HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Januari 2017

K’jaan kaji bina jambatan di Jalan Kasban untuk elak Banjir – PM

THE MALAYSIAN TIMES


TR15_060117_BANJIR


TUMPAT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji cadangan membina jambatan di Jalan Kasban, Kampung Nibong di sini, bagi membolehkan sebuah saliran dibina bagi mengalirkan air banjir dari kawasan Pengkalan Kubor ke Sungai Golok.

Perdana Menteri berkata cadangan itu, dianggarkan menelan belanja RM9 hingga RM10 juta, disuarakan oleh pemangku Ketua UMNO bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berikutan tiada saluran untuk pengaliran air dari beberapa kampung di sekitar kawasan tersebut ke Sungai Golok, dan ini telah menyebabkan banjir di kawasan itu lambat surut.

“Saya akan arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji cadangan tersebut dan jika sesuai, ia akan dibina dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NaDMA) Datuk Zaitun Ab Samad.

Sebelum ini, penduduk di kawasan berkenaan dilaporkan pernah mengadakan bantahan aman bagi menggesa kerajaan merobohkan Jalan Kasban-Rantau Panjang berhampiran Kampung Pohon Nibong dan menggantikannya dengan jambatan bagi memastikan banjir termenung di kawasan itu tidak berulang.

Wakil penduduk kawasan itu dipetik sebagai berkata langkah itu mampu menye lamatkan lebih 5,000 keluarga dari 13 buah kampung sekitar daripada menjadi mangsa banjir termenung, yang sering menyebabkan kawasan itu terputus hubungan kerana laluan ditenggelami banjir.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata kerajaan akan menyediakan kemudahanta mbahan di sekolah-sekolah terpilih yang digazetkan sebagai pusat pemindahan banjir seperti tandas dan bilik mandi bagi memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa banjir.

Najib berkata di luar musim banjir, kemudahan tambahan itu boleh digunakan oleh pelajar dan guru di sekolah berkenaan.

Mengulas mengenai pengurusan banjir di bawah NaDMA, Najib berkata beliau berpuas hati dengan usaha-usaha yang dijalankan dan setakat ini ia berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat.

“Walaupun ada beberapa perkara berbangkit yang kecil namun secarakeseluruhannya,  pengurusan bantuan kepada mangsa banjir berjalan dengan baik,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: