HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Januari 2017

Kanak-kanak ditinggal sendirian akan dijaga datuk

 
JKM akan memberi bantuan kewangan dan berusaha mendapatkan sijil kelahiran untuk kanak-kanak itu.



kids_norhayati-omar_600


TAMPIN: Kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun yang dijumpai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh ibunya akan diletakkan di bawah jagaan sementara datuknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Norhayati Omar.

Beliau berkata datuk kanak-kanak itu, Ambia Timon, 59, menyatakan persetujuan untuk menjaga Mohamad Adam dan 2 adik-beradiknya.

“Semasa lawatan diadakan, Adam kelihatan riang dan sihat dan pemeriksaan fizikal oleh doktor juga mendapati tiada kecederaan atau kesan penderaan pada badannya.

“Melalui perbincangan tadi, datuknya sudi menjaga Adam dan kami di pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memberi bantuan yang diperlukan oleh keluarga ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak itu di Hospital Tampin di sini, hari ini. Turut hadir pengarah JKM negeri Mohamad Hapil.

Katanya 3 beradik kanak-kanak itu yang berusia 16, 14 dan 13 tahun, merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan sejak 2011, yang disalurkan atas nama ibunya, dan menurutnya anak sulung wanita itu selama ini dijaga neneknya sebelah bapanya.

“Memandangkan ibunya kini dalam tahanan polis, pihak JKM akan memindahkan bantuan tersebut ke atas nama datuknya, sebagai penjaga sementara yang sah,” katanya.

Selain bantuan kewangan, Norhayati berkata pihaknya juga akan membantu Adam mendapatkan sijil kelahiran.

“Sijil kelahiran ini penting supaya masa depan Adam terjamin dan dia dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini Adam masih belum dibenarkan keluar hospital.

Sementara itu, Ambia yang merupakan peneroka berkata dia akan membawa Adam dan 2 lagi cucunya tinggal bersamanya di Felda Jelai 1.

“Saya rasa gembira berjumpa Adam buat pertama kali dan saya akan menjaga dia sebaik mungkin,” katanya.

Ambia berkata, ibu Adam yang merupakan anak sulung daripada 7 beradik tidak pernah menceritakan tentang kanak-kanak tersebut kepada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata, kanak-kanak itu yang ditinggalkan seorang diri sejak 6 petang semalam ditemui kira-kira pukul 1 pagi dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan di sebuah rumah di Kampung Parit Buluh.

“Pihak polis menerima laporan daripada ketua kampung pada pukul 12.45 tengah malam yang menyatakan terdengar bunyi budak sedang menangis di dalam sebuah rumah dalam keadaan gelap dan berkunci.

“Bertindak atas laporan awal, sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk ke rumah tersebut dan menjumpai seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tidak berbaju sedang menangis,” katanya.



Tiada ulasan: