HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Januari 2017

Gesa Pahang dedah status minit mesyuarat.

Gesa Pahang dedah status minit mesyuarat
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar , Adun Semambu, Lee Chean Chung (tengah) memegang lampiran mengenai skandal jual beli tanah rizab Melayudi Ibupejabat PKR, hari ini. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR. 
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Chean Chung menggesa kerajaan negeri Pahang mendedahkan minit mesyuarat kerajaan Pahang melibatkan penjualan dan pembatalan status rizab Melayu lot tanah di Rompin kepada Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin.

Melalui satu sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam, Adun Semambu itu mendakwa terdapat konflik kepentingan dalam jual beli tanah berkenaan di mana status 'tanah rezab Melayu' tanah berkenaan telah dibatalkan sebelum dijual kepada Hasan.

Pada Jun tahun lepas Chean Chung telah membuat satu pendedahan yang mendakwa Hasan terlibat skandal jual beli lot tanah rizab melayu daripada anak syarikat kerajaan negeri Pahang, Pasdec Corporation Sdn Bhd dengan harga RM76,499.

"Hasan kemudian menjual tanah tersebut kepada seorang individu bernama Ti Lian Yeah pada harga RM321,184.02 yang mana lima kali ganda lebih tinggi.

"Tanah tersebut telah diluluskan oleh kerajaan Pahang kepada Pasdec pada 1997 ketika Hasan masih memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Pahang,"dakwanya.

Sementara itu Chean Chung mengemukakan jawapan bertulis Sidang Dewan Undangan Negeri ( DUN) Pahang yang membuktikan status rizab Melayu telah dibatalkan sebelum tanah tersebut dijual kepada Hasan.

"Apa yang lebih mengejutkan, tiada sebarang tanah gantian diperuntukkan ke atas tanah rizab Melayu yang ditukar status tersebut,"ujarnya.

Tambah Chean Chung, keputusan kerajaan negeri Pahang itu bertentangan dengan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.

"Jawapan kerajaan negeri Pahang bahawa pengeluaran tanah dari kawasan simpanan Melayu disebabkan tanah berkenaan berpotensi untuk dikomersialkan bagi mendapat nilai pasaran yang tinggi juga tidak betul kerana tanah tersebut dijual kepada Hasan.

Hasan menjualnya semula kepada individu lain dengan mengaut keuntungan lebih tinggi," jelasnya.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan negeri Pahang menjelaskan rasional pembatalan tanah rizab Melayu ke atas tanah serta penjualan tanah tersebut kepada Hasan.

Beliau juga mendesak Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin menjelaskan isu berkenaan secara terbuka.
"Hasan perlu tampil menjelaskan isu ini secara terbuka. Jangan hanya menghantar surat guaman kepada anak muda yang mendepankan isi berkepentingan awam sahaja,"katanya.

Di samping itu, Chean Chung berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun pendedahan mengenai isu itu dibuat lebih enam bulan lepas.

Tiada ulasan: