HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Januari 2017

Kes rasuah KSU: Kini lebih RM5 juta tunai & jongkong emas dirampas

 BERNAMA
Jumlah wang tunai yang dirampas dalam kes dakwaan rasuah membabitkan KSU sebuah kementerian meningkat. Jumlah wang tunai yang dirampas dalam kes dakwaan rasuah membabitkan KSU sebuah kementerian meningkat.


Wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM5 juta dirampas dan disita setakat ini susulan penahanan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian disyaki terlibat dalam rasuah.

Dalam penemuan terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai RM2.6 juta daripada peti simpanan beberapa bank.

Menurut sumber SPRM, rampasan terbaharu itu dilakukan setelah SPRM membuka peti simpanan emas di sebuah bank dan merampas jongkong emas seberat lapan kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

"SPRM turut membuka beberapa peti simpanan di bank lain dan merampas wang tunai hampir RM1 juta termasuk AUD80,000," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Kelmarin, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai kira-kira RM3 juta selepas menahan KSU yang bergelar 'Datuk' dan berusia 59 tahun bersama dua anak lelakinya yang berumur 29 tahun dan 34 tahun di kediaman mereka di USJ, Subang Jaya, dekat sini.

Selain itu, sumber itu berkata pihaknya turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima milik anak suspek di rumahnya di USJ, Subang Jaya, semalam.
Sumber itu turut memberitahu, suspek-suspek berkenaan dipercayai mempunyai lebih 10 lot tanah di atas nama anggota keluarganya di sekitar Lembah Klang, namun SPRM masih sedang melakukan pengesahan serta menilai tanah-tanah terbabit.
"SPRM juga akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan sama ada suspek berkenaan pernah membuat sebarang pembayaran cukai sejak 2010 lepas," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan memberikan butiran.

Beliau berkata tiada tangkapan baharu dilakukan setakat ini.

Walaubagaimanapun, Azam tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu.

KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 11 Jan bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

Tiada ulasan: