HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Januari 2017

Cabaran besar menanti pengganti Tok Nan - Penganalisis

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik menjangkakan pengganti Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akan berdepan dengan cabaran yang besar berikutan prestasi Ketua Menteri Sarawak itu yang banyak membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri berkenaan.
 
Ujar pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Jeniri Amir, pengganti Adenan mestilah seorang yang berupaya melakukan perkara yang dikehendaki rakyat, seperti yang dibuat Allahyarham.
 
"Sesiapa pun yang dipilih dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak akan berdepan dengan cabaran menggunung. Bagaimana untuk melakukan sesuatu yang serasi yang telah dilakukan Adenan Satem dan diterima rakyat Sarawak. 
 
"Satu dari segi dasar yang dilaksanakan, dua dari segi pendekatan politik beliau. Jadi itu amat mencabar dan bagaimana untuk meneruskan perjuangan yang telah dimulakan beliau dan cuba laksanakan sebaik mungkin. Bukan saja memenuhi harapan Adenan tapi harapan rakyat Sarawak," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Adenan dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kota Samarahan  pada jam 1.20 petang tadi kerana komplikasi jantung.   
 
Adenan yang bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-73 pada 27 Januari  ini meninggalkan isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan lima anak. 
 
Justeru ujar Jeniri, penanda aras yang diletakkan Adenan berdasarkan pencapaiannya akan menjadi cabaran kepada pengganti Allahyarham.
 
"Rakyat akan mengharapkan pengganti baru ini sama seperti Adenan tetapi saya percaya bahawa pemimpin baru itu nanti akan berusaha sebaik mungkin untuk tidak menghampakan harapan rakyat. Sedar akan tuntutan dan cabaran besar yang berada dibahunya. 
 
"Lebih lagi apabila Adenan meninggal ketika berada di puncak populariti beliau," katanya.
 
Tetapi beliau tidak melihat kejayaan yang dipacu Adenan ini akan menyukarkan kerajaan Sarawak untuk memilih calon yang terbaik.
 
"Saya tak fikir begitu, Adenan telahpun meletakkan calon yang bakal menggantinya. (Ini kerana) beliau sedar bahawa berdepan dengan penyakit maka segala kemungkinan boleh berlaku. Saya fikir Adenan telah membuat perkiraan itu dalam percaturan politiknya dan kesinbambungan kepimpinan Sarawak," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: