanjaan tinggi. Sekiranya pengangkutan awam cukup efisyen, ia dapat menjadi alternatif kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.

Dari aspek kesihatan, kebanyakan hospital swasta di Malaysia dimiliki oleh syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Khazanah, Sime Darby dan KPJ. Dwi sistem dalam aspek kesihatan ini telah menyebabkan rakyat terbanyak turut memilih perkhidmatan serta kepakaran ditawarkan di hospital swasta sekalipun terpaksa membayar kos yang tinggi.

Meskipun pahit, kita terpaksa menelan hakikat bahawa terdapat rakyat berpendapatan rendah yang terpaksa membuat pinjaman untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta. Kesannya, komitmen bayaran balik pinjaman tersebut sudah pasti memakan tahun. Hal ini memberi kesan penyusutan kepada pendapatan boleh guna isi rumah.

Pakej III - Memecahkan monopoli & oligarpoli

Satu aspek penting yang memerlukan keazaman politik yang tinggi oleh Kerajaan untuk mengembangkan pendapatan boleh guna golongan berpendapatan terendah 60% kebawah ialah dengan memecahkan tembok monopoli.

Contohnya, kajian telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terpaksa membayar lebih untuk menggunakan data internet dan caj telefon mudah alih berbanding rakyat di hampir semua negara rakan-rakan serantau Asia bagi tahap perkhidmatan yang sama.

Monopoli dan oligarpoli hakikatnya wujud dalam segenap aspek kehidupan rakyat. Dari sekecil-kecil perihal di dapur melibatkan gula dan beras sehinggalah sebesar-besar perkara seperti tol lebuhraya dan sebagainya.

Kerajaan yang mendakwa berjuang untuk rakyat adalah Kerajaan yang berdiri teguh bersama rakyat, bukan korporat. Kerajaan yang beriltizam untuk berdiri di pihak rakyat tidak akan membenarkan polisi ekonomi bersifat monopoli dan oligarpoli kerana apabila kuasa beli golongan berpendapatan terendah 60% kebawah meningkat, aliran perbelanjaan ekonomi domestik turut meningkat (yang pastinya bukan untuk membeli tas tangan import berjenama) dan ia akan menguntungkan rakyat terbanyak.

KESIMPULAN

Apabila Pakatan Rakyat pada 2011 tampil dengan kerangka polisi seperti yang telah dinyatakan, Najib memberi respon menerusi BR1M.

Dari konteks pilihan raya, saya terpaksa akui bahawa BR1M dan pendekatan 'cash is king' sangat berkesan untuk UMNO - Barisan Nasional berhadapan PRU 2013.

Pun begitu, dalam keadaan dimana peluang pekerjaan yang baik dan berbaloi amat sukar didapati, peningkatan kos sara hidup yang amat tinggi, cukai GST yang menjerut dan pelbagai lagi kelemahan urustadbir yang wujud hari ini, BR1M tidak lagi mampu menjadi senjata Najib memenangi hati dan memenuhi keperluan rakyat.

Sekarang adalah masanya untuk rakyat mengambil sikap yang teguh dan menyatakan bahawa BR1M dan segala bentuk pemberian bersifat saguhati bukanlah jawapan tuntas kepada isu melingkari kita semua. Dan saya amat yakin pada kebijaksanaan rakyat Malaysia dalam menilai realiti ini.

*Liew Chin Tong adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang

Tiada ulasan: