HALAMAN SANTAI

Khamis, 12 Januari 2017

Jamal bersama ahli NGO Malaysia turun padang sokong H355

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
AMPANG: Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan mengerahkan ahlinya termasuk Gerakan Baju Merah untuk memberi sokongan terhadap Himpunan 355 anjuran PAS pada 18 Februari ini.
 
Menurut Ketua Umno Sungai Besar itu juga, kehadiran itu bertujuan memberi sokongan terhadap langkah PAS yang mahu mencadangkan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).    
 
"Sudah pasti kami akan beri sokongan sepenuhnya kepada penganjur Himpunan 355, dan saya sendiri bersama rakan-rakan telahpun bersetuju untuk hadir sama memberi sokongan kepada himpunan tersebut.  
 
"Saya akan gerakkan gabungan NGO di bawah saya untuk hadir bersama," katanya dalam satu wawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
PAS pada Sabtu lalu mengumumkan akan menganjurkan himpunan mega pada 18 Februari depan bagi menyatakan sokongan bersabit langkah Presidennya membawa usul pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang telah melalui dua kali penangguhan di Parlimen.
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media himpunan itu turut mempelawa semua pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan serta orang ramai untuk menghadiri himpunan itu bagi mendapatkan penerangan mengenai keperluan meminda Akta 355.
 
Himpunan yang turut dianjurkan secara bersama dengan NGO dan aktivis itu menyasarkan kehadiran seramai 300,000 orang, dan memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi awal.
 
Menurut Tuan Ibrahim, himpunan itu turut bertujuan 'memurnikan suasana' ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan langkah PAS membawa usul pindaan terhadap Akta 355.
 
 

Tiada ulasan: