HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Januari 2017

Haji mabrur: Tun M enggan minta maaf

Berita Harian Online ·


 

SHAH ALAM – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mendakwa jemaah tidak mendapat haji mabrur sebelum ini.

“Mengapa perlu saya meminta maaf? Semua orang yang menyatakan saya salah, mereka juga dibayar. Mereka perlu mengampu, membodek, mereka tidak boleh bebas bercakap.

“Jika anda menjalani ibadat haji menggunakan wang curi, ia seperti sudah tahu pinggan itu penuh dengan makanan haram tetapi anda makan juga.

“Kalau tidak tahu tidak mengapa, tetapi sekarang ini sudah tahu, duit ini dicuri. Kalau duit curi buat kerja haji, macam mana nak boleh dapat haji mabrur? Tak dapat langsung,” katanya pada sidang media selepas melancarkan lagu dan laman sesawang parti itu, hari ini.

Dr Mahathir turut menyindir mufti yang sebelum ini menyanggah kenyataannya bahawa jemaah haji ditaja menerusi Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak mendapat haji mabrur.

“Bila jadi mufti kerajaan, kena pujilah kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, menyifatkan Dr Mahathir cuba mengambil hak Tuhan apabila menyatakan jemaah haji ditaja menerusi program itu tidak mendapat haji mabrur.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, juga dilaporkan berkata, jemaah haji perlu yakin ibadat dilakukan itu diterima oleh Allah dan bukannya ditentukan oleh seseorang.

Tiada ulasan: